08 April 2016

Pengalaman Dalam Sistem Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)

08 Apr 2016.

Bismillah.

Assalammualaikum & salam sejahtera. Program Pendidikan Khas Integrasi atau singkatannya PPKI adalah program yang diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khusus untuk murid berkeperluan khas (MBK). PPKI dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Di sesetengah tempat terdapat Pra-PPKI bagi MBK berumur seawal lima tahun. MBK di PKKI terdiri daripada pelbagai jenis OKU masalah pembelajaran antaranya slow learner, syndrome down, autisme, disleksia, attention deficit disorder (ADD), attention deficit & hyperactivity disorder (ADHD) & global delay development (GDD). Namun tidak semua sekolah ada PPKI atas faktor populasi MBK dan (mungkin) kesediaan dari segi infrastruktur dan sumber tenaga kerja di sekolah tidak mencukupi. Berita baiknya jumlah PPKI semakin bertambah dari masa ke semasa.

Anak saya seorang MBK autisme. Telah melalui sistem PPKI ini dari peringkat Pra-PPKI hinggalah ke peringkat PPKI di sekolah menengah. Sehingga tahun 2015, anak saya telah memasuki empat buah sekolah di sepanjang tempoh tersebut di bawah PPKI. Untuk pengetahuan pembaca, anak saya disahkan autisme pada umur tiga tahun dengan tahap ringan ke teruk (mild to severe). Kesemua ciri-ciri autisme ada padanya. Telah menjalani rawatan terapi carakerja & terapi pertuturan di hospital kerajaan (sebulan sekali) dan pusat terapi swasta (seminggu sekali). Ketika anak saya berumur lima tahun dia masih lagi belum lagi bebas lampin, lemah pengurusan diri, hiperaktif, lemah pertuturan, mudah tantrum, tidak peka dengan persekitaran bahaya, diet yang sangat terhad, mengepak tangan, lemah kemahiran sosial, sangat terikat dengan rutin... Dan pada waktu itu saya sangat bimbang tentang pendidikan dia, sebab sepatutnya dia sudah boleh ke tadika atau pra-sekolah. Dan saya tidak tahu wujudnya Pra-PPKI & tidak ada maklumat tentang PPKI.

Allah telah membuka jalan dengan hadirnya seorang guru dihadapan rumah saya. Beliau tinggal di taman perumahan sama dengan saya dan juga merupakan rakan sejawat dengan guru Pra-PPKI di sebuah sekolah di Kota Tinggi Johor. Guru Pra-PPKI tersebut sedang dalam usaha untuk mendapatkan pelajar bagi kelas Pra-PPKI yang baru ditubuhkan. Beliau pernah berkata kepada saya bahawa kelas tersebut akan ditutup sekiranya tidak mempunyai pelajar. Sangat murni usaha beliau. Dengan usaha beliau dan dengan izin Allah, anak saya berpeluang mendapat tempat belajar di sekolah. Beliau mengajar anak saya dengan sepenuh hati dan ikhlas. Sanggup mengajar anak saya walaupun banyak perkara yang belum selesai untuk anak saya. Sanggup mencuci berak anak saya dan memandikan jika perlu. Tidak hairanlah jika anak saya sangat teruja setiap kali pergi ke sekolah. Apa yang diajarkan kepada anak saya mengikut tahap yang beliau kenalpasti dan sentiasa berkongsi dengan saya mengenainya. Hubungan kami sangat rapat sehingga kami rasa sedih apabila tiba waktu anak saya meninggalkan sekolah tersebut. Saya akan mengingati beliau sampai bila-bila. Semoga beliau diberikan balasan baik atas usahanya oleh Allah swt. Tambahan, pihak pengurusan sekolah amat mengambil berat tentang pendidikan khas sama seperti mengambil berat tentang aliran perdana. Saya sangat kagum dan berasa yakin dengan sistem PPKI pada waktu itu.

