Agak lama tak update blog ni dengan cerita baru. Jadi, kali ini saya nak bercerita tentang tabiat pemakanan Hariz sejak dia dilahirkan sehingga hari ini. Ramai ibu bapa yang punya anak autisme risau dan pening memikirkan tentang pemakanan anak autisme mereka. Adakah sesuai, adakah berkhasiat, adakah beri kesan kepada tingkahlaku dan sebagainya. Berdasarkan kepada kajian sendiri melalui pembacaan dan pengalaman sendiri, YA pengambilan makanan boleh mempengaruhi tingkahlaku anak autisme. Tapi saya tak akan menulis tentang makanan dan tingkahlaku. Apa yang saya tulis di sini adalah tabiat pemakanan anak autisme saya dan bagaimana tabiat pemakanannya berubah dari masa ke semasa dengan bantuan.
Anak saya Hariz di diagnose sebagai autisme+adhd ketika berumur tiga tahun. Dia berhenti menyusu ibu kurang dari dua minggu. Bukan kerana sakit atau susu ibu tidak ada. Mungkin kerana kuantiti tidak mencukupi. Dia hanya kenyang dan tidur dengan lena bila susu botol di tambah dengan sedikit beras Nestum. Sejak dari bayi lagi dia tak mahu/gemar makanan bayi, bubur nasi atau apa-apa saja yang orang kata sesuai untuk bayi. Dia membesar dengan susu botol sehingga mencapai umur enam tahun di mana dia mula menjamah nasi putih berlaukan kicap manis sahaja. Setelah di diagnose, saya ada bertanyakan kepada therapist bagaimana tentang pemakanan anak autisme kami yang hanya ambil susu dan hanya beberapa jenis makanan yang dikategorikan kurang sihat. Setelah berbincang dan bertukar pandangan, kami bersetuju untuk dia terus ambil makanan sedia ada tetapi dikawalselia asalkan dia sihat; dan terus memperkenalkan makanan baru kepada anak walaupun dia menolak. Memang betul, di antara kami sekeluarga dialah yang jarang sakit. Begitulah pendekatan saya yang ketika itu tidak ada pengetahuan yang dalam tentang pemakanan yang sesuai untuk anak autisme+adhd.
Menu nasi putih dan kicap manis menjadi menu ketika berumur enam tahun, untuk makan tengahari dan malam setiap hari dan di rumah sendiri sahaja. Kalau di rumah orang MESTI bawa kicap manis dari rumah (dia boleh beza rasa kicap manis dari jenama berbeza...). Setelah masuk umur tujuh tahun menu nasi putih + kicap manis telah dinaiktaraf kepada menu nasi putih + kicap manis + sambal tumis yang ibu dia masak sahaja dan di rumah sendiri sahaja. Setelah mencapai umur 10 tahun menu yang sama dinaiktaraf sekali lagi - nasi putih + sambal tumis ayam kicap (a.k.a kicap pedas) yang ibu dia masak sahaja tapi ayam tak di makan. Dan menu ini masih lagi relevant pada masa sekarang tetapi dia dah boleh makan ayam ketika umur 12 tahun. Percaya atau tidak saya terpaksa membawa bekalan menu tersebut apabila pergi ke majlis saudara mara termasuklah bila berkumpul pada hari raya dan makan mesti DISUAPKAN.
Selain dari nasi putih + kicap pedas, Hariz ada menjamah makanan lain iaitu roti canai di restoran tertentu sahaja. Roti canai ini sebagai pengganti menu nasi (sebab nak pelbagaikan menu) bila dirasakan dia perlu mengubah menu makan hariannya. Menu lain - Mc Chicken Burger McDonald sahaja, yang ini pertama kali dia makan ketika berumur lapan tahun bila guru bawa dia outing ke McDonald. Menu ini digunapakai apabila keluar berjalan.
Island Supreme Pizza di Pizza Hut adalah satu-satunya pizza yang dia boleh makan. Pertama kali menjamah pizza ketika umur sembilan tahun, itu pun setelah banyak kali makan pizza di depan dia. Berevolusi dari mula makan topping (crab filamen), kemudian makan topping (crab filamen) + crust, kemudian makan topping (crab filamen) + sepotong pizza tanpa topping cheese.
Nasi lemak juga antara menu kegemaran (sebab ada sambal). Mula menjamah nasi lemak ketika umur sebelas tahun. Tapi hanya nasi lemak bungkus di sebuah restoran di Taman Melawati dan di Kampung Baru KL sahaja. Tempat lain tak sedap katanya.
Pada hari raya tahun 2012 buat pertama kalinya dia ingin menjamah nasi ketupat + kicap pedas. Dan kini setiap hari raya dia dah boleh makan nasi ketupat tapi masih berlaukan kicap pedasnya.
Begitulah secara ringkasnya kisah bagaimana tabiat pemakanan anak autisme saya berevolusi dengan pendekatan terus memperkenalkan makanan baru walaupun di tolak berkali-kali.
Dan, yang terbaru pada tahun 2014 ini buat kami rasa bersyukur bila dia sudah boleh menyuap sendiri menu yang tersenarai di atas dan bertambah dua menu lagi dalam senarai iaitu nasi goreng cina dan nasi goreng kampung (masih di kedai makan tertentu sahaja). Ada menu yang dia menggunakan tangan dan ada menu yang dia menggunakan sudu/garfu. Membuktikan anak-anak autisme boleh di ajar dan di bentuk seperti anak-anak tipikal yang lain. Hanya tempoh masa dan pendekatan yang membezakan.
sedang makan mc chicken burger mc donald |
sedang makan pizza island supreme |
sedang makan nasi goreng cina |
sedang makan nasi goreng kampung |
sedang makan nasi lemak |