Ahad, 12 Jul 2015.
Perayaan bagi kebanyakkan ibu bapa yang mempunyai anak autisme adalah umpama mimpi ngeri kerana adegan-adegan yang tidak menyenangkan sama ada di jangka dan tidak di jangka akan berlaku. Terutama kepada ibu bapa yang baru dalam dunia autisme, mencari cari cara bagaimana hendak menghadapinya. Jadi di sini saya kongsikan sedikit pengalaman bersama anak autisme semasa musim perayaan. Diharapkan ianya memberi manfaat.
1. KESELAMATAN
Keselamatan adalah perkara utama yang saya beri perhatian di musim perayaan. Saya tidak sesekali meninggalkan anak bermain tanpa pengawasan. Sama ada di rumah ibu bapa sendiri, saudara mara, rakan-rakan, di pusat beli-belah atau di mana-mana saja. Saya dan isteri sentiasa bergilir mengawasi anak. Saya tidak mengharapkan orang lain untuk mengawasi anak kerana tidak mahu mereka rasa bersalah atau mungkin dipersalahkan atau mungkin juga saya atau isteri dipersalahkan jika sesuatu yang buruk berlaku. Kata kuncinya adalah biar susah dan penat asal tidak menyesal.
2. STRATEGI / PERANCANGAN
Mempunyai anak autisme melatih saya supaya menjadi perancang dan penyusun strategi yang baik dan berkesan dalam melakukan sesuatu. Tanpa ada perancangan dan strategi lazimnya menimbulkan konflik dan masalah walaupun melakukan perkara yang amat mudah (dalam tanggapan saya) bersama anak autisme.
Anak autisme saya juga seorang anak yang hiperaktif dan kurang daya tumpuan. Sentiasa bergerak ingin melakukan sesuatu dan meneroka. Oleh kerana kurang daya tumpuan, alat permainan bukan sesuatu yang boleh buat dia duduk lama bermain. Alatan elektronik terutama telefon bimbit dan komputer adalah 'alat permainan' yang boleh buat dia duduk lama, dan boleh juga menjadi punca konflik dan tantrum.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- tidak akan berada lama di rumah yang dilawati; segera beredar bila ada tetamu lain hadir
- hanya melawat rumah yang sudah pun mengenali anak saya dan boleh menerima dengan hati terbuka
- mengelak melawat rumah yang penuh dengan hiasan-hiasan yang mudah pecah atau rosak
- hanya bawa alat permainan dan makanan kesukaan
- berwaspada bila tetamu lain yang tidak biasa atau kenal kami sekeluarga agar anak tidak mengganggu mereka
- bersedia untuk berikan telefon bimbit saya sendiri hanya bila perlu (sebagai ganjaran)
- memberitahu tuan rumah lebih awal supaya menyimpan telefon bimbit atau komputer riba
- bergilir dengan isteri mengawasi pergerakan anak dan menjamah makanan
- tidak singgah di mana-mana jika dapati anak tidak lagi nampak tenang
Anak autisme saya mempunyai menu diet yang sangat terhad. Tidak akan menjamah apa-apa makanan selain yang disukainya sahaja.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- isteri akan menyediakan menu kegemaran anak; di masak dan di bungkus dengan cara supaya tahan untuk beberapa hari
- tidak akan memaksa anak untuk makan makanan yang terhidang
Anak autisme saya sangat 'attach' dengan beberapa barang. Boleh mencetuskan tantrum bila kehilangan barang tersebut dan menyebabkan suasana yang tidak aman kepada orang lain.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- menyediakan beg untuk mengisi dan mengelakan kehilangan barang tersebut; beg ini di bawa sendiri oleh anak
- periksa dan pastikan barang tersebut ada di dalam beg sebelum bergerak meninggalkan rumah sendiri atau rumah tetamu
Anak saya suka bermain dengan air atau lebih tepat lagi obses dengan air. Air sungai, air parit, air lopak, air paip, air batu (ais), air dalam akaurium, air kolam, air pancut, air laut, air hujan dan lain-lain. Ada yang bahaya, ada yang tidak, ada yang berbayar, ada yang percuma dan ada yang mengganggu orang. Memang memberi masalah kerana air berada di mana-mana.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- sentiasa menyediakan persalinan lebih
- sebolehnya elakkan perkara yang menggalakkan obsesi anak
Anak autisme saya tidak mahu turun dari kereta bila tiba di rumah saudara tertentu. Tidak ada penjelasan kenapa sebab dia tidak mampu untuk menyatakan kenapa. Ramai yang akan bertanya kenapa dia begitu. Ada juga yang mencadangkan sesuatu untuk memujuk supaya dia turun dari kereta.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- akan cuba memujuk dan berdiplomasi; kadangkala menggunakan kaedah sistem ganjaran (reward system) dan menggunakan tonasi suara yang mesra kepada dia; kadangkala setelah beberapa ketika di situ baru dia hendak turun dari kereta jadi saya tidak akan memaksa atau mendesak
- letakkan kenderaan dekat dengan rumah atau pada jarak yang mudah di pantau dan menurunkan cermin tingkap untuk pengudaraan (enjin kereta dihidupkan)
- akan menyakinkan tuan rumah bahawa anak saya baik-baik sahaja dalam suasana tersebut dan memohon maaf
Anak autisme saya sensitif dan sangat terganggu dengan tangisan dan rengekkan anak kecil yang berpanjangan. Pernah menerpa kepada anak kecil yang sedang menangis kerana cuba untuk menghentikan tangisan (dah tentu dengan cara yang tidak boleh di terima oleh kita).
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- duduk jauh dari anak kecil tersebut, duduk bersama anak saya dan sentiasa memantau tingkahlaku anak autisme saya, perlu lakukan sesuatu jika anak mula menunjukkan keresahan
- anak akan memasang lagu dan mendengar melalui headset, dapat meredakan keresahan anak saya
Anak autisme saya mudah terganggu dan boleh ke tahap tantrum bila dia tidak bersedia atau menjangkakan apa yang akan dia hadapi pada hari tersebut.
Strategi dan perancangan untuk menghadapinya:
- biasanya kami akan memberitahu anak beberapa hari awal dan setiap hari sehingga tiba hari kejadian
- sebolehnya tidak akan mengubah jadual perjalanan yang sudah di beritahu dan diaturkan
- memberikan reward dengan melawat ke tempat kesukaan dia (selit di antara destinasi yang dirancangkan)
Itulah sedikit perkongsian pengalaman menghadapi musim perayaan bersama anak autisme saya. Saya harap ianya dapat membantu ibu bapa yang lain.
No comments:
Post a Comment