17 December 2019

Sukarnya Mengawal Emosi

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

2 JAM YANG PANJANG

Hariz remaja ASD + ADHD 18 tahun. Masalah Hariz ni dia tidak boleh mendengar kanak kanak kecil menangis. Dia sentiasa mengelak dari bertembung dengan kanak kanak kecil.

Pagi tadi terjadilah satu insiden yang sangat mendebarkan dan juga meruntun perasaan Bibu.

Biasanya bila menaiki kapalterbang, tempat duduk kami berjauhan dari kanak kanak. Keadaan dapat lah di kawal. Dapat lah Bibu makan dan tidur dengan tenang.

Hari ini memang betul betul menguji emosi Hariz. Ramai keluarga yang beranak kecil menaiki kapalterbang yang sama. Lebih mendebarkan bila satu keluarga duduk di belakang kami. Dari mula masuk hingga lah kapalterbang berlepas kanak kanak kecil itu menangis. Hariz dah mula gelisah. Hati Bibu berdebar. Keadaan Hariz semakin tidak keruan. Kejap kejap Hariz mengetap bibirnya. Dada dah mula berombak. Tangan dah mula menggigil. Sekejap sebentar Hariz menoleh ke belakang. Tangannya Bibu pegang erat sambil menggosok gosok tangannya.

Bibu berusaha mengawal emosinya. Akhirnya.... NO!!!!!! Hariz menjerit. Mujur bunyi enjin kuat. Yang memandang hanyalah penumpang yang duduk berhampiran saja. Pada ketika itu peramugari sedang membantu si ibu menenangkan anaknya. Bila peramugari nampak situasi Hariz, peramugari bertanya Bibu samada Hariz nak makan dulu atau tidak, tapi Hariz tak nak makan. Untuk meredakan keadaan Hariz, Bibu beri dia minum air. Kemudian Bibu suruh Hariz istighfar, baca fatihah, baca ayat kursi dan ayat ayat yang Hariz tahu.

Debaran masih terasa sebab Hariz tidak mahu pakai head set. Puas Bibu pujuk tapi Hariz tetap tak nak pakai. Airmata Hariz mula tumpah. Bibu tak tahu apa perasaan Hariz ketika itu. Hanya ALLAH saja yang tahu kesukaran Hariz berdepan dengan situasi sebegini.

Hampir satu jam keadaan yang mendebarkan ini. Nampak Hariz agak tenang bila dia mula memakai head set. Kanak kanak tu pun dah mula senyap dan tidak menangis. Hati Bibu sedikit lega tapi masih tetap berjaga jaga. Bila Hariz mula senyum, hati Bibu sangat lega.

Tiba tiba Hariz berkata. Pertanyaan Hariz dalam BI. Alih bahasa dalam BM, Hariz berkata sambil menekap dadanya dia berkata "Bibu, apa yang terjadi pada saya?". Nampak rasa bersalah di wajahnya. Bibu beritahu yang dia tidak dapat mengawal emosi dan menjerit. Hariz diam. Sayu hati bila dia bertanya begitu.

Alhamdulillah sewaktu mendarat tiada insiden menangis. Kami membiarkan keluarga itu keluar dulu bagi memberi keselesaan kepada Hariz. Sewaktu jalan keluar menuju ke pintu sempat Hariz meminta maaf kepada peramugari. Senyuman manis diberikan. Mungkin mereka tak tahu keadaan sebenar Hariz, cukuplah mereka menyantuni Hariz sebagai penumpang.

Video di bawah adalah reward untuknya kerana dia berjaya mengawal emosinya walaupun tidak seratus peratus.

Begitulah kisah 2 JAM YANG PANJANG.
Dari Bintulu ke Kuala Lumpur.
Terasa seperti 20 jam 😔

Sekian 💙
.......
Ini adalah nukilan asal Bibu Nora Yusof.

10 November 2019

Kisah Tempered Glass & Jeritan

Ahad, 27 Oktober 2019.


