09 October 2016

Kehilangan Seorang Sahabat Dunia Autisme

Sabtu, 08 Oct 2016.

Kisah kali ini adalah tentang seorang sahabat seangkatan dalam dunia autisme. Pertama kali berjumpa dan kenal beliau (bersama suami) pada tahun 2011 di dalam kelas pendidikan ibu bapa anjuran Dr. Hasnah Toran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika itu kumpulan Autisme Malaysia masih lagi tidak ramai pengikut namun bertambah dari hari ke hari. Beliau merupakan salah seorang dari pasukan penggerak Autisme Malaysia sehingga pembentukkan Persatuan Autisme Muslim Malaysia (PAMM) secara rasmi. Pada tahun 2015 beliau telah di pilih menyandang jawatan Bendahari di dalam PAMM. Beliau menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah. Menggunakan pengalaman dan kemahiran yang ada, beliau mengusahakan tatacara dan memperbaiki pengurusan kewangan PAMM. Beliau tidak teragak-agak atau kedekut untuk meluangkan masa, tenaga dan wang untuk kebaikkan komuniti autisme di Malaysia. Terlibat secara langsung dengan semua aktiviti yang dianjurkan dan sangat pro-aktif. Program perkongsian "Sembang Milo-O" adalah antara inisiatif beliau.

Dikalangan rakan-rakan di dalam Autisme Malaysia beliau sangat disenangi dengan kelembutan dalam tutur bicara dan tidak lekang dengan senyuman serta baik hati. Beliau juga tidak kedekut dan jemu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mendidik dan membesarkan anak autisme. Berdasarkan pencapaian yang telah dicapai oleh anak autisme mereka, beliau dan suami telah memberi contoh bahawa ibu/isteri dan bapa/suami haruslah menjadi sebuah pasukan yang ahli pasukannya haruslah saling bekerjasama dan membantu demi kebaikkan anak autisme.

Sahabat yang saya maksudkan ialah Allahyarhamah Haryanti Hj. Tasmiran, isteri kepada En. Rohaizan Abd Wahab. Beliau telah kembali ke rahmahtullah pada hari Sabtu 8 Oktober 2016 kerana sakit. Ketiadaan beliau amat dirasai dan akan dirinduin oleh semua. Kehadirannya di dalam Autisme Malaysia sesungguhnya memberi makna dan impak yang besar. Walaupun mengenali beliau kurang dari lima tahun namun dirasakan seperti berpuluh tahun. Ingatan dan kenangan akan kekal dalam minda.

Semoga segala kebaikan yang beliau lakukan diterima sebagai pahala amalan baik. Dan, semoga Allahyarhamah tenang bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah buat beliau.



No comments:

Post a Comment