20 December 2017

Kesedaran Autisme Pada 2016 Oleh Hariz Zamri

Ini adalah video yang dirakam pada tahun 2016 bagi tujuan meningkatkan kesedaran tentang autisme dikalangan orang awam. Skrip disediakan manakala penyampaian dilakukan oleh Hariz sendiri mengikut keselesaan.



../

Pesanan Hariz - Kesedaran Autisme Pada 2015


Ini adalah video yang dirakam pada tahun 2015 bagi tujuan meningkatkan kesedaran tentang autisme dikalangan orang awam. Skrip disediakan manakala penyampaian dilakukan oleh Hariz sendiri mengikut keselesaan.


../

19 December 2017

FAQ#8: Bagaimana Penyaluran Bantuan Kewangan Bagi OKU?

Soalan: Bagaimana Penyaluran Bantuan Kewangan Bagi OKU?


Jawapan:

1. Bagi OKU yang didalam sistem pendidikan disekolah pra, rendah, menengah, tingkatan 6 dan kolej matrikulasi; penyaluran bantuan kewangan adalah melalui Kementerian Pelajaran Malaysia. Setakat Disember 2017, bantuan ini dilunaskan dalam dua fasa, Jan-Jun & Jul-Dis.

2. Bagi OKU di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), penyaluran bantuan adalah dari melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

3. Bagi OKU yang tidak berada didalam sistem pendidikan atau PDK, bantuan adalah terus dari JKM dan perlu membuat permohonan.

../

FAQ#7: Apakah syarat kemasukkan murid ke PPKI?

Soalan: Apakah syarat kemsukkan murid ke PPKI?


Jawapan:

Berikut adalah syarat kemasukkan murid baru ke PPKI:

i. Disahkan oleh pengamal perubata dengan menggunakan borang pemeriksaan doktor;
ii. Mendapat pengesahan kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM);
iii. Permohonan kemasukan murid ke PPKI dipohon di PPD/JPN;
iv. Pendaftaran murid ke PPKI boleh dibuat setelah mendapat surat penempatan dari PPD/JPN dan perlu membawa bersama Borang Permohonan
OKU (Borang BPPOKU pindaan 1/2012) yang dikeluarkan oleh JKM.


Berikut pula adalah syarat kemasukkan murid arus perdana ke PPKI:

i. Telah mengikuti proses P & Pdi sekolah;
ii. Telah mengikuti proses pemulihan sama ada pemulihan dalam bilik darjah atau pemulihan khas;
iii. Keputusan saringan menggunakan Instrumen Senarai Semak Disleksia (ISD) dan Instrumen Pengesanan Murid Bermasalah Dalam Pembelajaran (IPMBDP) dan disahkan oleh pengamal perubatan mengalami kebarangkalian disleksia atau masalah pembelajaran;
iv. Disahkan oleh pengamal perubata dan mempunyai kad OKU;
v. MBK dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) perlu mendapat sokongan bertulis daripada penyelia PDK.

Nota:
Panduan penuh boleh diperolehi dilaman sesawang KPM - Buku Panduan Pengoperasian Program Pendidikan Khas Integrasi.


../

FAQ #1: Anak saya baru disahkan autisme, apa perlu saya lakukan?

Jumaat, 08 Dis 2017.
Soalan: Anak saya baru disahkan autisme, apa yang perlu saya lakukan?


Jawapan:
Soalan ini ditanyakan oleh kebanyakkan ibubapa yang anaknya disahkan autisme dan mereka tidak ada pengetahuan tentang autisme atau apa-apa tentang kelainan upaya bukan fizikal. Sedih, risau, panik dan buntu adalah fasa pertama dan fasa kritikal yang ibubapa ini pasti tempuhi.
Jadi apakah yang perlu dilakukan oleh ibubapa bila anak disahkan autisme? Berikut hanya beberapa panduan untuk ibubapa mengikut kesesuaian masing-masing.
1. Usah biarkan kesedihan berlarutan terlalu lama kerana kesedihan tidak membantu perkembangan anak. Kerana kesedihan boleh mengundang masalah kesihatan pada diri sendiri. Bangkitlah dari kesedihan demi kebaikkan anak dan keluarga.
2. Belajar dan fahami tentang autisme supaya lebih memahami dan mudah mengendali anak autisme sendiri.
3. Belajar teknik atau kaedah terapi supaya dapat dilakukan sendiri dirumah dan tidak bergantung sepenuhnya dengan juruterapi.
4. Sertai kumpulan sokongan ibubapa samada dialam maya ataupun dialam nyata.
5. Kaji semua keperluan, laluan dan hak anak autisme supaya kita ibubapa lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk anak.
6. Berhati-hati dalam memilih rawatan untuk anak. Usah terjebak dengan kaedah yang bertentangan dengan agama. Juga, usah terjerat dengan tawaran-tawaran hebat ubatan yang menjamin kesembuhan autisme.


