13 November 2014

Kes Murid Pra-Sekolah Dicampak Dari Bagunan 2 Tingkat SK Taman Tasik Jaya

13 Nov 2014. Assalammualaikum & salam sejahtera.

Berikut adalah respon saya mengenai berita di mana seorang murid lelaki pra-sekolah berumur 6 tahun dikatakan telah dicampak dari tingkat dua di SK Taman Tasik Jaya, Senawang. Dikatakan seorang murid dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) melakukan perbuatan tersebut.

Sumber berita:
myMetro: http://www.hmetro.com.my/node/8767
Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/semasa/murid-prasekolah-cedera-dicampak-dari-tingkat-dua-1.332872


Seperti lazimnya ramai dikalangan pengguna internet memberikan pandangan, pendapat, luahan simpati dan ada juga yang mengecam. Apabila sesuatu kejadian berlaku, orang lazimnya akan memberikan pandangan mereka berdasarkan kepada berita atau maklumat yang mereka terima melalui pelbagai saluran media - laman web akhbar, laman sosial, akhbar dan lain-lain. Berita atau maklumat pertama tentang apa yang telah berlaku yang sampai kepada pembaca biasanya tidak lengkap dan kadangkala belum dapat disahkan lagi. Dan disinilah dimana kekeliruan dan kekecohan bermula terutama bila menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Berbalik kepada kisah/berita di atas, terdapat pihak yang menyalahkan pelajar PPKI tersebut dan mengganggap pelajar tersebut ganas serta ada masalah mental. Pelbagai kata-kata yang tidak sedap dilemparkan kepada anak-anak istimewa tersebut. Di pihak ibu bapa kepada anak-anak istimewa sudah tentu turut tersentap, marah dan sedih.

Berikut antara blogger yang tidak menjaga sensitiviti golongan OKU dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Memberi ulasan sebelum siastan dijalankan.
http://sozcyili.blogspot.com/2014/11/murid-6-tahun-dicampak-dari-tingkat-2.html

Namun, setelah siasatan dijalankan oleh pihak Polis didapati pelajar PPKI tersebut (pelajar autisme) tidak berniat untuk mencampak adik Adam Fikri. Walaupun telah jelas keadaan sebenar, imej dan perasaan golongan OKU dan ibu bapa telah pun tercalar.

Berita selepas siasatan:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/kanak-kanak-terjatuh-bukan-dicampak-1.333172

Simpati saya kepada kedua-dua pelajar dan keluarga yang terlibat. Saya mendokan semoga adik Adam Fikri segera sembuh. Dan harapan saya, orang ramai tidak memberikan berterusan berpandangan negatif terhadap semua golongan OKU terutama autisme yang selalu dikaitkan dengan ganas & mental.

Jadi pada akhirnya apakah yang kita pelajari dari peristiwa ini?

1. Janganlah membuat ulasan dan rumusan sebelum maklumat disahkan, kerana ianya boleh menimbulkan fitnah dan perbalahan.
2. Pengawasan penuh ke atas pelajar yang berada di PPKI adalah perlu.
3. Integrasi seharusnya tidak terhad kepada integrasi akademik sahaja. Integrasi pelajar tipikal dan pelajar PPKI harus realisasikan.
4. Selami dan fahami setiap golongan OKU (autisme, sindrom down, cerebral palsy, pekak, bisu, ADHD, slow learner, disleksia dan lain-lain) agar kita tidak bersalah anggap.
5. Sama-sama kita perbaiki dan pertingkatkan taraf hidup untuk golongan OKU.

Jika saya tidak punya anak istimewa, saya juga mungkin akan memberikan tanggapan negatif kepada golongan OKU atas jahilnya saya tentang golongan OKU. Dan Allah telah mengajarkan saya tentang golongan OKU atau ahli syurga denga mengurniakan seorang anak autisme. Maka saya mengajak anda (terutama yang belum jelas tentang OKU) mendekati, menyelami dan memahami golongan OKU.

