31 January 2010

Pertama Kali Hariz Buat Kerja Sekolah Di Rumah!

31 Jan 2010.

Hari ini amat menggembirakan aku sebab Hariz mahu buat kerja sekolahnya di rumah. Pertama kalinya! Guru meletakkan buku-buku kerja Hariz yang tak dapat disiapkan semasa di sekolah. Walaupun tak banyak mana kerjanya tetapi cukup untuk buat pertama kali. Hariz boleh buat kerja sekolah tersebut dari jam 9.30 malam hingga 10.00 malam; tanpa bantahan dan penuh perhatian. Sesuatu yang sangat positif! Terima kasih Guru!

  

25 January 2010

Menaruh Harapan Perubahan Positif Di Kelas Pendidikan Khas

25 Jan 2010.

Hari ini pertemuan di antara pihak PPD, pengurusan sekolah dan aku (bersama isteri) bagi merungkai masalah. Pada pertemuan itu awalnya aku di anggap terlalu banyak campur tangan urusan pihak sekolah. Ibubapa lain tak ada pula yang komplen, kata mereka. Jumpa guru baru tanpa pengetahuan pentadbir, kata mereka lagi. Nampaknya meraka cuba "switch" topik perbincangan.

Macam mana aku tak campur tangan kalau melihat tenaga pengajarnya langsung tak melihatkan reaksi positif dengan ibubapa. Cuba bayangkan, dalam tempoh 3 bulan tak sekali pun ada keinginan nak berbincang atau pun berbual dengan aku/isteri mengenai perkembangan anak di sekolah. Perbincangan dua-hala antara guru dan ibubapa adalah perkara biasa untuk membantu anak-anak pendidikan khas. Bila kita kata tak layak untuk jadi guru pendidikan khas tau pula marah.

Ibubapa lain takut nak tampil takut kalau anaknya diabaikan. Aku tak boleh bawa masalah mereka, nanti macam aku pula yang sibuk dan tak mahu di anggap penghasut. Mereka kena tampil sendiri. Yang 'best'-nya, mereka tahu ada masalah tapi anggap tak ada masalah sebab tak ada laporan. Mana boleh! Pergi siasat!

Aku jumpa guru baru tu bagi maklumat pasal Hariz pun tak boleh ke? Cikgu tu baru, mesti nak tau pasal perangai Hariz. Dan aku beri jaminan akan bantu sedaya yang boleh untuk sama-sama mendidik Hariz. Aku salah ke?

Apa-apa pun matlamat aku yang pertama dah di capai, usaha dah di buat, selebihnya aku berserah kepada Allah swt. Cuma berharap ibubapa yang lain berani tampil kehadapan bagi menyuarakan masalah mereka. Dan, kepada yang berkenaan - berubahlah demi anak-anak pendidikan khas. Pandanglah mereka dengan mata hati, sentuhlah mereka dengan hati, belailah mereka dengan hati, jadikanlah kamu idola mereka... sementara masih ada kesempatan.

Mohon maaf kalau aku dan isteri membuat silap. Mungkin 'expectation' kami terlalu tinggi, tapi itu berdasarkan kepada sekolah-sekolah lain yang aku jadikan 'bench-mark'. Aku optimis perubahan positif di kelas pendidikan khas.

19 January 2010

Memang Payah Nak Membetulkan Perangai Manusia Dewasa Yang Normal

19 Jan 2010.

Hari ini aku belajar sesuatu tentang kehidupan bermasyarakat iaitu payah untuk kita membetulkan perangai manusia dewasa yang normal - sama payah untuk membetulkan perangai manusia kurang upaya atau istimewa. Tapi seharusnya, manusia normal boleh berfikir dengan baik untuk menjadi manusia berguna kepada semua manusia disekelilingnya. Malangnya, ada yang menggunakan kelebihan yang ada pada mereka untuk kepentingan sendiri tanpa sedar atau dalam sedar. Dan lebih menyedihkan bila yang menjadi mangsa adalah manusia istimewa.

"Ya Allah! Jauhkanlah aku dari sifat-sifat golongan ini. Berikanlah mereka hidayah mu Ya Allah. Dan lindungilah, hindarkanlah manusia istimewa dari menjadi mangsa golongan ini."

15 January 2010

Tak Boleh Kelentong Hariz Lagi

15 Jan 2010.

Sekarang agak sukar nak bagi alasan atau sebab bila Hariz minta sesuatu yang tak sepatutnya. Sebelum ini Hariz tak kisah sangat atau tak kisah nak menuntut janji bila beri alasan lain sebagai alternatif. Mungkin masanya untuk dia boleh faham bila kita beri sebab sebenar kenapa sesuatu permintaan tak boleh dipenuhi. Harapnya begitulah.