Kisah kali ini mengenai tingkahlaku anak saya apabila aras kebimbangan ('anxiety') mencecah hadnya. Sebenarnya, kejadian ini telah berlaku beberapa kali di tempat awam (pusat beli belah) dan kami tahu puncanya. Dah tau puncanya kenapa masih boleh terjadi? Itulah indahnya dunia bersama anak autisme.

Puncanya ialah kebimbangan anak autisme saya meningkat kehadnya dengan cepat apabila dia berada di dalam persekitaran di tempat awam yang ramai orang dan ada ramai anak-anak kecil (sekitar umur 3 tahun ke bawah). Lebih-lebih lagi bila anak kecil itu merengek atau menangis. Apa yang berlaku bila aras kebimbangan anak autisme saya mencapai hadnya dalam persekitaran yang disebutkan? Dia menjerit sekuat hati. Ya, menjerit sekuat hati.

Lazimnya, anak saya akan menaikkan aras bunyi 'headset' bila berada di dalam pusat beli belah bagi mengelakkan mendengar bunyi anak-anak kecil. Di pusat beli belah yang sudah biasa dilawati dia sudah boleh menjangka dan menyesuaikan diri sedikit. Kejadian kali ini di pusat beli belah yang pertama kali dilawati. Bergandalah dengan cepatnya aras kebimbangannya naik. Seperti kebiasaanya saya akan melakukan perkara-perkara yang di luar rutin dan tanpa 'social story' dalam usaha mengajar anak untuk mengawal diri apabila dalam perkara luar jangkaannya. Tambahan, anak saya perlu melalui sesuatu suasana atau keadaan baru dia mudah faham.

Walaupun dalam suasana dan keadaan yang sangat besar kemungkinan akan meledaknya jeritan, saya membuat keputusan untuk menukar 'tempered glass' telefon bimbit anak saya yang sudah retak di mana memerlukan dia untuk 'off' sebentar dari mendengar muzik. Inilah titik meletusnya ledakan jeritan. Kejadian disaksikan oleh juruteknik kedai dan orang yang berhampiran dengan kedai tersebut. Reaksi mereka? Juruteknik itu terperanjat dan berkata 'Saya takut, saya takut', dan memang saya nampak dia takut dan terperanjat. Orang disekeliling ada yang senyum dan ada yang pelik sambil beredar. Saya dan isteri? Senyum dan tenang, cuba hadapinya dengan rasional. Anak saya? Dia seolah tersedar dari rasukan setelah menjerit, berkali-kali minta maaf kerana menjerit, kemudian dengan tenang menyerahkan telefon bimbit untuk di tukar 'tempered glass' yang rosak. Inilah peluang saya untuk mengajar mengawal diri. Dengan harapan dia mampu mengawal dirinya sendiri dalam apa jua keadaan terutamanya jika kami telah tiada.

./

Pengalaman Makan Sate Pertama Kali

Khamis, 30 Oktober 2019.

Hari ini pengalaman pertama Hariz makan sate. Sate daging tapi tak habis pun sebatang. Jadilah, asalkan dia mahu mencuba.



30 June 2019

Persepsi Istilah Severe, Moderate & Mild

PERSEPSI.

Severe - sukar, susah atau tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Ajar pun tiada guna.

Moderate - sukar, susah tapi masih boleh lakukan sesuatu untuk berkembang baik.

Mild - tidak sukar, tidak susah, boleh belajar mcm budak tipikal & tiada banyak masalah.

Dalam diagnosis yang terkini mengunakan istilah Tahap 3, Tahap 2 & Tahap 1. Kerana apa pun tahap anak ASD, mereka masih memerlukan bantuan dan boleh diajar dengan kaedah2 yang disesuaikan dengan tahap mereka.

09 June 2019

Raya Yang Dulu & Raya Yang Sekarang

Dia sekarang 18 tahun. Berhari raya yang sekarang memang berbeza dengan berhari raya yang dulu.

