30 May 2011

Siapa Yang Kuat??

Isnin, 30 May 2011.

Minggu lepas aku telah melakukan suatu ujian ke atas Hariz untuk mengatasi tingkahlakunya yang pada aku  tidak elok jika dibiarkan berterusan. Tingkahlaku yang aku maksudkan ialah dia akan terus meminta yang dikehendakinya walaupun telah di beri penjelasan, sebab, alasan, helah, pengalihan perhatian dan lain-lain untuk menafikan apa yang di minta.

Dalam kes ini Hariz meminta supaya kad SIM dipasangkan pada Samsung Galaxy Tab. Dia tahu apa yang dia boleh buat bila kad SIM dipasangkan pada gadget tersebut - boleh buat panggilan dan berinternet. Dan dia tahu lokasi slot kad SIM pada gadget tersebut. Jadi, aku membuat keputusan supaya tidak akan berikan kad SIM dalam apa jua keadaan. Maka bermulalah konflik. Di sini aku ada beberapa pilihan pendekatan untuk mengatasinya:

a. cuba menjelaskan tak perlu kad SIM sebab ada wireless
b. beri alasan/helah penangguhan dengan harapan dia boleh lupa
c. beli alasan/helah dengan mengatakan kad SIM nak kena ambil di tempat yang jauh
d. bertegas dengan mengatakan kad SIM memang tidak ada
e. menggunakan ugutan untuk menarik balik hak memiliki gadget tersebut
f. buat tak tahu dengan permintaannya
g. gertak hukuman dengan rotan atau menunjukkan ekspresi marah

Anda tahu apa yang berlaku? Aku guna semua pendekatan di atas dan yang paling berkesan ialah pendekatan (d) dan (e). Tetapi tidak semudah itu untuk Hariz mengalah bagi mendapatkan kad SIM. Tantrum dan mengulangi permintaannya silih berganti dalam tempoh 24 jam. Sentiasa mencari sebab untuk dia tantrum dan merajuk. Pada tahap ini hati sudah jadi panas dan mudah untuk marah. Jadi, aku mesti mencari jalan supaya dia boleh terima hakikat "tiada kad SIM". Aku mesti tegas dalam lembut, aku mesti konsisten dalam fleksibel dan aku mesti sabar dalam marah. Ermm macam mana tu. Aku pun tak tahu macam mana aku buat, tapi ianya berjaya bagi aku. Dia tak minta kad SIM lagi selepas 24 jam berlalu.


Analisa dari apa yang berlaku boleh aku katakan:
a. aku harus lebih kuat, tegas, konsisten, fleksibel dan lembut dalam tempoh masa yang sama; dan kreatif menggunakan pendekatan bersesuaian dengan keadaan ketika berlaku konflik
b. aku dan ahli keluarga harus sentiasa bersedia untuk menghadapi tindakbalas dari pendekatan yang di ambil
c. aku harus tidak di kawal oleh nafsu marah demi mengelakkan persepsi tidak elok pada anak dan menjadi lali, dan paling teruk anak menjadi mangsa kemarahan

Kadang-kadang kita baca teknik-teknik menghadapi anak-anak autisme. Tapi bila dalam situasi sebenar kita kadang-kadang tak boleh nak gunakannya. Kena ubahsuai baru berkesan. 'Kenali' anak-anak autisme akan buat kita lebih efisyen untuk mengendalikan mereka.

No comments:

Post a Comment