14 January 2010

Kesan Kuasa Di Tangan Yang Salah - Satu Contoh Kecil

14 Jan 2010.

Baru masuk minggu ke 2 persekolahan, sudah macam-macam cerita yang aku dapat. Ada saja cerita yang kurang enak pasal guru penyelaras yang problem tu. Aku takut aku berat sebelah pulak nanti. Tapi bila guru yang baru masuk itu sendiri (dia mengajar Hariz ketika ini) tak berani nak bersembang dengan aku & isteri - takut di lihat oleh guru penyelaras yang problem tu - itu agak membimbangkan.

Aku lihat ini sebagai satu contoh kecil kesan apabila kuasa pengurusan berada di tangan tangan yang salah. Hingga orang bawahannya rasa tidak selamat. Macam mana pun terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Aku mahu lihat sejauh mana keadaan ini dalam 1-2 minggu ini.

Moralnya, sama-samalah kita bermuhasabah diri dan berdoa supaya tidak menjadi seperti golongan tersebut.

10 January 2010

Bahan Bacaan Yang Disarankan

Ini bukan promosi atau iklan. Sekadar berkongsi sumber ilmu yang mungkin boleh dimanfaatkan. Berikut judul buku-buku yang bagus untuk di baca:

1. Menjadi Guru Pendidikan  Khas
2. Apa itu Autisme?
3. Mengurus Kanak-Kanak Yang Sukar Belajar
4. Mengapa Kanak-Kanak Sukar Belajar?

Yang di bawah ini dari amazon.com.

Understanding Autism For Dummies (For Dummies (Health & Fitness)) The Changing Face of Autism Ten Things Every Child with Autism Wishes You Knew

05 January 2010

Kawan Baru Hariz 2010

Selasa, 05 Jan 2010.

Tahun ini Hariz ada 3 orang kawan baru. Dua lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua budak lelaki itu mengalami masalah "slow learner". Yang perempuan itu pula mengalami Sindrom Down + hiperaktif. Ibu dan bapa kepada salah seorang budak lelaki itu mempunyai attitude yang sangat positif - terbuka untuk berbincang dan berkongsi pengalaman serta maklumat. Juga optimis untuk anak dapat berdikari dan berpelajaran. Sedikit kasihan kepada ibu budak perempuan itu sebab pada hari pertama, guru yang bertanggungjawab mentadbir pendidikan khas, menyatakan anak tersebut tidak boleh masuk ke kelas itu dan harus di hantar ke sekolah yang lain. Pilu hati ibu itu bila dalam keadaan begitu. Mujur guru berkenaan menarik semula keputusannya dan menyatakan anak itu boleh bersekolah di situ. Itu pun setelah dia nampak isteri aku melepak dengan ibu budak perempuan itu. Aku dan isteri sedia maklum perangai dan tingkahlaku guru berkenaan dan sentiasa memantau aktiviti kelas pendidikan khas.
Autism Awareness Puzzle Car Magnet 8" X 4" Autism Awareness Puzzle Piece Car Magnet
Apa yang aku nak sampaikan di sini ialah laksanakan tanggungjawab kamu dengan hati yang ikhlas dan jagalah silaturahim, tetapi jangan sebut pun "saya ikhlas..." sebab keikhlasan hanya Allah yang tahu dan menilainya. Dan, janganlah kamu menyalahgunakan kedudukan kamu untuk menganiaya orang lain. Sesungguhnya doa orang teraniaya amatlah makbul.

03 January 2010

Hari Pertama Persekolahan Hariz Tahun 2010

04 Jan 2010

Hari Isnin Hariz memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2010. Cabaran pertama - mengejutkannya dari tidur, mandi, berpakaian sekolah dan pergi ke sekolah - sememangnya ada bantahan! Aduh..! Tapi Alhamdulillah, berjaya memujuknya untuk ke sekolah akhirnya! Agak merisaukan sebab seorang guru lama telah berpindah hanya tinggal seorang guru lama yang Hariz tak suka, seorang Pembantu yang Hariz sentiasa suka dan dua orang guru baru. Alhamdulillah, Hariz dapat harungi hari pertama di sekolah tanpa masalah. Harap-harap guru baru itu mempunyai ciri-ciri seperti guru yang telah berpindah.

Hari ini juga aku pergi ke PPD Kota Tinggi berbincang mengenai masa depan kelas pendidikan khas di SKSS dan pelajarnya. Besar harapan agar keadaan berubah.