02 November 2014

Cabaran Memenuhi Hajat Anak Syurga Saya

01 Nov 2014.

Ini kisah Hariz mendapat gajet terbaru yang memang diidamkan sejak ia dilancarkan iaitu Samsung Galaxy S5 dan Samsung Gear 2. Samsung S5 merupakan sebuah telefon bimbit pintar yang mempunyai kuasa pemprosesan yang laju disamping ciri-ciri lain seperti paparan skrin resolusi tinggi, boleh mengambil gambar terus tanpa 'unlock' dan mempunyai aplikasi kesihatan (ukur denyut nadi, kiraan kalori dan senaman dan lain lain). Dan yang utama adalah ianya boleh digunakan bersama Samsung Gear 2 iaitu sebuah jam tangan yang mempunyai pelbagai fungsi apabila bersambung dengan Samsung Galaxy S5.

Jika orang tidak mengenali aku dan keluarga terutama Hariz, mungkin mereka akan mengganggap aku mudah untuk menurut kata anak atau terlalu manjakan anak atau sayangkan anak tapi tidak kena dengan caranya. Apa pun tanggapan orang, aku anggap ianya sebagai input.

Untuk pengetahuan pembaca, Hariz adalah seorang yang obses dengan gajet elektronik. Dia sering mengikuti perkembangan gajet yang digemari melalui internet. Dia akan cari, baca (mengikut aras kemahiran membaca dia) di laman-laman web, akan muat turun gambar atau video berkaitan yang menunjukkan pelbagai model dan gaya. Dia akan bercakap perkara ini kepada semua orang (tapi aku kawal supaya tidak bercakap kepada orang yang tidak mengenali dia) berulang-ulang tanpa berhari-hari tanpa jemu. Dan akhirnya dia minta aku untuk membeli gajet tersebut.

Permintaan ini dizahirkan kira-kira tiga bulan lalu. Namun, dapat melengahkan permintaan tersebut kira-kira sebulan sahaja. Melengahkan dengan harapan dia akan melupakan permintaan tersebut. Namun ianya tidak berlaku. Jadi, aku perlu tunaikan permintaan ini, jika tidak dia akan terus berkelakuan begitu atau mungkin menjadi sukar dikawal tingkahlakunya.

Seperti lazimnya, sebelum menunaikan permintaan dia, dia mesti memenuhi perkara yang aku mahu dia capai dan laksanakan. Ambil kesempatan ini untuk mengubah beberapa rutin dan memperbaiki tingkahlaku.
Antara rutin yang aku nak dia capai dan buat adalah
1. Solat 5 waktu dimana-mana sahaja, kerana dia hanya mahu solat di rumah sahaja.
2. Solat 5 waktu berjemaah, kerana mahu ajar dia bahawa solat boleh bersendirian atau berjemaah.
3. Solat bersama abang, kerana dia hanya mahu solat bersama aku atau isteri sahaja.

Dan, antara tingkahlaku yang mahu diperbaiki ialah
1. Tidak mengambil telefon orang lain atau tidak mengganggu orang lain yang sedang memegang telefon.
2. Menerapkan adab-adab dalam interaksi sosial.

Untuk solat, aku buatkan senarai semak untuk 2 bulan - September dan Oktober. Dia harus tandakan bila dia sudahkan solat. Seperti dalam gambar. Untuk solat berjemaah, aku gunakan gajet yang dimahukan sebagai enforcer.




Untuk tingkahlaku, juga gunakan gajet ini sebagai enforcer untuk dia maintain tingkahlaku baik. Hanya gunakan peringatan secara percakapan sahaja. Tiada penggunaan alatan.

Jadi apakah yang telah dicapai dan terlaksana?

Syukur alhamdulillah, untuk bab solat apa yang disasarkan telah tercapai namun perlu di pantau untuk sebulan atau dua bulan lagi bagi memastikan dia terus dalam rutin itu.

