29 December 2018

2019 - Fasa Baru Buat Hariz

Sabtu 28 Dis 2018.



Tahun 2019 umur Hariz sudah mencapai 18 tahun dan merupakan permulaan fasa baru di mana dia tidak lagi bersekolah walaupun ada pilihan untuk menyambung persekolahan hingga ke umur 19 tahun. Mengapa aku tidak mahu dia menyambung persekolahan hingga ke umur 19 tahun? Kerana pada hemat aku dia tidak lagi sesuai berada di sesi persekolahan.

Anak aku ini masih lagi
- susah untuk menerima arahan terutama arahan yang baru;
- memerlukan penyeliaan dan bantuan dalam perlaksanaan tugasan kerana kurang daya tumpuan;
- ada vocal tics;
- sukar mengawal kemarahan;
- lemah komunikasi bertutur;
- tidak mampu menentukan masa depan sendiri;

Kesimpulannya, kebergantungan anak aku dengan orang lain masih tinggi. Walaupun begitu, anak aku ini ada kekuatan di dalam bidang multi-media namun masih mencari cari kaedah yang sesuai untuk menggilap kekuatan yang ada.

Pada tahun 2019 dan mendatang, aku mensasarkan dia mempunyai pekerjaan yang bersesuaian dengan kekuatan dia agar masa kehidupan dia tidak berlalu begitu sahaja. Semoga Tuhan memberikan aku petunjuk, panduan, kekuatan dan rezeki.

11 August 2018

Acara Larian Pertama Hariz Zamri

Sabtu, 11 Ogos 2018.

Hari ini merupakan satu lagi pencapaian ('milestone') bagi Hariz Zamri di mana pertama kalinya menyertai larian 5KM. Acara larian tersebut ialah Milo Breakfast Day 2018 yang diadakan di beberapa buah negeri dan berakhir di Putrajaya pada 11 Ogos 2018. Bermula dengan permintaan dia untuk turut serta acara larian ini yang akan diadakan di Johor Bahru. Seperti lazim anak ASD yang akan sebut berulang-ulang kali perkara yang sama, jadi saya dan isteri memutuskan untuk turut serta acara ini di Putrajaya. Pendaftaran dibuat seawal bulan Julai, alhamdulillah sebab mendapat tempat.

Sejak Julai saya telah mengalakkan dia untuk berlatih berlari sejauh 5KM di atas threadmil. Dan, dia menyahutnya dengan baik. Namun ada dua cabaran yang perlu diatasi. Cabaran yang pertama ialah dia sangat mahu menggunakan aplikasi Nike+ Run Club untuk merekod prestasi larian tetapi aplikasi ini masih lagi belum tersedia untuk jam pintar Fossil yang dia guna. Jenuh menerangkan dan memberikan solusi alternatif. Cabaran kedua ialah kemampuan untuk mengikut 'pace' larian dia yang sememangnya laju dari saya (dah tua). Alhamdulillah, ada rakan yang dah biasa sertai acara larian sudi untuk menjadi 'pacer'.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Terpancar kepuasan kerana dapat berlari dalam acara sebegitu untuk pertama kalinya.


Sesudah habis acara larian.

Bibu Nora dengan Haziq (abanag Hariz)

Hariz bersama 'pacer' Bandri Ayub.

08 July 2018

Raya 2018 - Pencapaian Baru!

Jumaat, 14 Jun 2018.

Hari ini adalah Hari Raya Aidil Fitri dan umur Hariz kini mencecah 17 tahun. Hari ini juga ada sesuatu yang gembira untuk dikongsikan kepada pembaca. Apa yang memggembirakan saya?

Yang pertama, Hariz pakai baju melayu penuh siap bersampin dari pagi hingga ke petang! Begitu lama menuggu waktu ini. Dan pada hari ini juga seluruh keluarga pakai baju melayu lengkap! Barulah raya!






Yang kedua, Hariz duduk sendirian semasa solat Jumaat siang tadi. Saya berada tiga baris dibelakang dia memerhati dan dalam 'mode high alert' bersedia untuk sebarang kemungkinan. Segalanya berjalan lancar sehingga khatib selesai membaca doa. Selama ini dia sentiasa disebelah saya bila solat Jumaat di masjid.

Itulah dua perkara yang menggembirakan saya hari ini. Alhamdulillah.


../

25 March 2018

"Kenapa anak bang, dia sakit ke?"

Ahad, 25 Mac 2018.

Petang tadi pergi gunting rambut. Hari ni anak sedikit cranky... sedikit je pun tapi menarik perhatian pelanggan lain yang ada di kedai tersebut.

Ada satu soalan dari salah seorang pelanggan yang saya kira kalau ditanya kepada ibubapa anak autisme yang baru di diagnose, pasti akan luluh jiwa nak jawab. Tapi soalan itu ditanya dengan tulus ikhlas. Soalan pelanggan itu - "Kenapa dia bang? Sakit ke?". Saya senyum lebar dan pandang beliau jawab "Taklah... dia autisme...", terus beliau kata "Oh...". Saya amik kesempatan cerita sikit (dengan suara sedikit kuat supaya orang lain boleh dengar sama) pasal kisah/sejarah anak autisme saya bergunting rambut di kedai tersebut. Mengangguk angguk beliau. Saya harap beliau dan yang lain dalam kedai itu belajar sesuatu.

Owh... untuk info semua, saya sikit pun tidak ada rasa marah sedih atau kecik ati pada yang bertanya... saya suka dia bertanya daripada dia diam membuat andaian sendiri.

./