30 December 2011

Perbualan Dalam Perjalanan Beli Tiket Bas

Jumaat, 30 Dec 2011.

Semasa di rumah, beberapa jam sebelum keluar rumah:

Ayah: Hariz, kita balik Johor nak?
Hariz: Alaaaa...
Ayah: Ayah nak amik kereta Viva...
Hariz: Alaaa!!!

{tak nak la ni}


Dalam perjalanan ke terminal bas untuk beli tiket:

Hariz: Gi mana ni yah?
Ayah: Kita nak pergi beli tiket bas.
Hariz: Tiket bas..?
Ayah: Ye, kita nak balik Johor.
Hariz: Alaaaa...!


Sesampai di terminal bas, muka nampak gembira ceria je... Beli tiket pun Hariz tak kisah... Lepas beli tiket dia terus ajak naik bas!! Adeii... tak sabarlah pulak...nasib dia boleh terima bila kata naik bas hari esok.

Kesimpulan yang aku dapat - suasana sekitaran yang cantik, teratur dan bersih mempengaruhi emosinya sekaligus dapat mengubah persepsi dan keputusannnya, walaupun pada awalnya berkeras tidak mahu.

26 December 2011

Dulu Nak Berlari Saja, Sekarang Nak Duduk Saja

Isnin, 26 Disember 2011.

Kalau dulu susah nak keluar jalan-jalan di mall/pasaraya sebab Hariz asyik nak berlari saja bila dapat peluang 'terlepas' dari pantauan. Lagi-lagi bila pergi ke tempat yang memang kesukaan dia. Dia berjalan dihadapan sambil menarik kita. Tapi sekarang sudah berubah. Dia boleh berjalan seiring sambil berpegangan tangan, sekali sekala tidak berpegang tangan dan dia masih boleh berjalan beriringan. Tapi timbul pulak tingkahlaku lain (tak lah memudaratkan) iaitu kerap nak duduk macam penat sangat berjalan. Tak kisahlah atas kerusi, lantai beralas/tak beralas, troli, rak, kotak dan sebagainaya, asalkan dapat duduk. Bagusnya, dia tak melilau tak tentu pasal. Playground dia dah tak teruja nak main. Tapi dalam hati ada sedikit kerisauan kenapa dia asyik nak duduk saja. Mungkin penat sungguh atau mungkin ada masalah kesihatan lain yang aku belum tahu, atau dah bosan dengan aktiviti jalan-jalan. Apa pun, Alhamdulillah dengan perubahan ini sebab mudah sikit bila berada di tempat-tempat awam. Boleh dedahkan dia dengan persekitaran yang pelbagai dengan harapan dia dapat belajar sebanyak yang boleh.

Sebahagian  rakaman semasa aktiviti jalan-jalan:











16 December 2011

Hariz & Abang Haziq Pindah!!

Jumaat, 10 Dec 2011.

Hari ini masanya tiba untuk Hariz dan abangnya Haziq berpindah ke tempat baru. Lama menanti saat ini, hanya untuk lihat reaksi Hariz. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar di mana Hariz tak sabar-sabar untuk bergerak ke tempat baru sesudah barang habis di angkut ke dalam lori. Mindanya sekarang sudah bersedia untuk suasana sekolah baru, tapi tak tahu lagi apa bakal terjadi bila sesi sekolah bermula. Aku serahkan kepada Allah Yang Maha Esa.

Namun begitu, ada sedikit kesukaran untuk 'menanam' istilah pindah dalam mindanya di peringkat awal iaitu kira-kira satu bulan yang lepas, dimana hanya aku sahaja pindah ke tempat baru dan balik pada hujung minggu. Pada tempoh itu, ibunya memainkan peranan 'menanam' istilah pindah dan aku pula setiap hari telefon. Hariz didapati mula bersedia/menerima istilah pindah bila masuk minggu ke tiga. Pada minggu akhir, Hariz sudah tidak sabar untuk pindah ke tempat baru bila ibunya membungkus barang-barang. Alhamdulillah, setibanya dirumah baru dia tidak mengalami apa-apa gangguan atau tantrum sebab tak ada internet dan tv. Sebagai alternatif dia ada PS1.

Itulah tempoh yang diperlukan untuk Hariz menerima perubahan (besar) dalam hidupnya.

Dengan pengalaman ini timbul persoalan dalam fikiran aku..... Apakah orang lain (selain dari ibu bapa kandung) boleh faham keadaan ini?? Maksud aku boleh memberi ruang dan peluang secukupnya, serta sabar, untuk lihat anak-anak autisme berubah, belajar dan segalanya.

02 December 2011

Hariz Ingin Bercerita!

Jumaat, 02 Dec 2011.

Dah sebulan takde entry baru. Aku pun bukannya pandai mengarang hahaha. Tapi memang kelam kabut sikit bila bertukar tempat kerja. Banyak yang harus diuruskan. OK cerita baru pasal Hariz. Hari ni bila aku balik dia excited tapi bukan mengejar aku, ke hulu ke hilir dengan muka riang menunjukkan ekpresi gembira.

Masa duduk-duduk sambil menonton TV, Hariz sibuk tunjuk video rakamannya dalam Samsung Tab sambil ingin bercerita mengenainya. Tampak sangat payah bagi dia untuk mengeluarkan kata-kata dan menyusun ayat. Kasihan aku lihat dia, aku kena bantu. Aku cuba fahami apa yang dia ingin katakan kemudian aku menyusunkan ayat, bertanya apa yang berlaku dan cerita semula kisah video rakamannya tu dengan seringkas dan semudah yang boleh. Dia mengulangi setelah aku menyusunkan ayat sehingga tiga-empat kali. Jadi aku kena konsisten. Nampak dia berpuashati bila dapat bercerita. Dia ada imaginasi tapi tapi masih sukar untuk di luah dengan kata-kata.

Aku dah ada rancangan untuk rangsang pertuturannya, mudah-mudahan dapat dilaksanakan tak lama lagi.

~