Untuk bab adab,
1. Dia sudah boleh mengawal diri untuk tidak mengambil telefon milik orang lain tanpa kebenaran.
2. Sikap suka mendekati dan bercakap dengan orang yang tidak dikenali berkurangan. Namun masih lagi perlu diperbaiki. Begitu juga dengan adab-adab, ada perubahan positif dan usaha perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

Pendekatan "buat apa saya mahu, saya akan beri apa yang kamu mahu" telah aku praktikan sejak dia berada di pusat terapi lagi. Memang berkesan untuk mengubah tingkahlaku.

24 October 2014

Toleransi 3 Hari 2 Malam Di Tempat Asing

Jumaat, 24 Okt 2014.

Pada 22~24 Okt 2014 yang lalu Hariz di bawa bersiar di tempat yang belum pernah dia sampai. Dan aku sendiri belum pernah sampai ke tempat itu juga. Sebuah tempat peranginan agro di Kuala Kangsar, Perak iaitu Syamille Agro-Farm Resort.

Seperti lazimnya, kami akan melaksanakan 'social story' kira-kira seminggu sebelum. 'Social story' kali ini hanya menggunakan tulisan, tiada gambar lokasi-lokasi di mana kami akan lalui dan destinasi akhir. Kami hanya tuliskan tarikh dan nama tempat di papan putih - tiada masalah.



Pada 22 Okt 2014, kami sekeluarga bergerak ke destinasi setelah mengisi perut sekitar jam 9.00 pagi. Dalam perjalanan, kami telah 'detour' ke beberapa destinasi tanpa di rancang. 'Detour' pertama exit ke Slim River, sekadar ingin melihat-lihat suasana di sana. Sekejap sahaja, kemudian ke 'detour' kedua iaitu Teluk Intan. Di sana kami hanya ke Menara Jam Condong dan pusing pusing sekitar bandar Teluk Intan sebelulm ke 'detour' ke Gua Tempurung. Meluangkan masa agak lama di sini bersiar-siar di dalam gua. Bagaimanapun, Hariz tidak mahu naik terus ke checkpoint pertama sebab rasa gayat dan takut akan suasana gelap, namun dia tidak menimbulkan masalah besar. Akhirnya, dia tunggu di bawah sementara aku dan abangnya naik sampai ke checkpoint ketiga. Tinggalkan Gua Musang sekitar jam 2.00 petang menuju ke destinasi akhir.







Hujan waktu nak keluar dari Gua Tempurung.

Meninjau kawasan setiba di Syamille





Haus!

Pada hari kedua 23 Okt 2014, kami berjimba di sungai!! Setengah hari dalam sungai...!












Sebelah petangnya kami ke Zoo Taiping dan pusing pusing bandar Taiping.







Sempat singgah di rumah Arbainah Shahedy sebelum balik ke penginapan. Dekat aje dengan tempat kami menginap. Makan ubi rebus cicah sambal tumis!




Pada hari ketiga 24 Okt 2014, kami checkout dan bergerak balik. Tapi sebelum tu kami ronda dulu Kuala Kangsar.






Singgah di Ipoh Parade.








Singgah di R&R Bernam makan, minum dan solat...



Dan akhir sekali singgah di rumah Mazila Liakh Katali di Tanjung Malim sebelum meneruskan perjalanan balik. Terima kasih.


KESIMPULAN: Toleransi terhadap sesuatu yang tidak dijangka sangatlah baik. Makan juga tidak punya banyak masalah semasa di tempat penginapan dan di tempat-tempat yang dilawati.

13 July 2014

Hariz Dan Virtual Machine (VMWare)

Ahad, 13 Jul 2014.

Pada awal Jun 2014 Hariz menunjukan minat untuk meneroka sesuatu yang baru iaitu virtual machine VMware. Untuk pengetahuan pembaca, VMware adalah satu aplikasi pelayan yang membolehkan pengguna memasang (install) satu atau lebih sistem operasi (OS) di dalam sebuah komputer sedia ada. Pengguna menggunakan VMware untuk tujuan ujian aplikasi, kajian dan pembangunan, strategi keselamatan data, dan juga penjimatan pelaburan perkakasan.

