07 December 2012

Hariz Khatan!

Khamis, 06 Dec 2012.

Hari ini hari bersejarah bagi Hariz dan aku, ayahnya. Hari ini tiba giliran Hariz berkhatan pada umur 11 tahun. Dia berkhatan di Al-Islam Specialist Hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ianya fasa yang mendebarkan dari saat membangkitkan dia dari tidur sehinggalah dia sedar dari tidur selepas berkhatan. Tiada pilihan lain selain dari melakukan bius penuh memandangkan dia memang kurang 'tolerate' dengan suasana dan peralatan perubatan.

Memang mendebarkan saat sampai di hospital, bimbang dia akan buat hal. Berjalan lancar dari daftar masuk hingga ke bilik. Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki yang membolehkan aku bayar bilik untuk seorang supaya dapat mengawal keadaan dan tidak mengganggu orang lain.

Menunggu di ruang pendaftaran

Periksa tekanan darah

Tanda nama

Saat untuk menukarkan baju, terpaksa aku memberi alasan atau 'bohong sunat' (walaupun mana ada bohong sunat). 

Menuggu giliran


Saat tiba panggilan menandakan tiba giliran, dia mula tunjukkan muka 'sangsi' dan tak mahu beri kerjasama. Bergerak juga setelah dipujuk kakak-kakak misi. Tiba diruang bilik bedah, lebih mendebarkan. Budak sedang meraung setelah sedar dari tidur, dan Hariz berdiri pejam-pejam mata di balik pintu. Namun dia tidak tunjuk untuk beredar dari ruang bilik bedah. Dia ada sedikit keyakinan bila aku juga sarung jubah macam dia. Melangkah masuk ke bilik bedah, terus dia rasakan ada sesuatu yang akan berlaku. Dia tak mahu berganjak dan mula nak protes. Setelah lima minit memujuk, doktor dan pasukannya sepakat untuk pegang beramai-ramai untuk dibius. Walaupun, kurang bersetuju namun aku percaya itu adalah langkah yang terbaik.

Setelah selesai.
Setelah dia sedar dari tidur dan sedar apa yang berlaku, dia luahkan rasa marah sebab anu nya dah di potong. Menangis dan menjerit. Menangis dan menjerit semakin menjadi-jadi bila dipujuk. Jadi, kami guna pendekatan tolak-tarik. Sehingga jam lebih kurang 1.30 petang dia sudah reda dan boleh terima apa yang dah berlaku pada dia.

Maafkan ayah Hariz. Segalanya demi menjalankan tanggungjawab ayah demi memenuhi hak kamu sebagai seorang Muslim.