Carta alir bagi panduan ibubapa, sumber dari group Autisme Malaysia.

../

FAQ#6: Apakah kelebihan atau kegunaan kad OKU?

Soalan: Apakah kelebihan atau kegunaan kad OKU?


Jawapan:
Kad OKU dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan OKU berdaftar di JKM dimana melayakkan mereka mendapat bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi.

Klik sini (www.jkm.gov.my)untuk senarai penuh kemudahan dan keistimewaan bagi golongan OKU.

Terdapat juga pihak-pihak swasta yang memberikan keistimewaan kepada pemegang kad OKU, antaranya Pasaraya MyDin dan Petrosains.



../

FAQ#5: Seawal umur berapa autisme dapat dikesan?

Soalan:
Seawal umur berapa autisme dapat dikesan?


Jawapan:
Secara amnya, ciri-ciri autisme dapat dikesan seawal umur 2-3 tahun, itu pun sekiranya kita ada pengetahuan dan peka tentang perkembangan kanak-kanak serta pengetahuan asas tentang masalah seperti autisme, disleksia, lambat pertuturan dan sebagainya. Oleh itu ibubapa perlu peka terhadap perkembangan semasa anak berbanding carta tipikal perkembangan kanak-kanak.

Dibawah ini adalah contoh carta perkembangan kanak-kanak. Ibubapa dinasihatkan rujuk kepada pakar kanak-kanak sekiranya didapati perkembangan anak terlalu jauh berbanding dengan carta.



../

FAQ#4: Apakah Ciri-Ciri Autisme?

Soalan: Apakah ciri-ciri autisme?


Jawapan:

Berikut adalah ciri-ciri autisme.

1. Tidak memberi maklumbalas apabila dipanggil.
2. Tidak berinteraksi dengan orang lain.
3. Tidak ada hubungan mata.
4. Pasif atau lemah dalam pertuturan.
5. Perbualan satu pihak sahaja.
6. Bercakap tentang topik yang sama berulangkali.
7. Mengulangi percakapan orang lain (echolalia).
8. Menunjuk menggunakan tangan orang lain.
9. Tidak memberi maklumbalas kepada teknik pengajaran & pembelajaran biasa.
10. Hiperaktif.
11. Tidak bermain olok-olok.
12. Suka memutar objek atau suka kepada objek yang berputar.
13. Suka menyusun barang.
14. Cara bermain yang tidak sesuai.
15. Tidak tahu bermain dengan kanak-kanak lain dalam satu kumpulan.
16. Mengepak tangan (hands flapping).
17. Sukar menerima perubahan rutin.
18. Tidak suka dipegang/disentuh/dipeluk.
19. Terlampau/Kurang sensitif kepada sentuhan.
20. Terlampau/Kurang sensitif kepada bunyi.
21. Minat yang melampau terhadap sesuatu objek.
22. Ketawa/Senyum tidak sesuai dengan keadaan.
23. Menangis/Mengamuk tanpa sebab yang jelas.
24. Tidak faham tentang konsep keselamatan.



Nota:
Sila rujuk Child Psychology atau Child Psychiatrist untuk membuat penilaian kondisi sebenar anak.

../

06 December 2017

FAQ#3: Perlukah kad OKU bagi anak autisme?

Soalan:
Perlukah kad OKU bagi anak autisme?

Jawapan:
Perlu atau tidak perlu kad OKU bagi anak autisme adalah hak atau keputusan ibubapa. Untuk itu ibubapa perlu pertimbangkan beberapa perkara dalam membuat keputusan. Antaranya,

1. Autisme dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dibawah kumpulan masalah pembelajaran. Layak menerima bantuan kewangan dan manfaat lain dari kerajaan dengan syarat memiliki kad OKU berdaftar di Jabatan Kebajikkan Masyarakat.

2. Kad OKU diperlukan sekiranya ibubapa mahu memasukkan anak ke Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

3. Kad OKU melayakkan ibubapa mendapat kelayakkan potongan cukai tambahan bagi setiap anak OKU.

4. Kad OKU dapat membantu ibubapa mempercepatkan urusan berkaitan anak dikaunter perkhidmatan.

Nota penting:-
i. Kad OKU bukan untuk sentiasa ditunjuk atau digunakan. Gunakanlah ia hanya apabila perlu.
ii. Mendaftar kad OKU membantu dalam membina statistik yang lebih tepat mengenai jumlah OKU.