Jadi, bagaimana dia boleh mula meneroka VMware? Bila diselusuri kebelakang, didapati dia mahukan antara muka (interface) Windows XP Professional yang asli setelah dia melayari laman web mencari apa apa tentang Windows XP. Dari situ dia dah download dan install VMware, cuba untuk install Windowks XP. Setelah melihat dia mulakan setup Windows XP di dalam VMware tersebut tapi tak berjaya nak load/start Windows XP, jadi aku tunjuk cara mcm mana nak install windows xp dlm vmware... Dan dia berjaya... semua aplikasi yang dia gemari dia install dalam Windows XP tu... Dan yg paling best... Dia nak access external drive dari windows xp tu tapi tak berjaya sebab ada masalah driver... So aku tunjuk mcm mana nak share folder (host pc) dan access dari windows xp tu... Rupanya dia copy semua apps yg nak di install dalam folder tu dan install dari situ...

Selepas beberapa hari dia mula mintak nak install OS lain di vmware tu... Cuba nak install Window ME tp gagal sebab tak boleh boot... So aku suruh dia cuba RedHat Linux... Dia cuba tapi tak berjaya sebab disc #2 rosak... Dia mula tunjuk mood kurang baik tapi masih boleh di kawal... So, aku usaha mencari Linux version lain... Linux Mint. Berjaya dimuat turun tapi tak boleh juga diteruskan installation sebab tak boleh map virtual drive...  :(
Tanpa disangka dia muat turun sendiri Windows 7 Ultimate dalam format ISO. Dia muat turun dan install dalam VMware... :)

Dan satu lagi yang mengejutkan dia boleh mapping folder dalam host PC dari guest OS. Cara nak mapping folder ni aku tunjuk kan hanya sekali aje... Seterusnya ia buat sendiri. Subhanallah. Maha Suci Tuhan Yang Menciptakan.

Itu cerita bagaimana dia guna VMware dan install pelbagai jenis Operating System di dalam VMware.




Cubaan pertama kali  memasang Windows XP Professional di dalam VMWare.

Melengkapkan info yang diperlukan semasa memasang Windows XP professional.

Windows XP Professional yang telah disiap dipasangkan di dalam VMWare.

Cubaan memasang Linux di dalam VMWare, tetapi tidak berjaya kerana satu daripada 3 CD rosak.

17 May 2014

Evolusi Tabiat Dan Cara Pemakanan Hariz

 Ahad, 17 May 2014.

Agak lama tak update blog ni dengan cerita baru. Jadi, kali ini saya nak bercerita tentang tabiat pemakanan Hariz sejak dia dilahirkan sehingga hari ini. Ramai ibu bapa yang punya anak autisme risau dan pening memikirkan tentang pemakanan anak autisme mereka. Adakah sesuai, adakah berkhasiat, adakah beri kesan kepada tingkahlaku dan sebagainya. Berdasarkan kepada kajian sendiri melalui pembacaan dan pengalaman sendiri, YA pengambilan makanan boleh mempengaruhi tingkahlaku anak autisme. Tapi saya tak akan menulis tentang makanan dan tingkahlaku. Apa yang saya tulis di sini adalah tabiat pemakanan anak autisme saya dan bagaimana tabiat pemakanannya berubah dari masa ke semasa dengan bantuan.

Anak saya Hariz di diagnose sebagai autisme+adhd ketika berumur tiga tahun. Dia berhenti menyusu ibu kurang dari dua minggu. Bukan kerana sakit atau susu ibu tidak ada. Mungkin kerana kuantiti tidak mencukupi. Dia hanya kenyang dan tidur dengan lena bila susu botol di tambah dengan sedikit beras Nestum. Sejak dari bayi lagi dia tak mahu/gemar makanan bayi, bubur nasi atau apa-apa saja yang orang kata sesuai untuk bayi. Dia membesar dengan susu botol sehingga mencapai umur enam tahun di mana dia mula menjamah nasi putih berlaukan kicap manis sahaja. Setelah di diagnose, saya ada bertanyakan kepada therapist bagaimana tentang pemakanan anak autisme kami yang hanya ambil susu dan hanya beberapa jenis makanan yang dikategorikan kurang sihat. Setelah berbincang dan bertukar pandangan, kami bersetuju untuk dia terus ambil makanan sedia ada tetapi dikawalselia asalkan dia sihat; dan terus memperkenalkan makanan baru kepada anak walaupun dia menolak. Memang betul, di antara kami sekeluarga dialah yang jarang sakit. Begitulah pendekatan saya yang ketika itu tidak ada pengetahuan yang dalam tentang pemakanan yang sesuai untuk anak autisme+adhd.

