10 November 2019

Kisah Tempered Glass & Jeritan

Ahad, 27 Oktober 2019.


Kisah kali ini mengenai tingkahlaku anak saya apabila aras kebimbangan ('anxiety') mencecah hadnya. Sebenarnya, kejadian ini telah berlaku beberapa kali di tempat awam (pusat beli belah) dan kami tahu puncanya. Dah tau puncanya kenapa masih boleh terjadi? Itulah indahnya dunia bersama anak autisme.

Puncanya ialah kebimbangan anak autisme saya meningkat kehadnya dengan cepat apabila dia berada di dalam persekitaran di tempat awam yang ramai orang dan ada ramai anak-anak kecil (sekitar umur 3 tahun ke bawah). Lebih-lebih lagi bila anak kecil itu merengek atau menangis. Apa yang berlaku bila aras kebimbangan anak autisme saya mencapai hadnya dalam persekitaran yang disebutkan? Dia menjerit sekuat hati. Ya, menjerit sekuat hati.

Lazimnya, anak saya akan menaikkan aras bunyi 'headset' bila berada di dalam pusat beli belah bagi mengelakkan mendengar bunyi anak-anak kecil. Di pusat beli belah yang sudah biasa dilawati dia sudah boleh menjangka dan menyesuaikan diri sedikit. Kejadian kali ini di pusat beli belah yang pertama kali dilawati. Bergandalah dengan cepatnya aras kebimbangannya naik. Seperti kebiasaanya saya akan melakukan perkara-perkara yang di luar rutin dan tanpa 'social story' dalam usaha mengajar anak untuk mengawal diri apabila dalam perkara luar jangkaannya. Tambahan, anak saya perlu melalui sesuatu suasana atau keadaan baru dia mudah faham.

Walaupun dalam suasana dan keadaan yang sangat besar kemungkinan akan meledaknya jeritan, saya membuat keputusan untuk menukar 'tempered glass' telefon bimbit anak saya yang sudah retak di mana memerlukan dia untuk 'off' sebentar dari mendengar muzik. Inilah titik meletusnya ledakan jeritan. Kejadian disaksikan oleh juruteknik kedai dan orang yang berhampiran dengan kedai tersebut. Reaksi mereka? Juruteknik itu terperanjat dan berkata 'Saya takut, saya takut', dan memang saya nampak dia takut dan terperanjat. Orang disekeliling ada yang senyum dan ada yang pelik sambil beredar. Saya dan isteri? Senyum dan tenang, cuba hadapinya dengan rasional. Anak saya? Dia seolah tersedar dari rasukan setelah menjerit, berkali-kali minta maaf kerana menjerit, kemudian dengan tenang menyerahkan telefon bimbit untuk di tukar 'tempered glass' yang rosak. Inilah peluang saya untuk mengajar mengawal diri. Dengan harapan dia mampu mengawal dirinya sendiri dalam apa jua keadaan terutamanya jika kami telah tiada.

./

No comments:

Post a Comment