30 July 2010

Pertemuan 2: Abil & Keluarganya

Ahad, 25 Julai 2010.

Pada hari ini, kami sekeluarga bertemu dengan sebuah lagi keluarga yang mempunyai anak autisme. Kami bertemu dengan keluarga En. Nasrul & Pn. Syahida. Pertemuan diaturkan di Medan Selera, Tesco Tebrau City. Terlalu banyak pengalaman & maklumat yang mahu di kongsi bersama, namun masa membatasi. Mudah-mudahan kita boleh bersua selalu. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami.


Hariz leka bermain dengan Nokia N97 (ibu dia punya!). Sebelah tu abang kepada Hariz iaitu Haziq.
Ini Abil dan adiknya.
Kiri, Zamri ayah kepada Hariz dan En. Nas ayah kepada Abil.
Bergambar sejurus sebelum bersurai.




15 July 2010

Hari Mengambil Laporan Pelajaran

Khamis, 15 Julai 2010.

Hari ini adalah hari untuk mengambil laporan pelajaran. Pada hari ini juga peluang aku dan isteri untuk berbicara tentang perkembangan anak-anak dalam pelajaran di sekolah. Di kelas Hariz, aku mengharapkan ada sedikit perubahan positif sikap guru penyelia dengan kami. Harapan kami hanyalah mimpi. Dengan memalingkan muka ke arah meja ketika bejabat dengan isteri - pada aku tanda tidak mahu berbaik dan bertindak menurut emosi. Malah, tidak punya initiatif untuk menegur/menyapa dan duduk membelakangkan kami ketika kami berbincang dengan guru yang lain. Mencemarkan profession guru.

Aku mengingatkan diri aku, janganlah kamu ceburi bidang yang banyak berurusan/berinteraksi dengan manusia sekiranya kamu tidak tahan dengan karenah manusia. Dan, sekiranya kamu seorang ketua, berlaku adillah dan pekalah dengan orang-orang kamu uruskan. Janganlah memperlekeh mereka dengan kuasa yang ada pada kamu, kerana kuasa itu hanyalah sementara dan ujian untuk kamu. Laksanakanlah amanah dengan kuasa yang kamu ada, kerana ganjaran kebaikan sudah pasti ada.

"Allah akan membantu hamba-Nya selama mana hamba-Nya membantu saudaranya" - petikan dari DMFK.

13 July 2010

Interaksi Dengan Individu Autisme

Isnin, 12 Julai 2010.


Kebelakangan ini aku bersama Hariz berjumpa dengan beberapa orang, dan seperti biasa aku akan 'disclose' info pasal autisme sebagai makluman mereka. Ada antara mereka sudah tahu mengenai ciri-ciri autisme (saya bersyukur kerana mereka ada kesedaran) tapi ada sesuatu yang perlu diperbaiki - iaitu bagaimana hendak menghadapi atau berinteraksi dengan individu autism.


Dari pemerhatian saya, walaupun mereka sudah tahu mengenai autism, tetapi mereka agak kekok dan tidak pasti bagaimana hendak berinteraksi dengan individu autism. Bukan salah mereka kerana mereka tidak tahu bagaimana. Jadi, tip-tip di bawah mungkin dapat membantu anda bila berinteraksi dengan individu autism:


    * Elakkan melakukan sesuatu yang dia tak suka atau menghalang sesuatu yang dia suka lakukan dengan sengaja. Setiap individu autism biasanya ada ciri di mana emosinya mudah terganggu terhadap sesuatu. Ada yang sensitif kepada bayi menangis, bunyi kuat, watak kartun, gelap, suara menengking, barang kesukaan di ambil orang atau hilang, wajah bengis/marah dan macam-macam lagi.

    * Cuba dapatkan sedikit maklumat dari ibubapanya mengenai apa yang dia suka dan tak suka. Kerana kebanyakkan mereka tidak mahu di anggap berlebih-lebih memberitahu perihal anak mereka. Bila anda tahu tentang individu autism akan dapat membantu anda berinteraksi dengan mereka, sekaligus membantu mereka juga dalam bersosial.

    * Jika dia terambil atau mengambil sesuatu dari anda tanpa kebenaran, janganlah terus merampas semula dengan kasar atau marah-marah. Biasanya mereka ini boleh di pujuk dan berunding. Gunakanlah kebijaksanaan dan rujuk kepada ibubapa mereka untuk tahu cara untuk memujuk/beruding.

    * Cuba bina 'trust-relationship'. Mereka biasanya boleh berinteraksi dengan baik bila 'trust-relationship' itu wujud. Elak dari mempamerkan riak wajah dan bahasa badan yang tidak baik, walaupun mereka lemah dalam berinteraksi tetapi mereka boleh merasai emosi kita dari riak wajah dan bahasa badan.

    * Kekalkan tahap kesabaran anda. Biasanya, mereka ini suka mengulangi kata-kata atau perbuatan tanpa rasa penat atau bosan. Jadi, bersabarlah ketika berinteraksi dengan mereka. Elakkan diri anda dari mereka perlahan-lahan jika anda rasa tidak boleh lagi menahan kesabaran untuk mengelakkan konfrantasi.


Itulah sedikit tip yang mungkin berguna untuk anda.