Dulu tak leh dok diam, sekarang banyak duduk dari berjalan.

Dulu tak boleh menunggu lama, sekarang bolehlah tunggu lebih dari 5 jam. Kalau dia selesa, lagi lama.

Dulu sangat rigid dengan rutin, sekarang sudah kurang rigid.

Dulu makan nasik menu dia saja, sekarang ketupat ayam kicap serunding pun dia belasah.

Dulu tak puasa, sekarang puasa penuh.

Dulu tak pandai solat tarawikh, sekarang dah boleh follow walaupun kat rumah saja.

Dulu tak pandai solat 5 waktu, sekarang sudah boleh walaupun kekadang kena prompt.

Dulu tak tahu apa itu hari raya, sekarang dia faham apa itu hari raya.

Dulu stimming sangat ketara, sekarang masih ada tapi dah kurang namun dia struggle utk mengawal diri.

Dulu ada masa tak nak masuk rumah atuk atau sesetengah rumah sedara, sekarang dah boleh masuk dan duduk lama sikit.

Dulu geledah beg orang cari gadget, sekarang sudah ok sebab ada gadget sendiri.

Dulu umpama 'Sullivan' nampak budak kecik macam dalam cerita Monster Inc, sekarang masih lagi.

Dulu cakap berulang-ulang topik yang sama, sekarang masih lagi.

Dulu kuat tantrum pantang silap sikit atau rutinnya diganggu, sekarang masih ada namun boleh dikawal.

Pesan saya buat ibubapa yang ada anak ASD ni... selain doa kepada yang Esa, yang terpenting adalah
- usaha yang berterusan tanpa membandingkan pencapaian anak dengan anak orang lain;
- fokus dan mula dengan perkara yang dia mampu buat kemudian diperkembangkan;
- diri sendiri mesti sentiasa positif sebab aura positif akan beri kesan yang positif pada anak dan orang keliling;
- hati kena kering kalau nak perbetul anak yang buat perkara yang tidak elok, atau mahu anak berubah, atau nak menghadap orang2 yang tak cakna ASD;

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

Tips Berhari Raya Bersama Anak ASD+ADHD

Anak saya ASD+ADHD. Duduk diam tidak lebih dari 5 saat. Namun, tak menghalang saya untuk ziarah raya jiran dan saudara mara. Bagaimana?

1. Mulakan ziarah jiran dan saudara mara yang mengenali anak ASD saya dan punya hiasan rumah yang ringkas.

2. Anak saya kebanyakkan masa akan merayau meneroka dalaman dan luaran rumah tetamu. Namun, bilik2 tidur memang saya larang dia masuk. Dan saya atau isteri (bergilir) akan pantau 1 to 1 supaya dia tak merosakkan barangan atau boleh mendatangkan kecederaan pada diri dia.

3. Pakaikan pakaian yang bersesuaian dengan anak dan bawa makanan kegemaran supaya dia selesa dan dapat stay lama.

4. Sekiranya anak ASD sudah bagi isyarat sudah tidak selesa dan mahu beredar. Tanpa lengah terus minta izin beredar walapun mungkin tak sampai 10 minit.

5. Social story - terangkan pada anak ASD mengenai perjalanan ziarah. Kaedah ini bila anak saya sudah boleh faham apa yang kami cakap.

6. Reward - beri reward/ganjaran dengan perkara/benda kegemaran bila dia patuh dan behave.

7. Owh... kadang2 anak tak nak turun dari kereta jadi park kereta dekat dengan tuan rumah supaya mudah nak pantau sambil makan2.

8. Hati mesti kering dengan tanggapan orang lain yang hadir di tempat yang sama. Pendedahan begini sangat penting untuk proses pendidikan/pembelajaran sosial anak ASD saya. Penting juga untuk anak tipikal saya.

Ini cara saya. Mungkin sesuai atau tidak sesuai dengan keluarga lain.

