28 August 2013

Perlindungan Insurans Dan Autisme

Tahukah anda bahawa individu autisme tidak layak untuk membeli atau menerima insurans hayat atau kesihatan?

Bagi saya insurans hayat tidak penting sebab kematian tidak perlukan insurans, yang diperlukan adalah bekalan untuk akhirat. Insurans kesihatan, ya memang diperlukan dan berguna untuk setiap individu tidak kira samada mereka normal atau kurang upaya. Namun, malang buat golongan autisme mereka tidak layak untuk mendapat manfaat insurans kesihatan atas alasan kondisi mereka.

Cuba anda analisa situasi berikut:

Situasi 1:
Anda mempunyai anak yang mengalami autisme, anda sekeluarga terlibat dalam kemalangan dan terpaksa menerima rawatan di hospital. Kos perubatan anda diringankan kerana anda membeli insurans untuk seluruh keluarga, kecuali anak autisme anda kerana dia tidak layak. Anda terpaksa menanggung kos perubatan anak tersebut.

Situasi 2:
Individu autisme mengalami kemalangan yang bukan disebabkan oleh perbuatan sendiri. Dimasukkan ke hospital dan kos ditanggung oleh keluarga mereka.

Situasi 3:
Individu autisme yang mempunyai kerjaya dan berpendapatan tidak layak untuk membeli insurans kesihatan.

Bagi ketiga-tiga situasi, persoalan utama adalah HAK mereka. Apakah wajar mereka dinafikan untuk mendapat manfaat insurans kesihatan hanya disebabkan mereka didiagnosis autisme?

Baru-baru ini akhbar melaporkan salah satu syarikat insurans di negara jiran Singapura telah memulakan perancangan menawarkan insurans kesihatan buat golongan autisme. Saya amat berharap perkara sama akan berlaku di Malaysia.