../

FAQ#2: Pada umur berapa sesuai untuk berkhatan bagi anak autisme?

Ahad, 10 Dis 2017.

Soalan:
Pada umur berapa sesuai untuk berkhatan bagi anak autisme?

Jawapan:
Tidak ada umur tertentu yang dikatakan sesuai untuk berkhatan bagi anak autisme. Tetapi amat digalakkan supaya anak autisme dikhatankan seawal yang boleh. Ini kerana dibimbangi sukar untuk dikendali bila mereka sudah besar.

Ada beberapa kaedah khatan yang boleh dipilih oleh ibubapa bergantung kepada kondisi semasa anak.

Kaedah 1 - Bius setempat dimana bius hanya ditempat yang hendak dioperasi atau dibedah.

Kaedah 2 - Bius penuh dimana anak akan 'ditidurkan' supaya mudah dioperasi atau dibedah.

Kaedah 1 biasanya sesuai untuk anak autisme yang boleh dikawal atau boleh memahami arahan. Manakala Kaedah 2 sesuai untuk anak autisme yang sukar dikawal, aktif dan sukar memahami arahan.

Selain itu terdapat 2 kaedah operasi iaitu 'biasa' dan 'laser'. Operasi 'biasa' merujuk kepada operasi/bedah secara biasa/normal. Operasi 'laser' merujuk kepada operasi/bedah dengan alat yang dapat mengurangkan luka/pendarahan.

../

25 November 2017

Luar Biasa

Ahad, 26 Nov 2017.


Luar Biasa ialah sebuah telefilem yang diinspirasikan dari kisah Dek Wan yang mengalami CP atau cerebal palsy. Telemovie ini ditayangkan pertama kali di layar televisyen pada 25 Nov 2017 di saluran Astro Citra & Astro Mustika. Telefilem ini adalah terbitan Current Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Tunku Mona Riza yang sebelum ini menerbitkan filem Redha.


Dek Wan atau Ridzuan Puzi ialah seorang atlet paralimpik negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Paralimpik Rio 2016. Beliau telah pulang bersama pingat emas acara lari 100m.

Ini adalah pendapat saya setelah menonton telemovie Luar Biasa ini. Kisahnya amat dekat dengan kisah keluarga saya yang ada anak autisme. Dan, saya rasa dekat dengan semua keluarga yang ada anak berkeperluan khas.

Baju yang sama, seluar yang sama, kasut yang sama, permainan yang sama... Semuanya mesti sama dengan adiknya. Sehingga nampak seperi melebih-lebihkan kehendak adik dari abang. Ini memang berlaku dalam keluarga saya, sampai anak umur berapa saya pun tak ingat.

Diberi tanggungjawab besar pada abang di umur yang masih muda. Kami ibu ayah sedayanya menyeimbangkan antara menyediakan keperluan abang sendiri dan memberi tanggungjawab abang terhadap adik memandangkan siapa lagi yang layak untuk menjaga adik sekiranya ibu ayah pergi dahulu. Dibimbangi si abang terleka sekiranya tidak diberitahu awal-awal. Adik beradik juga penting, disebalik ibu ayah yang berusaha untuk membantu anak berkeperluan khas. Juga sangat baik untuk panduan kepada rakan sebaya adik beradik yang ada saudara kandung berkeperluan khas. Juga sebagai peringatan kepada ibu bapa agak tidak membebani anak-anak dengan tanggungjawab yang tidak setara dengan umur anak-anak.

Telemovie ini berjaya memaparkan kisah kekeluargaan yang sebenar dalam sebuah keluarga yang ada anak berkeperluan khas dari sudut adik beradik dengan begitu baik sekali.

../

30 September 2017

Autisme & Akil Baligh

Ahad, 01 Oktober 2017.

Setiap orang akan melalui fasa akil baligh iaitu transisi dari kanak-kanak ke alam remaja/dewasa. Anak istimewa tidak terkecuali, walaupun pada lahiriahnya mereka nampak tidak atau kurang matang. Perkembangan biologi mereka adalah sama seperti orang tipikal/normal. Jadi kita ibu bapa atau penjaga perlu lebih peka dan prihatin kerana anak-anak autisme tidak faham apa itu akil baligh dan bagaimana keadaannya.

