07 December 2012

Hariz Khatan!

Khamis, 06 Dec 2012.

Hari ini hari bersejarah bagi Hariz dan aku, ayahnya. Hari ini tiba giliran Hariz berkhatan pada umur 11 tahun. Dia berkhatan di Al-Islam Specialist Hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ianya fasa yang mendebarkan dari saat membangkitkan dia dari tidur sehinggalah dia sedar dari tidur selepas berkhatan. Tiada pilihan lain selain dari melakukan bius penuh memandangkan dia memang kurang 'tolerate' dengan suasana dan peralatan perubatan.

Memang mendebarkan saat sampai di hospital, bimbang dia akan buat hal. Berjalan lancar dari daftar masuk hingga ke bilik. Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki yang membolehkan aku bayar bilik untuk seorang supaya dapat mengawal keadaan dan tidak mengganggu orang lain.

Menunggu di ruang pendaftaran

Periksa tekanan darah

Tanda nama

Saat untuk menukarkan baju, terpaksa aku memberi alasan atau 'bohong sunat' (walaupun mana ada bohong sunat). 

Menuggu giliran


Saat tiba panggilan menandakan tiba giliran, dia mula tunjukkan muka 'sangsi' dan tak mahu beri kerjasama. Bergerak juga setelah dipujuk kakak-kakak misi. Tiba diruang bilik bedah, lebih mendebarkan. Budak sedang meraung setelah sedar dari tidur, dan Hariz berdiri pejam-pejam mata di balik pintu. Namun dia tidak tunjuk untuk beredar dari ruang bilik bedah. Dia ada sedikit keyakinan bila aku juga sarung jubah macam dia. Melangkah masuk ke bilik bedah, terus dia rasakan ada sesuatu yang akan berlaku. Dia tak mahu berganjak dan mula nak protes. Setelah lima minit memujuk, doktor dan pasukannya sepakat untuk pegang beramai-ramai untuk dibius. Walaupun, kurang bersetuju namun aku percaya itu adalah langkah yang terbaik.

Setelah selesai.
Setelah dia sedar dari tidur dan sedar apa yang berlaku, dia luahkan rasa marah sebab anu nya dah di potong. Menangis dan menjerit. Menangis dan menjerit semakin menjadi-jadi bila dipujuk. Jadi, kami guna pendekatan tolak-tarik. Sehingga jam lebih kurang 1.30 petang dia sudah reda dan boleh terima apa yang dah berlaku pada dia.

Maafkan ayah Hariz. Segalanya demi menjalankan tanggungjawab ayah demi memenuhi hak kamu sebagai seorang Muslim.

23 November 2012

Pewarisan Harta / Wasiat

Sabtu, 24 Nov 2012.

Persoalan.... Apa akan terjadi kepada anak istimewa bila ibubapa tiada lagi? Bolehkah waris menjaganya? Apakah harta yang ditinggalkan akan sampai dan bermanfaat kepada anak istimewa? Bagaimana mahu pastikan harta boleh diuruskan dengan baik oleh waris? Bermacam lagi persoalan...

Kita hanya boleh merancang, Tuhan menentukan... namun bukan alasan untuk tidak merancang... tiada perancangan adalah perancangan untuk gagal...

Perlu ada perancangan untuk anak semasa kita hidup dan selepas kita meninggal dunia. Saya percaya ramai yang ada perancangan untuk anak semasa hidup kita. Tapi sudahkah kita ada perancangan untuk anak selepas kematian kita? Sekurang-kurangnya cukup untuk anak-anak berdikari setelah ketiadaan ibubapa.

Baru-baru ini telah hadir ke sebuah seminar kecil berkenaan dengan pewarisan harta atau wasiat. Sungguh bernilai ilmu yang diperolehi. Antara yang diterangkan:

- Apakah itu wasiat?
- Apakah perbezaan/kaitan wasiat dan faraid?
- Apakah yang dimaksudkan waris?
- Apakah implikasi jika wasiat tidak di tulis.
- Bagaimana wasiat dilaksanakan? Dan apakah peranan pentadbir harta, penjaga diri anak, penjaga harta dan perlukah ada pelindung (protector)?

Laporan akhbar mengatakan RM40bilion harta dibekukan kerana masalah wasiat. Itu tidak termasuk lagi masalah pentadbiran dan pengagihan harta pusaka, yang kadangkala mencetuskan perbalahan. Jadi sangat digalakkan untuk merujuk kepada organisasi yang menguruskan wasiat seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin; dan merujuk kepada para ilmuwan agama tentang hukum-hukum berkaitan harta pusaka dan wasiat.

Slide presentation boleh diperolehi di sini.


