30 September 2017

Autisme & Akil Baligh

Ahad, 01 Oktober 2017.

Setiap orang akan melalui fasa akil baligh iaitu transisi dari kanak-kanak ke alam remaja/dewasa. Anak istimewa tidak terkecuali, walaupun pada lahiriahnya mereka nampak tidak atau kurang matang. Perkembangan biologi mereka adalah sama seperti orang tipikal/normal. Jadi kita ibu bapa atau penjaga perlu lebih peka dan prihatin kerana anak-anak autisme tidak faham apa itu akil baligh dan bagaimana keadaannya.

Apa yang saya tulis ini adalah pengalaman saya mengendalikan anak saya selama dalam tempoh akil baligh. Anak saya mula menunjukkan perubahan fizikal seperti tumbuh bulu pada ketiak, misai mulai jelas dan bulu pada bahagian kemaluan. Pada waktu itu dia berumur 11 tahun dan belum berkhatan. Pada waktu ini dia menunjukkan tingkahlaku suka bermain-main pada kemaluannya, mungkin kerana gatal dan seronok bila digaru atau dipegang. Jadi, kami sentiasa memastikan dia sentiasa bersih selepas buang air, halang atau tegah dia bila dia pegang bahagian kemaluan dan pastikan dia tidak bersendirian. Sentiasa berada didalam pengawasan yang rapat sehinggalah dia berkhatan pada usia 12 tahun.

Selepas berkhatan, menggaru dan memegang kemaluan sudah hampir tiada. Namun, kami terus lakukan pengawasan seperti yang disebutkan dan juga mengawal apa yang ditonton di TV atau YouTube. Selain itu kami memakaikan dia seluar dalam yang sedikit ketat agar kemaluan dia tidak bergesel.

Kami juga mula mengajar dia tentang malu dan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat terutama dengan perempuan. Kami memeriksa seluar dalam bagi mencari tanda-tanda dia sudah bermimpi. Kami mandikan dia dengan niat bagi pihak. Kami tidak mengamalkan kaedah onani sebagai memenuhi kehendak biologi anak.

Ibu bapa harus jadi sangat peka dengan keadaan anak dan mengawasi tingkahlaku anak dengan rapat. Jangan buka ruang untuk mereka lakukan tingkahlaku yang tidak diingini kerana ditakuti menjadi tabiat.

../

24 September 2017

Hariz Bergunting Rambut Pada Usia 16 Tahun

Ahad, 24 Sept 2017.

Pada hari ini merupakan kali ketiga jika tidak silap saya, Hariz bergunting rambut di kedai gunting yang saya kira mesra anak-anak istimewa. Muda-muda belaka, namun cukup mesra dan sedia melayani keperluan anak autisme saya bila bergunting rambut. Kedai gunting ini saya kira bertaraf salon - cantik, teratur, selesa dan tukang gunting yang professional.

Apa yang saya nak cerita kali ini ialah perkembangan anak saya pada tahap ini bila bergunting rambut. Pada tahap ini dia sudah tahu dan memahami apa itu tampan (handsome) dan kemas. Dan saya kira kedai gunting ini menepati dengan apa yang dia jangkakan berkaitan dengan perapian rambut. Dia boleh menuggu selama lebih 40 minit sebelum tiba giliran dan 20 minit lagi untuk bergunting rambut. Dia memberi kerjasama dengan baik semasa menggunting rambut. Cuma ada beberapa perkara yang perlu dielakkan kerana masalah sensori yang masih ada. Perkara yang perlu dielakkan ialah melilit tisu pada leher dan menggunakan mesin yang berbunyi dan bergegar kuat. Juga tidak menggunakan pisau pencukur untuk mencukur rambut halus atas sebab keselamatan. Sebelum ini proses menggunting perlu disiapkan secepat mungkin dan kurang kemas hasilnya, serta tukang gunting yang tidak tetap.

Ini adalah kedai yang ke lima sejak berpindah di tempat baru dan tidak akan mencari tempat lain lagi (selagi tidak tutup perniagaan). Oh ya, tukang gunting dalam foto di bawah ialah tukang gunting 'peribadi' anak saya di kedai gunting tersebut. Nama kedai gunting - Tacob's Barbershop, Taman Pelangi Semenyih, Semenyih.