Apa yang saya tulis ini adalah pengalaman saya mengendalikan anak saya selama dalam tempoh akil baligh. Anak saya mula menunjukkan perubahan fizikal seperti tumbuh bulu pada ketiak, misai mulai jelas dan bulu pada bahagian kemaluan. Pada waktu itu dia berumur 11 tahun dan belum berkhatan. Pada waktu ini dia menunjukkan tingkahlaku suka bermain-main pada kemaluannya, mungkin kerana gatal dan seronok bila digaru atau dipegang. Jadi, kami sentiasa memastikan dia sentiasa bersih selepas buang air, halang atau tegah dia bila dia pegang bahagian kemaluan dan pastikan dia tidak bersendirian. Sentiasa berada didalam pengawasan yang rapat sehinggalah dia berkhatan pada usia 12 tahun.

Selepas berkhatan, menggaru dan memegang kemaluan sudah hampir tiada. Namun, kami terus lakukan pengawasan seperti yang disebutkan dan juga mengawal apa yang ditonton di TV atau YouTube. Selain itu kami memakaikan dia seluar dalam yang sedikit ketat agar kemaluan dia tidak bergesel.

Kami juga mula mengajar dia tentang malu dan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat terutama dengan perempuan. Kami memeriksa seluar dalam bagi mencari tanda-tanda dia sudah bermimpi. Kami mandikan dia dengan niat bagi pihak. Kami tidak mengamalkan kaedah onani sebagai memenuhi kehendak biologi anak.

Ibu bapa harus jadi sangat peka dengan keadaan anak dan mengawasi tingkahlaku anak dengan rapat. Jangan buka ruang untuk mereka lakukan tingkahlaku yang tidak diingini kerana ditakuti menjadi tabiat.

../

24 September 2017

Hariz Bergunting Rambut Pada Usia 16 Tahun

Ahad, 24 Sept 2017.

Pada hari ini merupakan kali ketiga jika tidak silap saya, Hariz bergunting rambut di kedai gunting yang saya kira mesra anak-anak istimewa. Muda-muda belaka, namun cukup mesra dan sedia melayani keperluan anak autisme saya bila bergunting rambut. Kedai gunting ini saya kira bertaraf salon - cantik, teratur, selesa dan tukang gunting yang professional.

Apa yang saya nak cerita kali ini ialah perkembangan anak saya pada tahap ini bila bergunting rambut. Pada tahap ini dia sudah tahu dan memahami apa itu tampan (handsome) dan kemas. Dan saya kira kedai gunting ini menepati dengan apa yang dia jangkakan berkaitan dengan perapian rambut. Dia boleh menuggu selama lebih 40 minit sebelum tiba giliran dan 20 minit lagi untuk bergunting rambut. Dia memberi kerjasama dengan baik semasa menggunting rambut. Cuma ada beberapa perkara yang perlu dielakkan kerana masalah sensori yang masih ada. Perkara yang perlu dielakkan ialah melilit tisu pada leher dan menggunakan mesin yang berbunyi dan bergegar kuat. Juga tidak menggunakan pisau pencukur untuk mencukur rambut halus atas sebab keselamatan. Sebelum ini proses menggunting perlu disiapkan secepat mungkin dan kurang kemas hasilnya, serta tukang gunting yang tidak tetap.

Ini adalah kedai yang ke lima sejak berpindah di tempat baru dan tidak akan mencari tempat lain lagi (selagi tidak tutup perniagaan). Oh ya, tukang gunting dalam foto di bawah ialah tukang gunting 'peribadi' anak saya di kedai gunting tersebut. Nama kedai gunting - Tacob's Barbershop, Taman Pelangi Semenyih, Semenyih.




15 August 2017

Biarlah... Dia anak istimewa...

Sabtu, 12 Ogos 2017.

Status anak syurga / anak istimewa / kelainan upaya tidak bermakna kita harus menerima sahaja perkara yang tidak elok dilakukan mereka. Usah terus dibiarkan kerana dibimbangi anak akan menganggap perbuatan tidak elok mereka itu adalah biasa dan bukan kesalahan. Bila ini terjadi, sukar untuk kita ubah kelak.

Kita harus ajar mereka supaya tidak lakukan perkara yang tidak elok seperti mana yang diajarkan pada anak tipikal. Cuma yang membezakannya adalah kaedah mengajar yang bersesuaian dengan anak syurga masing-masing dan juga tempoh masa yang diperlukan untuk mereka faham.
Ingat, mereka boleh diajar dan dibentuk tidak kira aras kondisi mereka. Kita cuma perlu cari dan belajar kaedah yang sesuai untuk mereka dari masa ke semasa.

Semoga Allah Yang Maha Bijaksana, Tuhan semesta alam mengurniakan ilmu/hidayah yang bermanfaat kepada ibubapa dan pendidik.

../

25 May 2017

Hariz & Ibadah Puasa

Khamis, 25 Mei 2017.