03 November 2012

Hariz Outing Ke Kuala Gandah Bersama Kawan-Kawan

Selasa, 30 Oct 2012.

Hari ini pertama kali Hariz sertai aktiviti lawatan bersama kawan-kawan. Saya mengikuti rombongan ini tanpa pengetahuan Hariz. Sekadar nak tahu macam mana tingkahlaku dia di luar bersama kawan-kawan. Alhamdulillah, rasanya dia sudah boleh mengikuti program luar tanpa banyak masalah.






Hariz Guna Vending Machine

Jumaat, 02 Nov 2012.

Dah lebih sebulan tak update blog ni. Banyak cerita yang hendak diceritakan tapi punya ruang masa yang terhad. Jadi, hari ni cuba kongsi salah satu cerita mengenai Hariz.

Hari ini kami bawa Hariz ke sebuah pasaraya di Setapak Kuala Lumpur untuk cari baju untuk dia buat persembahan pada hari esoknya, Sabtu. Tapi malangnya apa yang dicari tak ditemui... tapi singgah kedai kasut dan beli kasut untuk Hariz dan abangnya Haziq.

Pusing-pusing, Hariz nampak mesin vending air tin. Dia kata nak air soya. Dia keluarkan duit RM1 (yang baru) dari wallet dia dan masukkan ke slot duit. Malang, duit baru tak diterima. Jadi ibu dia keluarkan duit RM1 yang lama. Hariz masukkan duit ke slot duit dan tekan nombor air yang dia nak beli. Malang lagi, duit mesin tu amik tapi air tin yang dibeli tak keluar... hampeh betul mesin nih...


Hariz Buat Persembahan Di Anugerah Cemerlang SKTM2 2012

Sabtu, 03 Nov 2012.

Hari ini Hariz hadir ke Majlis Anugerah Cemerlang 2012 di SKTM2. Selain menerima Anugerah Cemerlang PPKI, dia juga terlibat dalam membuat persembahan untuk Pendidikan Khas.

Ini wajah sebelum berangkat ke sekolah.

Bersama guru selepas terima Anugerah Cemerlang PPKI.


video
Saksikan video rakaman amatur - Persembahan Hariz dan Kawan-Kawan.

22 September 2012

Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia 2012

Ahad, 16 Sept 2012.

Pada tarikh di atas, telah diadakan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Aidilfitri Autisme Malaysia 2012, bertempat di Masjid Putra, Putrajaya. Ini adalah majlis yang pertama dianjurkan oleh Persatuan Autisme Muslim Malaysia sejak ditubuhkan pada 19 Julai 2012.

Majlis telah dihadiri oleh 66 buah keluarga dari utara, timur, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia. Sebenarnya banyak lagi keluarga yang hendak hadir tapi tidak dapat di terima kerana saiz dewan yang terhad.

Majlis kali ini memberi peluang kepada abang senior Hariz iaitu Hazim anak kepada Puan Hidayati Basri menjadi pengacara majlis, dan abang Jeffery & abang Umar bersama rakan-rakan lain iaitu Syahmi, Asma' dan Muaz membuat persembahan. Sungguh meriah majlis dengan persembahan dan karenah anak-anak semua. Alhamdulillah majlis telah berlangsung dengan lancar dan tiada insiden yang tak diingini berlaku.

Hariz nampaknya lebih banyak duduk setempat bermain dengan gadget terbarunya. Sekali sekala ada gak pergi mengacau PA sistem yang diselia oleh Saudara Hasfizal.

Sempat merakamkan aksi-aksi semasa persembahan berlangsung...






Afif menyampaikan lukisan tanda penghargaan kepada pihak Masjid Putra.

Persembahan istimewa yang tiada dalam aturcara.

Juga mendapat liputan oleh stesen TV tempatan!


Kisah Nasi Lemak & PSP

Sabtu, 22 Sept 2012.


Nasi lemak adalah salah satu makanan kegemaran Hariz. Boleh habis dua bungkus sekali makan. Tapi, bukan nasi lemak dari semua tempat dia nak makan. Nasi lemak di tempat-tempat terpilih saja, mengikut selera dia.


PSP pula adalah salah satu permainan video kegemaran Hariz. Suatu ketika dulu permainan yang ada dalam PSPnya mesti sama dengan abangnya. Boleh runtuh langit kalau tak sama. Sekarang dia dah boleh pindah masuk game, lagu, video dan gambar ke dalam PSPnya. Jadi, dia dah tak kisah sangat kalau kandungan PSP tak sama dengan abangnya.

