13 July 2020

Bagaimana Saya Mengendali Tantrum Anak ASD

Isnin, 13 Jul 2020.

Tantrum dan anak ASD tidak dapat dipisahkan. Tahap tantrum anak ASD saya ketika berumur 3 tahun berbeza dengan ketika berumur 17 tahun. Kenapa berbeza? Kerana dia jadi lebih matang, punya komunikasi yang lebih baik, menyedari diri dia mendewasa dan disamping intervensi/didikan yang diberikan seiring dengan meningkatnya umur. Namun, tak kiralah tantrum anak ASD saya ditahap mana pun ianya disebabkan oleh punca atau 'trigger'. Bukan secara tiba-tiba.

Jadi, penting bagi saya mengetahui punca atau trigger supaya mudah untuk diuruskan tantrumnya. Atau boleh dielakkan agar tantrum tidak terjadi.

Bagi mengenalpasti punca
- banyak melakukan pemerhatian ke atas aktiviti, tinglahlaku dan tindakbalas anak;
- lakukan penyiasatan atau post-mortem selepas tantrum terjadi;
- cuba mencipta semula punca bagi mengesahkan dapatan dari pemerhatian dan penyiasatan;

Setelah punca dikenalpasti, saya menyusun strategi jangka pendek dan strategi jangka panjang. 

Strategi jangka pendek - mengendali dan mengawal tantrum apabila ianya berlaku seperti mengalih perhatian, beralih keluar dari lokasi, menyediakan alatan kesukaan anak dan elak perkara atau tingkahlaku berbahaya. Ini bertujuan mengawal tantrum yang terjangka dan tidak terjangka agar tidak menjadi lebih teruk ke atas diri anak atau orang lain disekeliling atau diri saya sendiri. 

Strategi jangka panjang - mencegah tantrum dan kawalan kendiri. Mencegah tantrum termasuklah mengelakkan/menghapuskan punca, social story, senaman, jaga pemakanan, bacaan doa/zikir, solat, ajarkan dosa/pahala dan pendedahan kepada punca tantrum dalam suasana terancang. Ini bertujuan membina kawalan kendiri atau pemerkasaan diri anak ASD terhadap perkara yang menjadi punca tantrum.

Dalam kedua-dua strategi, saya selalunya memulakan dengan kaedah yang praktikal untuk saya laksanakan dan bersesuaian dengan anak. Kemudian barulah dipertingkatkan dengan kaedah tambahan lain yang bersesuaian. Laksanakan kaedah-kaedah tersebut sekerap dan setekal yang boleh. Namun, tidak berlebih-lebihan hingga diluar kemampuan diri. 

Saya ada slogan saya sendiri agar saya kekal fokus, bersemangat dan bersesuaian dengan saya, iaitu 3P - Practical, Persistent & Patience



No comments:

Post a Comment