29 December 2020

Seni Pertahanan Diri Mak/Pak Anak ASD


Ada anak ASD ibubapa perlu ada ilmu seni mempertahankan diri. Silat, judo, karate, silambam, kung-fu ke?? Bukan.... Bukan seni pertahanan diri jenis ini yang saya maksudkan. Yang saya maksudkan ialah seni pertahanan diri bila menghadapi tantrum/tingkahlaku anak yang mencabar di rumah, di tempat awam, di sekolah, di hospital dan lain-lain lagi.

Jurus tahan marah.
Jurus tahan tangan dari memukul anak.
Jurus senyum dengan jelingan sinis & tingkahlaku anak. 
Jurus membaca gerak geri luar jangka anak.

Ada ke tempat nak belajar seni pertahanan diri ni? Tiada. Harus belajar dari pengalaman orang lain dan pengalaman diri sendiri. 

.. /

18 July 2020

Tantrum

Ahad, 19 Jul 2020.

Anak saya tantrum (dulu) berpanjangan, kadang hingga 3 jam lebih baru reda. Ketuk kepala, tampar muka, cakar muka, tumbuk dada, baling barang, rosakkan barang, kencing dalam seluar dengan sengaja, jerit sekuatnya, main air liur, tumbuk pintu/tingkap kaca, sengaja muntah dan pernah pegang pisau.

Kebanyakkan masa tantrum, beberapa 'aksi' yang disebutkan dilakukan anak saya sepanjang tempoh tantrum. Jadi, kalau banyak 'aksi' sekaligus macam mana nak kendalikan?


17 July 2020

AUTISME: PENYAKIT ATAU BUKAN PENYAKIT

Jumaat, 17 Jul 2020.

Sebahagian dari kita tidak bersetuju autisme disebut sebagai penyakit sebab autisme bukan seperti demam, batuk, kanser, diabetes dan sebagainya. Adakah perkataan 'kondisi' atau 'mengalami' lebih lunak bagi menggantikan perkataan penyakit?  Atau ada perkataan lain?

Selain itu apakah tidak patut untuk kita sebut 'rawatan' untuk autisme? Sebab rawatan perlu untuk merawat penyakit tapi autisme bukan penyakit. Atau ada perkataan lain yang sesuai, 'intervensi' contohnya.

Perlukah kita berbahas tentang autisme itu penyakit atau bukan penyakit? Pada pandangan peribadi saya tidak perlu dibahaskan sebab ianya bergantung kepada pemahaman individu. Bagi saya cukup dengan menegur pihak yang mengatakan 'penyakit autisme' dengan maklumat tepat, dan tidak perlu mengecam. Dan kita dipihak yang lebih memahami harus meneruskan pendidikan dan kesedaran tentang autisme kepada komuniti, dan jangan terlalu beremosi dan sensitif bila ada yang sebut 'penyakit autisme'. Mereka tidak tahu atau belum faham.

13 July 2020

Bagaimana Saya Mengendali Tantrum Anak ASD

Isnin, 13 Jul 2020.

Tantrum dan anak ASD tidak dapat dipisahkan. Tahap tantrum anak ASD saya ketika berumur 3 tahun berbeza dengan ketika berumur 17 tahun. Kenapa berbeza? Kerana dia jadi lebih matang, punya komunikasi yang lebih baik, menyedari diri dia mendewasa dan disamping intervensi/didikan yang diberikan seiring dengan meningkatnya umur. Namun, tak kiralah tantrum anak ASD saya ditahap mana pun ianya disebabkan oleh punca atau 'trigger'. Bukan secara tiba-tiba.

Jadi, penting bagi saya mengetahui punca atau trigger supaya mudah untuk diuruskan tantrumnya. Atau boleh dielakkan agar tantrum tidak terjadi.

Bagi mengenalpasti punca
- banyak melakukan pemerhatian ke atas aktiviti, tinglahlaku dan tindakbalas anak;
- lakukan penyiasatan atau post-mortem selepas tantrum terjadi;
- cuba mencipta semula punca bagi mengesahkan dapatan dari pemerhatian dan penyiasatan;

Setelah punca dikenalpasti, saya menyusun strategi jangka pendek dan strategi jangka panjang. 

