08 March 2011

Pengalaman Dengan Speech Therapist Swasta

Selasa, 08 Mar 2011.

Hari ini jam 11.00 pagi, Hariz bersama aku dan isteri pergi ke sebuah pusat 'speech therapy' swasta untuk sesi penilaian (assessment). Hariz menunjukkan tingkahlaku yang baik dan suka berada di tempat itu. Mungkin susun atur dan warna di situ memberikan impak positif terhadap emosi. Masuk saja Hariz terus hendak masuk ke bilik, nasib baik boleh pujuk dan dia terus menuju ke 'meja menunggu' yang ada sebakul lego, satu replika kecil Mc Flurry dan dua ekor patung kuda. Dia bermain dengan semua itu sementara aku mengisi borang, nampak riang bila therapist menyampuk dalam permainan itu.

Bila masuk di dalam bilik, ayat pertama yang dia kata "Wahhhh cantiknyaaa..!". Ada beberapa mainan tersusun di dalam rak terbuka dan Hariz terus mencapai sebuah bas dengan beberapa barang lain lalu menyusun atas lantai. Dia nak ambil sebuah replika rumah tapi letak semula bila therapist arahkan letakkannya semula. So far so good.

Dalam sesi penilaian, Hariz ditunjukkan dengan gambar-gambar dan soalan-soalan diajukan dalam bahasa inggeris (aku jadi translator bila ada soalan yang Hariz tidak faham). Agak mengkagumkan bila dia boleh menunjuk dengan jari pada gambar bila soalan diajukan. Kadangkala dia berkelakuan seperti menjawab soalan kuiz, siap dengan bunyi buzzer. Bagaimana pun, dia tidak dapat menjawab bila ada soalan-soalan yang memerlukan penyelesaian atau logik, seperti "Ice cream is cold, fire is ....?".

Alhamdulillah, dari sesi itu aku dapat kenal pasti di mana harus ditekankan dalam sesi seterusnya nanti. Dan, sedikit sebanyak dapat belajar teknik untuk mengajar Hariz di rumah nanti.