Tapi yang menariknya ada kisah yang lebih menarik tentang nasi lemak dan PSP ni. Suatu ketika dulu nasi lemak dan PSP ibarat lagu dan irama, tak dapat dipisahkan.... Bila makan nasi lemak mesti main permainan yang sama diPSPnya. Tiap kali makan nasik lemak... di ulang... tiap kali makan nasi lemak. Menurut kata pakar, ini di panggil 'association behavior', iaitu anak itu mesti lakukan perkara kedua tiap kali dia lakukan perkara pertama. Ini yang berlaku kepada Hariz, tiap kali makan nasi lemak dia mesti mahu main PSPnya. Apa motifnya, masih lagi misteri. Tekaan saya ialah dia cuba mengalih rasa pedas sambal nasi lemak dengan bermain game. Dia memang suka sensasi pedas.

Tidak pasti berapa lama ianya berlaku, tapi yang pasti lebih dari setahun. Jenuh cari cara macam mana nak 'leraikan' nasi lemak dan PSP. Sehinggalah pada hari Selasa, 11 Sept 2012 Hariz buat pertama kalinya makan nasi lemak tanpa PSP. Ajaib. Hanya dengan mengatakan "kalau nak makan nasi lemak, NO PSP" dengan tonasi lembut dan tegas. Biar dia sendiri buat keputusan, nak makan nasi lemak ke atau nak main PSP sambil makan... at last dia terima, makan nasi lemak tanpa PSP. Sejak hari itu dia tidak lagi makan nasi lemak sambil main PSP. Alhamdulillah.

21 September 2012

Mengawal-selia Obsesi

Jumaat, 21 Sept 2012.

Setiap anak yang mengalami autisme pasti ada sesuatu yang menjadi kegilaan kepada mereka, atau lebih tepat dengan istilah obsesi. Obsesi boleh mendatangkan keburukan dan masalah bila tidak boleh di kawal. Namun, obsesi juga boleh ditukar menjadi kebaikkan jika dapat di kawal dan di eksploitasi.

Jadi kali ini kisah Hariz yang obses dengan gadget Samsung Galaxy Note. Dia sangat obses dengan model Samsung ni hingga boleh nak jual Samsung Tab yang dia ada dan segala kerja seni (berkomputer atau konvensional) dia mesti ada Samsung Galaxy Note tu.



Jadi masalah bila pergi ke pasaraya besar sebab kat situ ada kedai telefon bimbit yang dia tahu ada tayang telefon tu... adei, mahal tu. Jenuh bagi alasan untuk mengelakkan dia dari fokus untuk mendapatkan telefon tu. Teknik mengalih tumpuan tak dapat buat dia melupakan gadget idaman. Tak kan la nak belikan macam tu je tanpa mintak dia buat sesuatu yang kita mahu dia buat. Mesti jadikan obsesi sebagai reinforcer.

Jadi, kami set matlamat supaya dia boleh menabung sambil tu mengajar dia bahawa gadget tu bukan percuma dan mengajar dia bertoleransi. Kami jadikan botol kuih sebagai tabung dan beritahu dia, kena kumpul duit dulu baru boleh beli Samsung. Respon memang positif tapi perlu mengingatkan dan mengulang ayat-ayat untuk menyimpan duit dengan kerap dan konsisten. Adakalanya dia cuba memberontak sebab tak boleh sabar nak beli gadget tu. Ketika inilah dia menguji kesabaran kita dan kemahiran kita untuk tackle. Alhamdulillah, dengan ayat yang konsisten dan beritahu akibat kalau tak disiplin, kemarahan dia dapat di kawal. Kira-kira seminggu dilaksanakan, dia sudah boleh terima - kena kumpul duit dulu sebelum boleh beli Samsung. Apa indikatornya? Dia pantang nampak duit terdedah atas meja atau nampak duit baki bila di kedai, dimintanya untuk dikumpul.

Namun, dia masih belum faham tentang jumlah duit yang harus dikumpul. Sukar untuk memahamkan dia tentang ini. Tambahan tahap kesabaran dia nampak dah sampai ke tahap boleh 'meletup', sebab dia cepat tension dan pernah memukul kita dengan agak kuat bila dalam keadaan marah. Jadi kami rasa masanya dah tiba untuk beri apa yang dia mahukan. Maka kami buat keputusan berat untuk belikan gadget idamannya.

Dalam pada itu kami fikir, apa yang patut kita nak dia buat bila kita beri dia gadget idamannya tu. Antara perkara yang dia perlu patuhi:
- Tidak boleh mengambil telefon orang lain.
- Serahkan Samsung Tab, telefon Nokia & mp3 player
- Disiplin
- Hadir sekolah hari Isnin dan seterusnya
- Mengaji al-quran (di Faqih & rumah)

Setakat artikel ini di tulis, dia masih lagi mematuhi perkara di atas dengan pantauan. Itulah cara saya mengawal-selia obsesi Hariz.