Strategi jangka pendek - mengendali dan mengawal tantrum apabila ianya berlaku seperti mengalih perhatian, beralih keluar dari lokasi, menyediakan alatan kesukaan anak dan elak perkara atau tingkahlaku berbahaya. Ini bertujuan mengawal tantrum yang terjangka dan tidak terjangka agar tidak menjadi lebih teruk ke atas diri anak atau orang lain disekeliling atau diri saya sendiri. 

Strategi jangka panjang - mencegah tantrum dan kawalan kendiri. Mencegah tantrum termasuklah mengelakkan/menghapuskan punca, social story, senaman, jaga pemakanan, bacaan doa/zikir, solat, ajarkan dosa/pahala dan pendedahan kepada punca tantrum dalam suasana terancang. Ini bertujuan membina kawalan kendiri atau pemerkasaan diri anak ASD terhadap perkara yang menjadi punca tantrum.

Dalam kedua-dua strategi, saya selalunya memulakan dengan kaedah yang praktikal untuk saya laksanakan dan bersesuaian dengan anak. Kemudian barulah dipertingkatkan dengan kaedah tambahan lain yang bersesuaian. Laksanakan kaedah-kaedah tersebut sekerap dan setekal yang boleh. Namun, tidak berlebih-lebihan hingga diluar kemampuan diri. 

Saya ada slogan saya sendiri agar saya kekal fokus, bersemangat dan bersesuaian dengan saya, iaitu 3P - Practical, Persistent & Patience



08 July 2020

Bagaimana saya mengajar anak ASD saya memahami maksud TIDAK / NO.

Rabu, 08 Julai 2020.

Strategi yang saya gunapakai adalah mengikut tahap kemampuan anak saya untuk memahami tentang sesuatu, di mana anak saya memerlukan tempoh masa yang agak panjang, kombinasi kaedah (tone suara, visual (gambar & ekspresi muka)), ketekalan (consistency) dalam kaedah/kekerapan dan sistem denda/ganjaran. Tambahan dia punya masalah daya tumpuan.

Tone Suara
Saya mencari tone suara yang bersesuaian untuk mengatakan NO supaya dia boleh menerima.

Visual Gambar
Saya menggunakan gambar dan simbol. Tandakan apa yang boleh (YES) dan apa yang tidak boleh (NO). Apa yang boleh dan tidak boleh itu berkait dengan apa yang dia pernah lakukan pada keadaan semasa. Bukan sesuatu yang belum pernah dia buat. Ini juga saya jadikan social story untuk melakukan aktiviti diluar rumah (melawat saudara, padang permainan, mall, dalam kereta).

Visual Ekspresi Wajah
Saya menggunakan ekspresi muka sendiri bagi menunjukkan amaran, tegas, marah, sedih, sayang dan sebagainya. Sebab anak tidak pandai untuk membezakan ekspresi dalam gambar dan ekspresi wajah sebenar.

Ketekalan (Consistency)
Saya akan cuba kekalkan kaedah apabila menjumpai tone suara, visual gambar, visual wajah yang sesuai. Bukan saya saja, ahli keluarga lain pun perlu diajarkan perkara sama. Kekerapan bergantung kepada keadaan semasa kerana tidak semua keadaan memerlukan kita berkata NO.

Sistem Denda/Ganjaran
Saya gunakan denda seperti menarik priviledge, barang/makanan kegemaran, isolated area. Gunakan ganjaran seperti makanan/barang kegemaran, bintang (sgt suka bintang), jalan-jalan. Namun, sedayanya cuba untuk beri ganjaran (positif) berbanding denda (negatif).

Selain itu, diri saya sendiri perlu dalam keadaan sedar, bersedia dan tenang termasuk tidak terpengaruh dengan tingkahlaku tantrum anak ASD saya bila perkataan NO/TIDAK disebut. Kadang-kadang terbabas, kawal diri sebaik mungkin.

