28 January 2011

Mengurus Tingkahlaku: Amat Suka Akan Air

Sabtu, 29 Jan 2011.

Tingkahlaku:
Beliau amat-amat menyukai air. Sehingga sekarang beliau boleh bermain didalam air sehingga lebih dua jam dan tanpa jemu. Mendatangkan masalah bila berkunjung ke rumah saudara-mara, rakan taulan dan tempat-tempat yang ada air (air pancut, kolam, laut, sungai dan sebagainya).

Tindakan:
Kami terpaksa menghadkan tempat-tempat yang boleh dikunjungi. Sekali-sekala kami akan membawa ke tempat-tempat yang ‘berair’ sebagai pendedahan. Bergantung kepada perilakunya sebelum, ketika dan sesudah berkunjung ke tempat tersebut, kami akan menambah kekerapan. Sekiranya sukar untuk di kawal ketika berada sesuatu tempat, kami akan hanya lalu sahaja di tempat itu (tidak akan melayan kehendaknya walaupun tantrum, sebagai ‘denda’). Kami juga dapatkan konsensus dan meletakkan syarat (seperti “Be good.”, “Be discipline.”) bila hendak mengulang pergi ke tempat itu. Di satu peringkat kaedah ini kurang berkesan di mana beliau mula mampu untuk ‘berunding’ atau ‘psycho’ kami. Di peringkat ini kami menggunakan kuasa 'veto', memutuskan untuk memenuhi kehendaknya atau tidak mengikut keadaan semasa itu. Disamping itu kami akan memilih hari yang lengang supaya mudah mengawal keadaan.

Kesan:
Kami dapati beliau dengan sendiri akan berkata “be good” atau “be discipline” jika beliau hendak atau meminta untuk bawa ke tempat tersebut. Dan beliau boleh berkompromi untuk memenuhi hajatnya.

27 January 2011

Mengurus Tingkahlaku: Teliti tetapi kurang sabar terutama bila tidak dapat melakukan/menyiapkan sesuatu.

Jumaat, 28 Jan 2011.

Tingkahlaku:
Beliau ialah seorang yang teliti. Contohnya, dapat melukis semula objek dengan ciri terperinci yang diingatinya dengan baik. Namun, beliau akan ‘tantrum’  bila tidak dapat melukis apa yang dikehendaki. Menunjukkan tingkahlaku yang sama bila melakukan aktiviti lain.

Tindakan:
Biasanya kami akan memujuk beliau atau mengalihkan kepada perkara lain untuk mengelakkan ‘tantrum’. Cuba bantu beliau untuk melukis objek yang diinginkan. Menentu-tetapkan jangka masa untuk aktiviti melukis.

Kesan:
Kami dapati sukar untuk menentu-tetapkan masa aktiviti melukisnya kerana dia sangat obsesi pada ketika melukis dan merasakan tidak puas jika mengikut masa yang ditetapkan. Mengalihkan kepada perkara lain adakalanya berjaya dan sebaliknya. Bagaimanapun, tingkahlaku ini berubah ke arah positif (boleh di kawal) apabila umurnya meningkat. Mungkin faktor kematangan dengan peningkatan umur.

Mengurus Tingkahlaku: Kurang selesa dalam suasana sesak dan bising.

Khamis, 27 Jan 2011.

Tingkahlaku:
Beliau didapati berasa kurang selesa bila berada dalam suasana yang sesak dan bising (seperti di pusat beli belah semasa musim perayaan). Sukar untuk mengawal emosinya dan mudah ‘tantrum’.

Tindakan:
Kami akan cuba bertahan selama mungkin sebelum beliau menunjukan reaksi ‘tantrum’ bila berada di tempat yang sesak dan bising. Selain itu memberikan sesuatu yang beliau suka bila berada di tempat tersebut. Sekiranya beliau menunjukan reaksi negatif sejurus hendak masuk ke pusat beli belah, kami akan batalkan aktiviti di situ dan pergi ke tempat lain. Selain itu kami akan datang semula pada hari lain terutama di pertengahan minggu (Isnin-Khamis) di mana tidak ramai orang.

Kesan:
Kami dapati lebih mudah untuk menguruskan ‘tantrum’ ketika kedaan kurang sesak dan kurang bising. Masa berada di tempat itu juga lebih panjang. Memberikan 'reward' ketika berada di sana juga menyumbang kepada tingkahlaku yang positif.