24 August 2012

Hariz Berhari Raya 2012 (1433H)

Jumaat, 24 Ogos 2012.

Secara keseluruhan, hari raya tahun ini berjalan lancar dan Hariz tak banyak buat kerenah. Raya tahun ini Hariz mahu pakai baju melayu dari pagi tahan sampai ke petang.


Namun, persediaan awal telah disusun - notebook, tab, psp, charger, beg cd, pensil case, sketch book... segalanya. Alhamdulillah dia cukup sekadar guna notebook dan internet semasa berada di rumah atuk/neneknya. Bila pergi ke rumah lain, bawa juga notebook tu tapi tak di buka pun.

Hanya satu perkara saja yang boleh menjadi punca tantrum jika tak dapat di kawal - kegilaan untuk dapatkan sebuah Samsung Galaxy Note II. Tiap kali keluar rumah, pasti dia mengajak untuk pergi ke pasaraya besar untuk beli gadget tu.



Taktik tabung untuk kumpul duit beli gadget tu setakat ini dapat meredakan dia bila dia mula provoke untuk dapatkan yang dihajatinya itu. Response yang konsisten dan tegas memang di tuntut.



21 July 2012

Hariz Zamri Penyunting Video Muda

Sabtu, 21 Jul 2012.

Menyunting video bagi kebanyakkan orang adalah sukar. Memerlukan kombinasi kreativiti dan kemahiran menggunakan software penyunting video. Berikut adalah hasil suntingan video oleh Hariz Zamri. Untuk makluman, video ini dirakam dengan Samsung Tab dan video dimuat turun ke komputer. Video disunting menggunakan video editor yang aku pasang dan ajarnya dua atau tiga kali sahaja.




19 June 2012

Adakah Angin Perubahan Telah Tiba Untuk Keperluan Khas (Autisme)?

Selasa, 19 Jun 2012.

Hari ini keluar cerita yang menarik tentang autisme di akhbar tempatan dan di TV juga. NASOM Negeri Perak mendapat sumbangan kewangan disampaikan oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor. Dan, beliau telah menyeru supaya semua pihak bekerja keras bersama demi masa hadapan anak anak autisme di Malaysia. Beliau juga mencadangkan agar membina sekolah khusus untuk autisme.


Sumber berita lain boleh di capai di http://peraktoday.com/

Ada berita lain juga di The Sun, berkaitan dengan pembangunan pendidikan khas diperingkat tinggi. Agak serius dan nampak menyakinkan.






Apa pun diharapkan ianya dapat dilaksanakan seperti yang dipelankan. Namun, pelan perlaksanaan tidak dikongsi bersama rakyat. Dan, bagaimana ianya diselarikan bersama EduReview.... entahlah. Semoga masa hadapan individu autisme lebih baik dari sekarang.


Kompilasi Wajah Wajah Istimewa Autisme Malaysia

Selasa, 19 Jun 2012.

Untuk buat pertama kalinya aku kumpulkan rakan rakan Hariz dan dipersembahkan dalam bentuk slide. Mereka yang terpapar dalam slide itu hanyalah sebahagian dari keseluruhan...



Dan slide berikut adalah istimewa untuk aku hehehe... bukan kerana mereka perempuan... kerana aku tiada anak perempuan...


sememangnya mereka adalah istimewa, tersendiri...


01 May 2012

Hariz Di Hari Sukan SK Melawati 2 Tahun 2012

Ahad, 29 April 2012.

Pada hari ini telah berlangsung hari sukan bagi tahap satu di SK Melawati 2. Merupakan kali pertama Hariz bersama-sama menjayakan dengan menyertai acara yang telah diaturkan oleh guru-guru pendidikan khas. Hariz jalani latihan selama dua minggu sebelum acara berlangsung. Jika dilihat acaranya tidaklah sukar, namun bagi mereka yang berkeperluan khas adalah satu cabaran yang besar. Aku tabik kepada semua guru dan pembantu yang sangat berdedikasi dan bersungguh-sungguh melayani kerenah pelajar-pelajar khas. Saksikanlah murid-murid pendidikan khas beraksi.




Warming up :)

Mendengar taklimat.

Dengan medal :)

28 April 2012

Hariz Di Walk For Autism 2012 & Rancangan Apa Kata Wanita TV1

Ahad, 15 April 2012.