Kesimpulannya, saya menggunakan gabungan semua di atas bagi mencapai objektif memahamkan anak ASD saya tentang TIDAK / NO. Strategi yg sama untuk objektif yang lain juga. Ubahsuai mengikut keadaan, kesesuaian & peredaran masa.

02 January 2020

Perletakan Jawatan Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik

Khamis, 02 Jan 2020.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Berita perletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan melintas di 'timeline' social media saya sekitar jam 2 petang (02 Jan 2020. Saya tunjuk pada isteri, dia kata "Betul ke?" dengan reaksi terperanjat. Saya kata tunggu ajelah sidang media nanti. Keluar dari bangunan menuju ke tempat seterusnya. Dalam perjalanan berita sidang media akan diadakan jam 4 petang. Dalam perjalanan jam sudah pun menunjukkan 4 petang. Isteri tanya, macam mana nak tengok siaran langsung. Aku jawab cubalah tengok page Awani mesti ada, betul memang ada siaran langsung. Sambil memandu sambil tu dengar sidang media Menteri Pendidikan. Mulanya biasa aje, tapi saya perasan isteri mula mengesat mata... menangis! Saya? Berair mata juga sebab memahami kenapa isteri menangis sedih. Tapi saya kawal la walaupun dalam hati ni ada rasa ralat, sedih & kecewa.

Sebenarnya, anak autisme saya sudah 19 tahun dan sudah tidak bersekolah. Kalau ikutkan tak perlu sedih pun sebabnya walauapa pun perubahan yang bakal berlaku dalam pendidikan, anak saya tak kan nikmatinya. Namun, mengenangkan ramai lagi anak-anak seperti anak saya yang bakal atau sedang melalui sistem pendidikan yang ditambahbaik dibawah pimpinan Dr Maszlee Malik, itu yang menyentuh hati saya dan isteri sebenarnya. Apa yang dilakukan oleh Dr Maszlee Malik adalah sesuatu yang ditunggu setelah sekian lama. Mungkin bagi golongan manusia 'normal' anggap golongan OKU ini hanyalah golongan kecil yang tidak penting, tidak berguna, tidak boleh menyumbang kepada masyarakat/negara dan bermacam alasan lagi. Namun, dengan hadirnya beliau sebagai Menteri Pendidikan telah membawa pendidikan bagi OKU sebagai salah satu agenda utama dalam pembaharuan pendidikan.

Saya tidak tahu apa yang Dr Maszlee Malik hadapi di dalam kabinet, kementerian dan parti. Kurang arif juga tentang isu sebenar disebaliknya sebab terlalu banyak. Namun, saya dapat rasakan beliau menghadapi tekanan yang sangat besar. Dan, saya juga merasakan tindakan perletakan jawatan itu bukanlah kehendak beliau dan sesuatu yang sangat sukar buat beliau.

Kami rakyat dibawah ini mendambakan Menteri seperti beliau, kena terima dalam terpaksa. Sebagai seorang yang beragama, percaya pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku. Hanya perlu terus berdoa dan terus maju kehadapan. Tinggi harapan kami segala pembaharuan yang sudah dilaksanakan dan sedang dalam perancangan atau tindakan akan diteruskan.

Saya menyeru semua rakan sealiran, kita berterusan berdoa agar Tuhan memberikan yang terbaik buat kita, anak-anak kita dan negara kita. Ajarkan juga anak-anak syurga kita berdoa sama kerana doa mereka terus sampai kepada Allah SWT. Owh ya... sama-sama kita pastikan apa yang baik tetap diteruskan oleh pihak kerajaan.

Kepada Dr Maszlee Malik (juga team KPM), saya dan rakan-rakan sealiran di Autisme Malaysia mengucapkan terima kasih atas usaha yang telah dilakukan. Hanya Allah dapat membalasnya.



Sumber foto: Malay Mail

#autismemalaysia
#kpm
#maszleemalik