Pada umur tujuh tahun, anak saya masuk darjah satu di bawah program PPKI tapi sekolah yang berlainan. Di suku tahun pertama persekolahan segalanya nampak lancar, namun keadaannya jauh berbeza setelah melepasi tempoh suku tahun. Beberapa isu telah timbul dan ianya tidak menguntungkan sesiapa, apatah lagi murid. Antara masalah yang dikenalpasti adalah hubungan tidak baik antara guru dan guru penyelaras kerana ketidaksefahaman tentang kaedah pengajaran dan pengurusan MBK - guru menggunakan pendekatan mesra dan kasih dengan MBK manakala guru penyelaras menggunakan pendekatan arahan dan garang (rotan & denda). Masalah lain - guru penyelaras tidak memupuk hubungan baik dengan ibu bapa; pihak pengurusan sekolah tidak memberi perhatian kepada kelas PPKI seperti mana perhatian kepada kelas dialiran perdana. Tindakan saya memihak kepada guru telah menyebabkan konflik dengan guru penyelaras, dan yang paling menyedihkan anak saya menerima tempiasnya. Isu telah di bawa ke peringkat Pejabat Pendidikan Daerah sebanyak dua kali namun tidak membawa sebarang perubahan. Akibat konflik ini anak saya tidak lagi suka untuk ke sekolah. Perlu dipujuk setiap hari agar dia ke sekolah. Sangat dukacita dan tertekan. Saya tidak ada banyak pilihan pada waktu itu, hanya sekolah itu yang ada berdasarkan kemampuan kewangan, masa dan logistik. Tahap pelajaran yang diajarkan pada anak saya dibawah tahap di sekolah sebelum ini. Boleh saya katakan, anak saya tidak memperolehi apa-apa sepanjang tempoh persekolahan di situ. Dan paling menyedihkan, menjadikan anak saya MBK yang tidak suka ke sekolah. Sangat menyedihkan.

Kemudian, anak saya berpindah sekolah yang ketiga pada umur sebelas tahun kerana saya tukar pekerjaan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Dengan semangat anak yang luntur untuk ke sekolah, sangat sukar untuk saya membina keyakinannya semula. Tampak jelas diwajahnya dan perlakuannya yang tidak menyakini sekolah baru tersebut. Namun, dengan usaha selama tiga bulan (social story) berjaya juga akhirnya memujuk dan menyakinkan dia untuk ke sekolah baru. Saya sendiri agak was-was dengan apa yang bakal ditempuhi. Namun saya tetap positif dengan meletakkan harapan bahawa sesuatu yang baik untuk anak saya. Di sekolah baru ini keadaannya lebih baik dari sekolah sebelum ini. Kehadiran hari pertama di sambut dengan sapaan oleh Pengetua sekolah. Beliau seorang wanita. Beliau dengan mudah dapat mengenalpasti anak saya ialah MBK, walhal tidak pernah berjumpa lagi. Meningkat keyakinan saya bila mengetahui Pengetua sekolah sangat prihatin, di tambah pula dengan PPKI yang diuruskan dengan baik (pandangan kasar). Interaksi dengan guru-guru boleh dikatakan baik. Bagaimanapun, situasi berubah apabila Pengetua bertukar dipertengahan tahun persekolahan. Perhatian oleh Pengetua baru ke atas PPKI tidak seperti sebelum ini. Banyak program-program yang dinyatakan oleh GPK Khas pada awal kemasukkan tidak dilaksanakan. Interaksi dengan guru-guru juga semakin kurang. Di tambah dengan pelajaran yang diajarkan tidak banyak berubah sehingga hujung tahun. Seolah-olah anak saya langsung tidak ada perkembangan baik dalam pelajarannya. Anak tidak ada peperiksaan (ada pun sekadar memenuhi keperluan korikulum sekolah dan tidak ada rekod (rancangan pendidikan individu) yang boleh diguna untuk mengukur prestasi. Lebih bagus dari sekolah sebelum ini tapi belum cukup bagus untuk standard PPKI seperti di atas kertas.