10 February 2019

Mengenalpasti Pencetus Tantrum

Isnin, 11 Feb 2019.

Macam mana saya mengenalpasti pencetus tantrum?
{Disclaimer: berdasarkan pengalaman dengan anak sendiri}

Saya akan meneliti dan menganalisa perkara-perkara yang berlaku dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Anak Autisme Tantrum Bukan Tanpa Sebab

Ahad, 10 Feb 2019.

Anak autisme tantrum bukan tanpa sebab. Pasti ada sesuatu yang menjadi pencetus (trigger).

Kita ibubapa hanya perlu memerhati, meneliti & menganalisa perkara-perkara (sangat banyak, berbeza-beza bagi setiap anak autisme) yang menjadi pencetus. Hanya boleh mengenalpasti  pencetus sebenar setelah beberapa/banyak kali terjadinya tantrum.

Setelah pencetus tantrum dikenalpasti maka mudah untuk kita mengatur strategi untuk mengatasi anak tantrum. Namun, kadang-kadang strategi mengatasi tantrum juga boleh kita kenalpasti semasa tempoh memerhati, meneliti & menganalisa pencetus tantrum.

Owh... baca pengalaman dari ibubapa lain di dalam AM ni memang membantu... tapi... bertemu dan berkongsi secara 'live' di luar alam maya lebih lebih membantu kerana tidak semua dapat diceritakan atau dikongsikan dengan penulisan. Ianya adalah dari hati ke hati.

13 January 2019

MENGENDALI ISU/MASALAH BERKAITAN ANAK BERKEPERLUAN KHAS DI SEKOLAH

Ahad, 13 Jan 2019.



Apa yang saya tulis ini adalah dari maklumat yang saya ada dan pengalaman yang telah saya lalui. Untuk makluman, saya (atau lebih tepat anak saya) telah melalui 5 buah PPKI (1 pra-PPKI, 2 PPKI rendah & 2 PPKI menengah). Semua isu/masalah yang ibubapa luahkan di Autisme Malaysia adalah sama seperti yang yang telah saya alami. Dan sistem/kaedah di PPKI tidak jauh beza antara sekolah. Yang membezakannya adalah barisan pengurusan dan pelaksana iaitu pengetua & guru itu sendiri.

Bagi menghadapi isu/masalah di sekolah, bubapa seharusnya mempersiapkan diri dengan maklumat dan ilmu, manakala mempersiapkan anak agar lebih bersedia untuk ke sekolah.

Persiapan Pertama.
Ibubapa perlu mempersiapkan anak supaya bersedia untuk ke sekolah.
- Masalah tingkahlaku/sensori/sosial, bebas lampin, urusdiri, 'social story', kemahiran motor - hanyalah sebahagian dari persiapan yang ibubapa perlu beri perhatian kerana pihak sekolah tidak mengendalikannya.
- Terapi mungkin masih diperlukan walaupun anak sudah ke sekolah.
- 'Social Story' sangat berguna bagi memastikan anak ASD bersedia menghadapi suasana sekolah dan dapat mengurangkan kesan tingkahlaku negatif.

Persiapan Kedua.
Ibubapa perlu mempersiapkan diri dengan info dan pengetahuan tentang sistem persekolahan termasuklah
- Maksud PPKI, pendidikan khas, inklusif, separa inklusif, masalah pembelajaran, RPI (rancangan pendidikan individu), EMK (elaun murid khas), yuran, PIBG dan sebagainya.
- Proses kemasukkan ke PPKI, program inklusif atau perpindahan ke PDK (pemulihan dalam komuniti), vokasional, kolej/universiti dan sebagainya.
- Fungsi dan peranan JPN & PPD.
- Laluan pendidikan serta pilihan-pilihan yang ada.
- Perkembangan terkini dalam sistem pendidikan negara.
Ibubapa juga perlu tahu bagaimana dan di mana bantuan/sokongan boleh diperolehi. Usah duduk diam dan bersendirian.

