06 November 2013

I Am Flying!

Rabu, 06 Nov 2013.

Ini cerita tentang pengalaman bersama Hariz dalam kapal terbang. Kali pertama Hariz terbang ialah ketika umur 3 tahun. Pada ketika itu dia belum lagi disahkan autisme. Penerbangan pergi dan balik (Johor Bahru - Miri) memang amat merisaukan kerana dia seorang budak yang sangat aktif. Tapi syukur kerana dia boleh tidur sepanjang penerbangan, cuma ada sedikit masalah semasa penerbangan turun kerana telinga sakit disebabkan perubahan tekanan di dalam kabin.

Kali kedua (terbaru), pada minggu lalu penerbangan KL-Bintulu. Ketika ini umur dia 12 tahun, bermakna penerbangan terakhir ialah 10 tahun lepas. Agak mendebarkan juga menunggu reaksi bila berada di lapangan terbang dan semasa penerbangan nanti. Strategi yang digunakan:

- Social Story: cerita mengenai perancangan perjalanan berserta tarikh seminggu lebih awal.
- Pesiapan: Sediakan alatan keperluan peribadi dan bersedia untuk berkompromi. Pastikan makan dan minum secukupnya dan menerangkan secara ringkas aktiviti berikutnya semasa dilapangan terbang.

Selebihnya, berdoa dan tawakkal.

Saya memilih untuk tidak menggunakan kelebihan pemegang kad OKU. Bukan sombong atau malu, tapi inginkan Hariz mengalami pengalaman proses menaiki pesawat dan ingin tahu sejauh mana Hariz boleh bertoleransi dengan peraturan. Alhamdulillah, tiada masalah dari proses check-in, pemeriksaan keselamatan, menunggu untuk masuk pesawat dan setkan telefon bimbit dalam mode pesawat.

Cuma ada beberapa situasi yang boleh mengundang kejadian yang tidak di ingini jika salah menguruskannya:
1. Dia seperti tidak mahu pergi ke Bintulu, bila kita mulakan social story.
2. Dia seperti tidak mahu pulang setelah berada di hotel yang agak selesa.
3. Dia melahirkan kerisauan dengan kata-kata "Hujan... macam mana nak terbang ni!!??", bila hujan lebat pada waktu menunggu untuk masuk pesawat.
4. Dia melahirkan rasa tidak selesa menunggu dengan kata-kata "Aduii... lambatnya... macam mana ni...!"

Untuk situasi 3 dan 4 dia menyebut ayat yang sama berulang-ulang. Untuk atasi kesemua situasi, saya mengambil pendekatan memberi jawapan yang konsisten, sabar, dalam nada yang sangat rendah dan buat sesuatu yang boleh buat dia senyum/ketawa. Alhamdulillah, diizinkan oleh Allah ianya berjaya.

Sepanjang penerbangan, dia sangat disiplin dan baik tingkahlaku. Dengan dan tanpa sistem hiburan dalam pesawat tidak menjadi penyebab marah atau kejadian yang tidak diingini. Di dalam pesawat dia hanya makan kek dan minum air masak.

Ada juga dialog yang mencuit hati, antaranya:
- bila pesawat mula terangkat dari landasan "i'm flying... i'm flying.."
- bila pesawat senget untuk membuat pusingan di udara "ibu... tak nahaskan..?"