Kali ini saya ingin kongsikan bagaimana saya melatih anak autisme saya tentang puasa dana melaksanakan ibadah puasa. Saya mula melatih anak autisme saya berpuasa sejak dia bersekolah di sekolah rendah, ketika berumur lapan tahun. Pada ketika itu saya tidak bangunkan dia waktu sahur. Anak saya akan sarapan seperti biasa sebelum ke sekolah tapi saya tidak bekalkan makanan seperti hari-hari biasa. Setelah balik sekolah anak saya akan makan tengahari seperti biasa. Saya cuma beritahu dia (hari-hari) bahawa waktu itu adalah bulan puasa  dan tak boleh makan minum. Malahan, sebelum bulan puasa pun saya akan cerita tentang puasa dan bila puasa akan bermula dengan sekerap yang boleh. Saya menggunakan kalendar 'kuda' sebagai alat bantu untuk ajar secara visual sebab lebih mudah untuk dia faham. Namun, cuma menumpukan pada hari bersekolah.

Pada tahun kedua berpuasa saya meningkatkan puasa dari setengah hari ke satu hari. Tapi saya tidak melarang jika dia nak berbuka. Dan ketika itu juga saya bangunkan dia untuk bersahur. Pada ketika itu saya menggunakan ganjaran (reward) sebagai galakkan untuk dia menahan lapar sehingga waktu berbuka.

Begitulah pada tahun-tahun berikutnya. Saya meningkatkan tahap kebolehan anak berpuasa sedikit demi sedikit. Antaranya, sediakan makanan kegemaran semasa bersahur dan berbuka; beri duit raya sama seperti abangnya; kurangkan aktiviti fizikal tapi bawa bersiar-siar dalam masa singkat dan dalam cuaca yang baik. Alhadulillah sekarang anak autisme saya sudah tahu bulan apa yang kita kena berpuaasa dan saya kira sudah faham tentang perkara-perkara penting yang boleh dan tidak boleh ketika berpuasa.

./

20 March 2017

Kenali OKU Masalah Pembelajaran

Isnin, 20 Mac 2017.

Pemandu Khayal Sebelum Terlibat Kemalangan Lawan Arus
(Ada banyak lagi liputan berkaitan peristiwa ini. Tak larat nak buat link satu per satu.)


Salam sejahtera.

Saya bukan nak ulas tentang berita ini. Tapi saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk saya menerangkan apa itu OKU sebab ramai yang masih lagi dan sangat kabur tentangnya.

OKU - Orang Kurang Upaya atau Orang Kelainan Upaya manakala bahasa kasarnya cacat. Istilah lain yang merujuk kepada OKU adalah keperluan khas (special needs). Dalam institusi pendidikan Malaysia, istilah Murid Berkeperluan Khas (MBK) merujuk kepada pelajar-pelajar OKU.

Istilah mana yang digunakan bergantung kepada tahap pengetahuan seseorang tentang OKU. Ibu bapa atau penjaga kepada insan yang dikategorikan OKU sangat sensitif terhadap istilah yang digunakan. Apatah lagi jika OKU dijadikan bahan lawak atau dipermainkan.

Dengan merujuk sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 7 kategori iaitu:

i. Kurang Upaya Pendengaran
ii. Kurang Upaya Penglihatan
iii. Kurang Upaya Pertuturan
iv. Kurang Upaya Fizikal
v. Masalah Pembelajaran
vi. Kurang Upaya Mental
vii. Kurang Upaya Pelbagai

Rujukan www.jkm.gov.my

Isu OKU yang diperkatakan ialah OKU Masalah Pembelajaran dimana berikuta adalah tergolong didalamnya:

i. Lewat perkembangan global
ii. Sindrom Down
iii. Kurang upaya intelektual
iv. Autisme (Autistic Spectrum Disorder)
v. Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
vi. Dyslexia, Dyscalculia dan Dysgraphia

Seseorang itu hanya disahkan OKU masalah pembelajaran setelah menjalani siri ujian, pemerhatian dan pemeriksaan oleh pakar-pakar bertauliah dari hospital kerajaan. Ada yang secepat beberapa bulan dan ada yang lambat bertahun.

Setelah disahkan OKU tidak tamat disitu. Mereka harus menjalani siri rawatan/intervensi bagi membantu mereka.

Selain itu mereka juga harus mengharungi sistem kehidupan manusia normal yang sangat sangat mencabar dan sukar bagi mereka. Umpama cuba untuk menyertai dan diterima sebuah pasukan yang tidak boleh menerima ahli pasukan yang lemah.

Harap kita sama-sama dapat belajar sesuatu.