Persiapan Ketiga.
Ibubapa perlu memahami dan sedar
- apa pun yang dilakukan untuk pendidikan anak adalah mengikut keperluan dan kesesuaian anak, bukan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Sentiasa bersederhana dalam setiap tindakan.
- kebolehan dan kecenderungan anak ASD adalah berbeza-beza, oleh itu jangan membanding-bandingkan.
- kaedah yang digunapakai untuk anak lain tidak semestinya sesuai dengan anak kita.

Jadi apabila ibubapa telah mempersiapkan diri dan anak seperti yang disebutkan di atas maka ianya akan memudahkan tindakan susulan yang ibubapa perlu ambil bila berlaku sesuatu isu/masalah di sekolah. Jadi, berikut adalah langkah-langkah yang boleh ibubapa pertimbangkan:-

Langkah 1 - Data/Rekod.
Data atau rekod diperlukan apabila sesuatu isu/masalah berlaku. Perkara ini selalu dipandang ringan, namun amat penting bila sesuatu isu/masalah itu dibincangkan. Oleh itu saya ingin menyarankan ibubapa membuat catatan sendiri (tarikh, masa, tempat berlaku, keterangan apa yang berlaku, pihak terlibat) bagi tujuan rujukan. Termasuk juga tarikh-tarikh penting seperti pertemuan dengan pihak sekolah, PPD, JPN atau KPM. Tanpa data atau rekod akan menyebabkan aduan tidak diberi perhatian atau akan berpatah balik kepada ibubapa. Selain isu/masalah, pencapaian anak di sekolah juga seharusnya direkodkan untuk rujukan.


Langkah 2 - Saluran Aduan Isu/Masalah.
Adalah sangat penting bagi ibubapa mengetahui saluran-saluran yang ada apabila menghadapi isu/masalah di sekolah. Berikut adalah saluran-saluran yang boleh membantu menyelesaikan isu/masalah anda:

  • Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas atau Penyelaras Pendidikan Khas.
  • Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
  • Pengetua / Guru Besar.
  • Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah.
  • Pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri.
  • Pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Perkhidmatan Pelanggan).
  • SUHAKAM.

Walau besar atau berat manapun isu/masalah yang dihadapi, ibubapa disarankan membawa isu/masalah mengikut hiraki saluran disebutkan. Ibubapa dan pelajar adalah pelanggan kepada pihak sekolah, PPD, JPN & KPM. Maka jadilah pelanggan yang bijak.


Langkah 3 - Cakna Pendidikan Khas.
Ibubapa perlu cakna tentang pendidikan khas di mana anak anda bersekolah. Sertai kumpulan pemuafakatan ibubapa dan bergiat aktif. Bina silaturahim dan sokongan antara ibubapa dan juga guru. Suara berkumpulan akan memberi kesan yang lebih baik berbanding suara individu. Beri bantuan dan sokongan kepada pihak sekolah apabila diperlukan. Anak-anak di pendidikan khas memerlukan sokongan dari kedua-dua belah pihak guru dan ibubapa.


Langkah 4 - Hati Yang Cekal Dan Kental
Hakikatnya, insan yang bergelar guru itu ada yang faham/cakna/prihatin dengan MBK dan ada yang sebaliknya. Tiap langkah yang di ambil ada risiko dan implikasi. Tak kisahlah apa pun yang dihadapi, ibubapa harus terus punya hati yang cekal dan kental. Kekal positif dan fokus kepada perkara yang dapat membantu ke arah perkembangan baik anak.

Apa yang nyatakan di atas adalah langkah ideal yang boleh dipertimbangkan oleh ibubapa mengendali isu/masalah anak di sekolah. Namun, ibubapa perlu bijak dan kreatif menggunapakai langkah-langkah yang dinyatakan mengikut keadaan dan kesesuaian.

Semoga dipermudahkan urusan ibubapa sekalian.

./