Hariz bangun seawal jam 5.30 pagi untuk menyertai acara Walk for Autism 2012 untuk pertama kali. Alhamdulillah, tiada masalah bangun pagi. Cumanya ada sedikit protes ala-ala nak merajuk manja hanya kerana tak mahu pakai baju biru berkolar yang memang dibeli khas sempena bulan kesedaran autisme. Siap buka baju dan tunjuk muka sedih sambil meleleh-lelehkan air mata. Seperti biasa aku hanya respon bila dia tanya atau panggil, tak hiraukan 'drama' dia. Masalah selesai bila ibu dia datang dan terus pakaikan baju biru tu. Itulah 'power' nya ibu dia.

Tiba di Citta Mall (tempat acara diadakan) sekitar jam 7.10 pagi. Ramai juga yang sudah sampai. Hariz sedikit terlebih rangsangan sebab ramai orang disekeliling. Namun, terkawal. Acara dimulakan dengan persembahan oleh anak-anak autisme dari NASOM dan artis kesayangan ramai Umar Hasfizal. Kemudian dituruti dengan ucapan sekaligus perasmian dan perlepasan.

Perjalanan sejauh lebihkurang 3.5KM dan Hariz berjaya melakukannya! Berjalan terus tanpa henti dan sangat ceria. Bersama-sama ikut berjalan, abang Haziq, Mikail dan adiknya serta abah/ibu mereka - En. Izan/Pn. Zra.



Pada sebelah petang, Hariz hadir di Angkasapuri untuk bersama-sama bersiaran dalam rancangan "Apa Kata Wanita?". Ramai ahli Autisme Malaysia memenuhi ruang penonton termasuk abang-abang senior iaitu Iddin, Hazim, Hafiz, Umar & Afif. Dan alhamdulillah Hariz sangat berdisiplin pada hari itu. Paling menggembirakan, guru sekolah Hariz turut sama hadir sebagai tanda sokongan.





07 April 2012

April 2012 - Bulan Kesedaran Autisme

Sabtu, 07 Apr 2012

Tidak pasti berapa ramai yang tahu tentang tarikh 02 April  adalah hari Kesedaran Autisme Sedunia. Namun yang nyata ramai masih tidak tahu mengenai tarikh itu dan tentang autisme itu sendiri. Banyak program diaturkan dalam bulan April ini. Antaranya

02 April 2012 - Pelancaran Album Mini Umar Hasfizal (seorang remaja autisme) di Bentley Music.


02 April 2012 - Liputan secara langsung di Makmal Autisma UKM dalam rancangan Malaysia Hari Ini di TV3




04 April 2012 - Liputan secara langsung di NTV7 bersama Pn. Hayati Jaafar dan anak remaja beliau Iddin.


06 April 2012 - Liputan secara rakaman di Makmal Autisma UKM dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3


08 April 2012 - Golf Amal Autisma UKM 2012




15 April 2012 - Walk for Autisme anjuran NASOM.





15 April 2012 - Liputan secara langsung di rancangan Apa Kata Wanita di TV1








21 April 2012 - Bersiaran dirancangan Assalammualaikum di TV Al-Hijrah
{malangnya, tiada video untuk di kongsi}

29 April 2012 - Slot Kesedaran Autisma di Buletin Awani



Namun ada sesuatu yang sangat aku teruja iaitu dikalangan ahli Autisme Malaysia mengambil inisiatif sendiri dengan memakai baju biru atau berlogo Autisme Malaysia sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Itulah antara aktiviti bagi meningkatkan kesedaran mengenai autisme di Malaysia. Semoga berterusan di masa akan datang.

Beza Perkataan 'Balik' Dan 'Singgah' Bagi Hariz

Ahad, 01 April 2012.

Hari ini kali ke tiga pulang ke rumah di Johor untuk meninjau rumah di sana sambil menjenguk nenek Hariz. Nak balik 1-2 hari pun menjadi cabaran untuk kami sekeluarga. Jadi, seperti mana aktiviti lain biasanya kami akan bagitau Hariz mengenai perjalanan atau tempat yang nak tuju 1 atau 2 hari sebelum. Kami mengharapakan dia dapat terima bila kita sebut nak balik Johor. Ternyata dia masih belum dapat menerima, maka dia menampilkan jurus tantrum tahap pertama dan boleh ke tahap kedua ketiga dan seterusnya jika tak di kawal dengan segera.

