Apa yang saya tulis ini adalah dari maklumat yang saya ada dan pengalaman yang telah saya lalui. Untuk makluman, saya (atau lebih tepat anak saya) telah melalui 5 buah PPKI (1 pra-PPKI, 2 PPKI rendah & 2 PPKI menengah). Semua isu/masalah yang ibubapa luahkan di Autisme Malaysia adalah sama seperti yang yang telah saya alami. Dan sistem/kaedah di PPKI tidak jauh beza antara sekolah. Yang membezakannya adalah barisan pengurusan dan pelaksana iaitu pengetua & guru itu sendiri.
Bagi menghadapi isu/masalah di sekolah, bubapa seharusnya mempersiapkan diri dengan maklumat dan ilmu, manakala mempersiapkan anak agar lebih bersedia untuk ke sekolah.
Persiapan Pertama.
Ibubapa perlu mempersiapkan anak supaya bersedia untuk ke sekolah.
- Masalah tingkahlaku/sensori/sosial, bebas lampin, urusdiri, 'social story', kemahiran motor - hanyalah sebahagian dari persiapan yang ibubapa perlu beri perhatian kerana pihak sekolah tidak mengendalikannya.
- Terapi mungkin masih diperlukan walaupun anak sudah ke sekolah.
- 'Social Story' sangat berguna bagi memastikan anak ASD bersedia menghadapi suasana sekolah dan dapat mengurangkan kesan tingkahlaku negatif.
Persiapan Kedua.
Ibubapa perlu mempersiapkan diri dengan info dan pengetahuan tentang sistem persekolahan termasuklah
- Maksud PPKI, pendidikan khas, inklusif, separa inklusif, masalah pembelajaran, RPI (rancangan pendidikan individu), EMK (elaun murid khas), yuran, PIBG dan sebagainya.
- Proses kemasukkan ke PPKI, program inklusif atau perpindahan ke PDK (pemulihan dalam komuniti), vokasional, kolej/universiti dan sebagainya.
- Fungsi dan peranan JPN & PPD.
- Laluan pendidikan serta pilihan-pilihan yang ada.
- Perkembangan terkini dalam sistem pendidikan negara.
Ibubapa juga perlu tahu bagaimana dan di mana bantuan/sokongan boleh diperolehi. Usah duduk diam dan bersendirian.
Persiapan Ketiga.
Ibubapa perlu memahami dan sedar
- apa pun yang dilakukan untuk pendidikan anak adalah mengikut keperluan dan kesesuaian anak, bukan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Sentiasa bersederhana dalam setiap tindakan.
- kebolehan dan kecenderungan anak ASD adalah berbeza-beza, oleh itu jangan membanding-bandingkan.
- kaedah yang digunapakai untuk anak lain tidak semestinya sesuai dengan anak kita.
Jadi apabila ibubapa telah mempersiapkan diri dan anak seperti yang disebutkan di atas maka ianya akan memudahkan tindakan susulan yang ibubapa perlu ambil bila berlaku sesuatu isu/masalah di sekolah. Jadi, berikut adalah langkah-langkah yang boleh ibubapa pertimbangkan:-
Langkah 1 - Data/Rekod.
Data atau rekod diperlukan apabila sesuatu isu/masalah berlaku. Perkara ini selalu dipandang ringan, namun amat penting bila sesuatu isu/masalah itu dibincangkan. Oleh itu saya ingin menyarankan ibubapa membuat catatan sendiri (tarikh, masa, tempat berlaku, keterangan apa yang berlaku, pihak terlibat) bagi tujuan rujukan. Termasuk juga tarikh-tarikh penting seperti pertemuan dengan pihak sekolah, PPD, JPN atau KPM. Tanpa data atau rekod akan menyebabkan aduan tidak diberi perhatian atau akan berpatah balik kepada ibubapa. Selain isu/masalah, pencapaian anak di sekolah juga seharusnya direkodkan untuk rujukan.
Langkah 2 - Saluran Aduan Isu/Masalah.
Adalah sangat penting bagi ibubapa mengetahui saluran-saluran yang ada apabila menghadapi isu/masalah di sekolah. Berikut adalah saluran-saluran yang boleh membantu menyelesaikan isu/masalah anda:
- Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas atau Penyelaras Pendidikan Khas.
- Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
- Pengetua / Guru Besar.
- Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah.
- Pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri.
- Pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Perkhidmatan Pelanggan).
- SUHAKAM.
Walau besar atau berat manapun isu/masalah yang dihadapi, ibubapa disarankan membawa isu/masalah mengikut hiraki saluran disebutkan. Ibubapa dan pelajar adalah pelanggan kepada pihak sekolah, PPD, JPN & KPM. Maka jadilah pelanggan yang bijak.
Langkah 3 - Cakna Pendidikan Khas.
Ibubapa perlu cakna tentang pendidikan khas di mana anak anda bersekolah. Sertai kumpulan pemuafakatan ibubapa dan bergiat aktif. Bina silaturahim dan sokongan antara ibubapa dan juga guru. Suara berkumpulan akan memberi kesan yang lebih baik berbanding suara individu. Beri bantuan dan sokongan kepada pihak sekolah apabila diperlukan. Anak-anak di pendidikan khas memerlukan sokongan dari kedua-dua belah pihak guru dan ibubapa.
Langkah 4 - Hati Yang Cekal Dan Kental
Hakikatnya, insan yang bergelar guru itu ada yang faham/cakna/prihatin dengan MBK dan ada yang sebaliknya. Tiap langkah yang di ambil ada risiko dan implikasi. Tak kisahlah apa pun yang dihadapi, ibubapa harus terus punya hati yang cekal dan kental. Kekal positif dan fokus kepada perkara yang dapat membantu ke arah perkembangan baik anak.
Apa yang nyatakan di atas adalah langkah ideal yang boleh dipertimbangkan oleh ibubapa mengendali isu/masalah anak di sekolah. Namun, ibubapa perlu bijak dan kreatif menggunapakai langkah-langkah yang dinyatakan mengikut keadaan dan kesesuaian.
Semoga dipermudahkan urusan ibubapa sekalian.
./