Menu nasi putih dan kicap manis menjadi menu ketika berumur enam tahun, untuk makan tengahari dan malam setiap hari dan di rumah sendiri sahaja. Kalau di rumah orang MESTI bawa kicap manis dari rumah (dia boleh beza rasa kicap manis dari jenama berbeza...). Setelah masuk umur tujuh tahun menu nasi putih + kicap manis telah dinaiktaraf kepada menu nasi putih + kicap manis + sambal tumis yang ibu dia masak sahaja dan di rumah sendiri sahaja. Setelah mencapai umur 10 tahun menu yang sama dinaiktaraf sekali lagi - nasi putih + sambal tumis ayam kicap (a.k.a kicap pedas) yang ibu dia masak sahaja tapi ayam tak di makan. Dan menu ini masih lagi relevant pada masa sekarang tetapi dia dah boleh makan ayam ketika umur 12 tahun. Percaya atau tidak saya terpaksa membawa bekalan menu tersebut apabila pergi ke majlis saudara mara termasuklah bila berkumpul pada hari raya dan makan mesti DISUAPKAN.

Selain dari nasi putih + kicap pedas, Hariz ada menjamah makanan lain iaitu roti canai di restoran tertentu sahaja. Roti canai ini sebagai pengganti menu nasi (sebab nak pelbagaikan menu) bila dirasakan dia perlu mengubah menu makan hariannya. Menu lain - Mc Chicken Burger McDonald sahaja, yang ini pertama kali dia makan ketika berumur lapan tahun bila guru bawa dia outing ke McDonald. Menu ini digunapakai apabila keluar berjalan.

Island Supreme Pizza di Pizza Hut adalah satu-satunya pizza yang dia boleh makan. Pertama kali menjamah pizza ketika umur sembilan tahun, itu pun setelah banyak kali makan pizza di depan dia. Berevolusi dari mula makan topping (crab filamen), kemudian makan topping (crab filamen) + crust, kemudian makan topping (crab filamen) + sepotong pizza tanpa topping cheese.

Nasi lemak juga antara menu kegemaran (sebab ada sambal). Mula menjamah nasi lemak ketika umur sebelas tahun. Tapi hanya nasi lemak bungkus di sebuah restoran di Taman Melawati dan di Kampung Baru KL sahaja. Tempat lain tak sedap katanya.

Pada hari raya tahun 2012 buat pertama kalinya dia ingin menjamah nasi ketupat + kicap pedas. Dan kini setiap hari raya dia dah boleh makan nasi ketupat tapi masih berlaukan kicap pedasnya.

Begitulah secara ringkasnya kisah bagaimana tabiat pemakanan anak autisme saya berevolusi dengan pendekatan terus memperkenalkan makanan baru walaupun di tolak berkali-kali.

Dan, yang terbaru pada tahun 2014 ini buat kami rasa bersyukur bila dia sudah boleh menyuap sendiri menu yang tersenarai di atas dan bertambah dua menu lagi dalam senarai iaitu nasi goreng cina dan nasi goreng kampung (masih di kedai makan tertentu sahaja). Ada menu yang dia menggunakan tangan dan ada menu yang dia menggunakan sudu/garfu. Membuktikan anak-anak autisme boleh di ajar dan di bentuk seperti anak-anak tipikal yang lain. Hanya tempoh masa dan pendekatan yang membezakan.

sedang makan mc chicken burger mc donald

sedang makan pizza island supreme

sedang makan nasi goreng cina

sedang makan nasi goreng kampung

sedang makan nasi lemak