Sebagai langkah kawalan, kami mengunakan perkataan 'singgah' bagi menggantikan perkataan 'balik'. Kami terangkan kepada dia maksud 'singgah' dengan menerangkan bahawa kita singgah Johor sebab abang nak ambil hadiah lepas tu balik KL. Nampak dia boleh terima perkataan singgah, namun masih belum terima sepenuhnya. Dia kerap bertanya 'Pergi mana ni?' dengan nada khuatir, sebab dia tak mahu balik Johor. Kami kekalkan jawapan dengan perkataan 'singgah' di tambah dengan enforcement dengan ayat 'Kita balik terus Johor kalau nak mengamuk-ngamuk!' bila nampak dia sengaja tak mahu terima apa yang kita cakap. Alhamdulillah, dia beri kerjasama dan kami balik ke Johor dengan aman dan ceria. Harapnya, perjalanan balik yang seterusnya tiada lagi isu ini.

12 March 2012

Hari Keluarga Autisme Malaysia 2012 Di Taman Rimba Komanwel

Sabtu, 10 Mac 2012.

Hari ini dalam sejarah, buat pertama kali keluarga Autisme Malaysia berkumpul dengan melakukan pelbagai aktiviti yang diaturkan bertempat di resort. Dilaksanakan setelah perancangan selama lebih kurang 2 bulan. Sesuatu yang boleh membanggakan semua orang dimana terciptanya logo baru, t-shirt yang sedondon dengan logo baru, ada acara yang tersusun dan makanan yang sedap cukup untuk semua orang yang hadir.

Acara bermula lewat setengah jam disebabkan menunggu beberapa keluarga kerana ada yang tersesat. Mula dengan bacaan doa oleh adik Umar Hasfizal. Diikuti dengan penyampaian oleh Dr. Hasnah Toran selepas taklimat oleh pengerusi majlis (saya la tu). Sesi pagi diakhiri dengan sesi penyampaian oleh Ustazah Nor 'Aziah sebelum berehat untuk makan tengah hari dan solat zohor.

Setelah kembali dari berehat acara diteruskan dengan indoor games. Meriah tak ingat punya walaupun tak selancar seperti acara-acara biasa :).

Kemudian peluang diberi kepada ibubapa untuk memeriahkan acara dengan 'dipaksa 'ambil bahagian dalam :).

Secara keseluruhan, acara didalam dewan sangat meriah denga telatah anak yang bebas bergerak dengan aksi masing tanpa halangan semasa acara berlangsung.

Kemudian acara disambung dipadang iaitu acara menunggang 'pony'. Sungguh bertuah mereka dapat menunggang 'pony'.


Akhir sekali, acara barbeque sambil anak-anak main air di anak sungai. Air keruh tapi tak ada seorang pun yang geli nak masuk.

Dan... yang paling menarik kali ini ialah mendapat liputan dari kru MHI TV3. Lawat group Autisme Malaysia di Facebook untuk lihat gambar sekitar acara. Enjoy!

29 February 2012

Group Autisme Malaysia di Facebook

Tulisan ini bukan mengenai Hariz, tapi bagaimana keadaan Hariz telah menyumbang kepada tertubuhnya group Autisme Malaysia. Sewaktu Hariz disahkan autisme, aku dan isteri tiada langsung pengetahuan mengenai autisme. Malahan saat itulah pertama kali mendengarnya. Syukur dengan teknologi yang ada membenarkan aku mencari maklumat mengenai autisme. Sangat banyak maklumat bersumber dari barat. Amat-amat kurang maklumat dari dalam negara sendiri. Sangat terhad. Selain itu cari juga buku-buku, pun banyak datang dari barat. Ehmm....

Di internet, mencari maklumat hingga ke Facebook. Cuba mencari page atau group berkaitan autisme di Malaysia, namun tidak dijumpai. Dalam hati, apa kat Malaysia ni tak ramai penghidap autisme?? Tak puas hati sebab bila pergi ke hospital ada ramai anak-anak autisme, dan pergi ke mana-mana boleh dikatakan tiada langsung kesedaran mengenai autisme. Autisme adalah perkataan yang sangat asing. Masyarakat memandang masalah penghidap autisme ini sebagai penyakit mental atau gila. Aishh... tak boleh jadi macam ni.

Pada waktu yang sama, aku merasakan perlu mencari orang-orang terdahulu yang ada anak autisme untuk belajar bagaimana mereka mendidik dan menjaga anak autisme - networking. Dan, perlu lakukan sesuatu untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme. Jadi,aku buat satu group di Facebook dengan nama Autisme Malaysia dengan harapan matlamat kecil aku itu boleh tercapai. Sebagai permulaan, aku hanya menjemput Friends untuk menjadi ahli dan syukur mereka menjadi ahli sebagai menyokong inistiatif aku. Pada ketika entry ini ditulis, ahli Autisme Malaysia telah mencapai angka lebih dari 500. Dan, sekarang mempunyai logo sebagai identiti group.

