Rabu, 25 Disember 2013.
Ingin saya kongsikan pendekatan yang di ambil supaya anak syurga saya Hariz melakukan sesuatu yang saya ingin dia lakukan tapi dia tak mahu lakukannya. Berdasarkan pemerhatian, dia tak mahu lakukannya kerana ianya bukan rutin atau kebiasaannya. Perkara yang saya ingin dia lakukan ialah solat bersama-sama di mana-mana masjid atau surau sewaktu berjalan-jalan. Rutin solat bagi dia adalah di rumah sahaja. Bukan tak pernah ke masjid sebelum ini, pernah. Tapi saya terpaksa berhenti membawa dia ke masjid atau surau sebelum ini kerana tingkahlaku hiperaktif dan mudah tantrum. Jadi saya ingin ajar dia konsep bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana, bukan hanya di rumah.
Pada hujung minggu lepas saya bawa dia dan keluarga menonton wayang cerita Hobbit - Desolation of Smaug. Dia suka dengan cerita ni dari filem yang pertama iaitu Hobbit - The Unexpected Journey. Sebelum ke pawagam kami perlu singgah untuk solat. Terus saja saya ambil peluang ini untuk suruh dia solat bersama sebelum ke pawagam. Lazimnya, dia akan ikut arahan dan beri kerjasama baik bila dia tahu akan dapat ganjaran. Memang betul. Dia bersolat bersama saya di masjid tanpa masalah. Bersolat seperti mana di rumah.
Itulah hasil gabungan peluang dan teknik ganjaran. Mengetahui waktu dan penggunaan teknik yang sesuai untuk keberkesanan mengubah tingkahlaku atau rutin.
Berjaya dalam langkah pertama untuk mendedahkan dia semula dengan masjid dan surau. Seterusnya memahamkan dia tentang konsep solat boleh dilakukan di mana-mana saja.