Kisah ini berlaku pada tarikh ini semasa perjalanan balik ke kampung sempena Hari Raya Aidil Adha. Pada ketika itu aku menyaksikan kenyataan betapa sukarnya anak autisme aku 'berjuang' mengawal diri dalam suasana yang tidak sehala dengan frekuensi fikiran dan emosi.
Seperti lazimnya kami akan berhenti di perhentian R&R Pagoh arah selatan di lebuhraya utara selatan untuk berehat dan makan. Sebab utama kenapa berhenti di R&R Pagoh adalah kerana di situ ada makanan kegemaran anak autisme aku dan aku juga, iaitu nasi lemak dan nasi ambeng. 😁
Sesampai saja di tempat makan, segera mencari tempat duduk yang strategik. Waktu itu orang agak ramai tapi masih ada tempat. Tempat strategik telah dikenalpasti di mana ianya tidak dekat dengan keluarga yang ada anak-anak kecil yang berpotensi merengek atau menangis. Selang 2-3 meja ada satu keluarga dengan anak mereka masih kecil. Mulanya baik-baik saja. Kami beli nasi lemak dan air. Hidangkan untuk anak autisme saya makan. Baru saja mula makan, anak kecil dari keluarga tu menangis sebab berkelahi adik-beradik. Anak autisme saya terus makan sambil menoleh anak kecil tu. Dah 5 minit masih menangis, maknya tak pulak nak memujuk. Aduh. Anak autisme saya dah tak keruan tapi masih terus makan. Sambil tu saya cuba memujuk dan alih perhatian anak autisme saya. Saya perhatikan tangan anak autisme saya menggeletar menahan emosi marah tak tahan asbab anak kecil menangis. Tiba-tiba bam! Anak autisme saya hentak meja. Kami masih mampu untuk cool 😎. Saya pujuk anak autisme saya beredar bila dia selesai makan. Dia tak mahu. Jadi, 'make a deal' kalau tak nak beredar dia kena sabar. Alhamdulillah, dia dapat bersabar namun mata tetap ke arah anak kecil yang masih menangis tu. Maknya tak memujuk langsung. Hampeh betul.
Selesai makan, kami segera beredar dan beli ais krim untuk sejukkan hati. Hahaha. Alhamdulillah, tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Itulah kisahnya. Saya dan isteri tidak dapat fahami perasaan sebenar anak autisme kami hingga menggeletar menahan atau mengawal emosi marah.
Namun, saya ambil ini sebagai satu perkara yang baik. Sebab beri peluang kepada anak autisme saya berhadapan dengan realiti dunia - kena juga hadap perkara yang kita tidak suka. Baik juga untuk kami untuk tahu tahap kesediaan anak autisme saya menghadapi suasana begitu. Harapan saya, anak autisme saya mampu untuk beradaptasi dan mengawal diri dalam menghadapi kehidupan dunia realiti yang penuh cabaran.