Hanya ini yang aku termampu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai autisme dan pada masa yang sama menyediakan tempat untuk para individu (khususnya ibu bapa) yang mendidik/menjaga anak-anak autisme berkongsi rasa/pengetahuan/pengalaman/maklumat.

Harapan aku group ini mampu memberi impak kepada pihak berwajib untuk meningkatkan lagi prasaran untuk anak-anak autisme khususnya dan warganegara istimewa (kelainan upaya) yang lain amnya.

Ini adalah identiti baru group Autisme Malaysia di Facebook.

Ini adalah identiti asal group Autisme Malaysia di Facebook.

23 February 2012

Kisah Temujanji Pertama Di PPUM

Khamis, 23 Feb 2012.

Hari ini temujanji pertama dengan doktor sejak bertapak di Kuala Lumpur. Hari ini juga pertama kali Hariz pergi ke temujanji bersama ayah sahaja. Sebelum ini ibunya wajib ikut. Keluar dari rumah sedikit awal hanya kerana takut tidak dapat ruang tempat letak kereta. Setelah melapor diri, keluar ke kafe untuk bersarapan sementara menunggu giliran. Hariz sempatlah habiskan dua bungkus nasi lemak (memang favorite dia ni).

Balik ke pusat pemulihan, disana aku nampak seorang lelaki, seorang wanita berkerusi roda dan seorang wanita lagi sentiasa memegang seorang kanak-kanak. Aku agak diorang ni tak ada hubungan sebab duduk lain-lain. Duduk untuk beberapa ketika tanpa apa-apa aktiviti memang membosankan. Hariz dengan gadgetnya. Aku mula menegur si lelaki tu (penyibuk aku ni), bertanyakan macam-macam. Rupanya, anak dia menghidap disleksia dan ada ADHD. Sambil aku berbual tu sengaja kuatkan sedikit suara supaya dapat di dengar oleh wanita yang berkerusi roda tu. Sebabnya dia macam nak dengar bila aku sebut autisme, hyper, non-verbal dan lain-lain. Betul tekaan aku bila dia mula sertai perbualan.

Kanak-kanak yang sentiasa di pegang dan di kawal pergerakkannya, rupa-rupanya anak kepada wanita berkerusi roda tu. Dia beritahu, anaknya itu dah empat tahun dan belum bercakap, sangat aktif. Bercakap dalam nada risau. Untuk tidak menambah kerisauan yang ada, aku kongsi la sikit pengalaman dengan Hariz dan dia mendengar. Beri sedikit tips yang mungkin dia boleh lakukan. Perbualan terhenti bila doktor panggil Hariz (giliran dah tiba). Dalam hati aku, alahai... cam mana la wanita ni nak menguruskan anak autisnya itu. Namun, kagum dengan apa yang dia dapat lakukan dengan keadaannya yang berkerusi roda. Semoga Allah permudahkan segala urusannya.

Sewaktu balik, Hariz pau aku kek coklat kat Secret Recipe. Beli dan balik dengan hati gembira...

19 February 2012

Hariz di Mesyuarat PIBG

Sabtu, 18 Feb 2012.

Hari ini mesyuarat agong sekolah Hariz berlangsung. Mesyuarat berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga ke 1.00 petang. Lama tu, tapi Hariz berjaya bersama-sama hingga tamat mesyuarat. Masa mengundi calon AJK PIBG, Hariz pun ikut angkat tangan sama hehehe...

16 February 2012

6 Kawan!

Khamis, 16 Feb 2012.

Hari ini Hariz boleh beritahu berapa orang kawan sekelas, apa nama mereka, apa nama kelas dan siapa nama cikgu. Isteri beritahu cerita berikut:

Ibu: "Hariz, apa nama kelas adik?"

Hariz: "Azam"

Ibu: "Siapa cikgu adik?"

Hariz: "Cikgu Nurhuda"

Ibu: "Siapa nama kawan?"

Hariz: "Enam kawan!"

Ibu: "Siapa nama kawan?"

Hariz: "Adib"

Ibu: "Lagi..."

Hariz: "Asila"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Wasim"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Fatuhrahman"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Amirul"


Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Hanif"


Itulah perkembangan terbaru Hariz sejak di sekolah baru. Sangat membanggakan. Terima kasih cikgu. Syukur kepada Allah.

07 February 2012

Bersiar ke i-City

Sabtu, 28 Jan 2012.