Oleh kerana pembelajaran yang hampir tiada perubahan (bagi anak saya) di sekolah rendah, saya membuat keputusan supaya dia terus ke sekolah menengah pada umur 13 tahun. Kemahuan anak saya untuk bersekolah masih lagi sama seperti di sekolah rendah. Perlu sedikit pujukan dan galakkan untuk memotivasikan dia. Pada peringkat awal kemasukkan, saya dapati GPK Khas, guru-guru dan Pengetua tampak positif dan berdaya maju. Namun, setelah dua tahun berada dalam sistemnya, sekali lagi saya melihat tidak banyak manfaat yang anak saya perolehi. Lemah komunikasi dan interaksi antara guru dan ibu bapa menyebabkan program pembelajaran tidak tidak jelas kepada ibu bapa, dan tidak berkesan. Maka, saya tidak tahu apa pelan pembelajaran sebenar. Apakah sasaran yang ditetapkan bagi anak saya. Apakah ukuran yang digunakan untuk mengukur perkembangan dan pencapaian MBK. Apakah yang saya boleh saya lakukan untuk membantu guru mencapai sasaran tersebut.

Kemudian berpindah ke sekolah yang kelima kerana berpindah rumah. Sekian lama melalui cabaran yang dinyatakan di atas, dengan izin Allah, alhamdulillah anak saya telah mengalami perubahan positif yang amat ketara. Cuma ada sedikit 'rejection' pada dua minggu awal kemasukkan. Selepas itu, anak saya terus mempamerkan perubahan positif dari hari ke hari. Bersemangat untuk ke sekolah. Sentiasa tidur awal. Tidak mengira hari cuti. Tidak mencari alasan untuk ponteng sekolah. Sedia untuk menyiapkan kerja sekolah. Boleh mengikuti pembelajaran yang diatur guru tanpa banyak masalah. Dari pemerhatian, pihak pengurusan sekolah dan para guru sangat-sangat positif dan melayani anak-anak MBK dengan kasih sayang. Sentiasa menjaga dan membina silaturahim serta komunikasi antara guru dan ibu bapa. Dan yang paling mengharukan, murid-murid tipikal tidak memandang sinis akan MBK. Mereka sedar akan kewujudan MBK dikalangan mereka.

Setelah melalui program PPKI di lima buah sekolah, saya berani mengatakan bahawa PPKI itu sangatlah baik sekiranya betul dalam perlaksanaannya. Tidak perlu menyalahkan sesiapa. Namun, semua pihak termasuk ibu bapa, pengurusan sekolah, guru dan jabatan/kementerian pendidikan perlu mengakui ianya sedang berlaku. Setiap pihak perlu perbaiki diri masing-masing demi kepentingan dan pembangunan MBK.

1. Ibu bapa dan pengurusan sekolah perlu pro-aktif dan positif dalam silaturahim antara mereka kerana tugas mendidik bukan terserah kepada guru atau ibu bapa semata. Ianya memerlukan kerjasama.

2. Para guru (termasuk pengurusan atasan sekolah) perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran tentang jenis-jenis MBK dan keperluan-keperluan khusus untuk MBK tertentu. Penting kerana cara mengendali pelajar MBK autisme tidak sama dengan cara mengendali pelajar lembam.

3. Method dan silibus pembelajaran perlu dipertingkatkan dan disesuaikan mengikut jenis dan tahap MBK. Satu method mungkin sesuai untuk MBK lembam tapi mungkin tidak sesuai dengan MBK autisme.

4. RPI adalah sangat penting dalam pemerhatian dan mengukur pencapaian MBK. RPI tidak semestinya meliputi akademik sahaja, boleh juga meliputi tingkalaku, kemahiran menulis, kemahiran membaca dan lain-lain perkara bukan akademik.

5. Integrasi sepatutnya tidak terhad dalam akademik sahaja. Seharusnya termasuk juga integrasi antara murid tipikal dan MBK dalam sebanyak aktiviti yang boleh.

Wallahualam.