15 January 2011

"Ibu tak sayang Hariz..."

Ahad, 16 Jan 2011.

Semalam, kami sekeluarga balik ke rumah atuk Hariz. Singgah hantar barang pasar pesanan neneknya. Kisah ini berlaku sewaktu balik dari rumah atuknya. Kebetulan, bapa saudara Hariz pun ada sama. Masa nak balik tu Hariz melompat masuk ke kereta bapa saudaranya tu dan tak mahu turun. Bapa saudaranya kata tak apalah biar dia hantar nanti. Kami agak risau bila tinggalkan dia sendirian dalam kereta orang lain untuk pertama kali. Kami di belakang kereta bapa saudaranya sepanjang perjalanan keluar dari rumah neneknya sehingga di simpang jalan utama, kami terus balik ke rumah dan Hariz ikut bapa saudaranya singgah di suatu tempat untuk mengambil barang.

Setibanya di rumah, bapa saudaranya menceritakan yang Hariz menangis sambil berkata "Ibu tak sayang Hariz...ibu tinggalkan Hariz....". Bila keluar dari kereta bapa saudaranya, Hariz ulang-ulang skrip tu, dan sekali tu memeluk ibunya macam dah lama kena tinggal. Nasib baik dia tak mengamuk, kalau tak tak tahulah.

14 January 2011

Teringat kembali saat Hariz disahkan autisme

15 Jan 2011.

Teringat kembali saat Hariz disahkan autisme bila ada ibubapa yang bertanya mengenai pengalaman dan ingin berkongsi kerana mereka berada di saat di mana kami telah melaluinya. Tidak dinafikan tekanan emosi yang sangat besar, boleh jadi huru hara kalau tak diurus dengan baik. Mengurus dan mendidik anak autisme menuntut pengorbanan masa dan material yang tiada had tertentu; penuh dengan cabaran tersendiri sepanjang masa - menuntut tahap kesabaran yang luar biasa. Namun disebaliknya ia boleh menjadikan kita lebih tabah, kreatif dan berilmu yang mungkin membawa kita ke suatu tahap yang tidak kita jangkakan. Dan ganjaran terbesar mengurus dan mendidik anak autisme ialah PAHALA. Itulah yang seharusnya memacu iltizam para ibubapa dan individu lain yang mengurus dan mendidik mereka. DOSA akan kita perolehi jika sebaliknya. Allah Maha Kaya dan Maha Adil.

03 January 2011

Hari Pertama Sekolah 2011

Isnin, 03 Jan 2011.

Hari ini bermulalah episod baru persekolahan Hariz bagi sesi tahun 2011. Untuk hari pertama, aku menjangka sesuatu yang sukar atas kesan cuti sekolah yang panjang. Tapi, sesungguhnya Tuhan telah mempermudahkan urusan hari pertama untuk menguruskan Hariz.

Untuk mengejutkannya pada awal pagi tidak ada masalah, tapi ada sedikit cabaran untuk mengajaknya mandi. Aku mesti ada 'modal' untuk beli jiwa Hariz, untuk buat dia senyum. Aku maklum untuk 3 minggu kebelakangan ini dia memang kemaruk dengan watak kartun Detective Conan. Kemaruk sehingga boleh cakap macam Conan tu ada kat sebelah dia. Bawak komik tu ke mana saja. Secara spontan aku gantikan Hariz kepada Conan, "Conan, bangun Conan. Mari mandi cepat ayah dah buat air panas ni...". Menakjubkan, dia senyum ketika mata masih lagi rapat!! Apa lagi, teruslah gunakan watak Conan untuk bangkitkan semangatnya. Hasilnya, tidak ada bantahan dan tidak ada tantrum, dari waktu mandi sehingga sampai di kelas (untuk mandi aku masih kena angkat dia!!).

Perhimpunan sedang berlangsung ketika sampai, bergegas dia nak turut serta. Tunggu lebih kurang 15 minit untuk lihat reaksinya, sebab ada beberapa anak murid pra-sekolah yang menangis. Alhamdulillah, Hariz berjaya mengharunginya sehingga habis sesi sekolah.

Harap-harap berterusan begini... :).