Cuti hujung minggu, aku bawa Hariz dan abangnya Haziq ke i-City di Shah Alam. Untuk pengetahuan pembaca ini adalah kali pertama bersiar bersama Hariz di taman tema. Sebelum ini ada niat untuk bawa dia ke sebuah taman tema tapi dibatalkan kerana keadaan tidak mengizinkan disaat akhir. Di i-City selain dari lampu yang berwarna-warni ada rumah salji, gondola, the pirate ship, sky walker, mary-go-round dan tren untuk kanak-kanak.

Secara keseluruhannya Hariz menyukai i-City tetapi tidak nampak keterujaan terhadap lampu-lampu dan cahaya. Dapat juga libatkan dia bermain dengan beberapa permainan, antaranya rumah salji, skywalker, gondola, the pirate ship, mary-go-round dan tren. Dia sangat suka naik tren. Sampai dua kali naik. Agak mendebarkan ialah semasa bermain the pirate ship dan skywalker sebab kedua-dua permainan ini berkedudukan agak tinggi dari aras tanah. Namun, Hariz telah lulus! Dikongsikan beberapa gambar semasa di i-City:












29 January 2012

Hariz Pergi Kuliah Lagi

Ahad, 29 Jan 2012.

Hari ini sekali lagi hadir di UKM ikut aku mendengar kuliah "Behavior Modification" disampaikan oleh Dr. Hasnah Toran. Seperti sebelumnya Hariz dapat 'mengawal diri' dan bermain dengan gajet hingga kuliah tamat, dan sempat juga hasilkan satu karya. Lihat gambar.




Kuliah sesi kali ini ramai yang datang (aku po baru dua kali je join kuliah cam gini). Harap-harap bertambah pesertanya dan mudahlah UKM untuk melakukan sesuatu yang dapat membantu individu autisme, penjaga, ibubapa, guru-guru dan sesiapa saja yang ada kaitan dengan autisme pada masa akan datang. Sekaligus dapat mengubah sistem pendidikan negara yang mesra masyarakat kelainan upaya.

23 January 2012

Situasi Sepontan Dengan Hariz

Isnin, 23 Jan 2012.

Aku nak cerita pasal perbualan aku dengan Hariz pada hari ni, yang aku rasa amat positif. Perbualan dalam jangka masa lima minit begitu. Begini kisahnya, Hariz telah menyusun barang terdiri daripada komputer riba, bantal, permainan kereta, beg CD dan PSP. Di bawah adalah hasil susunan barang-barang tersebut.



Agak-agak anda, apa yang Hariz bayangkan dengan struktur di atas? Jawapan saya akan berikan kepada para pembaca yang menghantar jawapan anda sendiri ke zamri.tembol@gmail.com. Ini sekadar ingin mengetahui siapa di antara kita yang normal boleh mentafsir karya Hariz ini. Dialog di bawah ada klu untuk jawapan :)

Ok berbalik kepada perbualan aku dan Hariz. Berikut dialognya,

Hariz: "Ayah, ni ni Acer Internet Shop Sdn Bhd." {aku pun tak tahu ada ke tidak company ni, mana dia dapat??}

Ayah: "Oo.. ada jual apa?"

Hariz: "PC desktop"

Ayah: "Lagi?"

Hariz: "Acer ipad..."

Alat permainan tu ada tiga buah kereta (jumlah sebenar ada empat, satu dah rosak).

Ayah: "Ada berapa kereta?"

Hariz: "Tiga!"

Ayah: "Mana lagi satu?"

Hariz: "Dah rosak"

Ayah: "Siapa rosakkan?"

Hariz: "Kawan-kawan"

Ayah: "Oo... siapa kawan tu?"

Hariz: "Kawan.." {tak tahu macam mana nak jawap la ni}

Ayah: "Pakai baju apa?" {saja tanyakan soalan ini sebab nak tahu kawan mana satu yang Hariz maksudkan, sebab pada hari sebelumnya memang ada kawan-kawannya bermain dengan permainan tu}

Hariz: "Hijau"

Aku dan isteri tersenyum dan dapat mengagak siapa yang Hariz maksudkan. Permainan yang rosak dan siapa yang rosakkan aku tak kisah, yang penting ialah dia bertambah peka dengan persekitarannya dan mampu untuk berkomunikasi. Adakalanya dia cuba untuk berkata-kata hendak menyampaikan apa yang ada difikirannya, tapi kerap tidak kesampaian sebab tak tahu bagaimana nak menzahirkan kata-kata dengan sempurna. Aku cuba juga membinakan ayat untuk dia jika aku boleh memahami apa yang dia ingin katakan. Kadang berjaya kadang tidak berjaya.

Terus mencuba tidak kira berapa kali percubaan tidak berjaya. Gagal hanya bila kita berhenti untuk mencuba.