29 February 2012

Group Autisme Malaysia di Facebook

Tulisan ini bukan mengenai Hariz, tapi bagaimana keadaan Hariz telah menyumbang kepada tertubuhnya group Autisme Malaysia. Sewaktu Hariz disahkan autisme, aku dan isteri tiada langsung pengetahuan mengenai autisme. Malahan saat itulah pertama kali mendengarnya. Syukur dengan teknologi yang ada membenarkan aku mencari maklumat mengenai autisme. Sangat banyak maklumat bersumber dari barat. Amat-amat kurang maklumat dari dalam negara sendiri. Sangat terhad. Selain itu cari juga buku-buku, pun banyak datang dari barat. Ehmm....

Di internet, mencari maklumat hingga ke Facebook. Cuba mencari page atau group berkaitan autisme di Malaysia, namun tidak dijumpai. Dalam hati, apa kat Malaysia ni tak ramai penghidap autisme?? Tak puas hati sebab bila pergi ke hospital ada ramai anak-anak autisme, dan pergi ke mana-mana boleh dikatakan tiada langsung kesedaran mengenai autisme. Autisme adalah perkataan yang sangat asing. Masyarakat memandang masalah penghidap autisme ini sebagai penyakit mental atau gila. Aishh... tak boleh jadi macam ni.

Pada waktu yang sama, aku merasakan perlu mencari orang-orang terdahulu yang ada anak autisme untuk belajar bagaimana mereka mendidik dan menjaga anak autisme - networking. Dan, perlu lakukan sesuatu untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme. Jadi,aku buat satu group di Facebook dengan nama Autisme Malaysia dengan harapan matlamat kecil aku itu boleh tercapai. Sebagai permulaan, aku hanya menjemput Friends untuk menjadi ahli dan syukur mereka menjadi ahli sebagai menyokong inistiatif aku. Pada ketika entry ini ditulis, ahli Autisme Malaysia telah mencapai angka lebih dari 500. Dan, sekarang mempunyai logo sebagai identiti group.

Hanya ini yang aku termampu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai autisme dan pada masa yang sama menyediakan tempat untuk para individu (khususnya ibu bapa) yang mendidik/menjaga anak-anak autisme berkongsi rasa/pengetahuan/pengalaman/maklumat.

Harapan aku group ini mampu memberi impak kepada pihak berwajib untuk meningkatkan lagi prasaran untuk anak-anak autisme khususnya dan warganegara istimewa (kelainan upaya) yang lain amnya.

Ini adalah identiti baru group Autisme Malaysia di Facebook.

Ini adalah identiti asal group Autisme Malaysia di Facebook.

23 February 2012

Kisah Temujanji Pertama Di PPUM

Khamis, 23 Feb 2012.

Hari ini temujanji pertama dengan doktor sejak bertapak di Kuala Lumpur. Hari ini juga pertama kali Hariz pergi ke temujanji bersama ayah sahaja. Sebelum ini ibunya wajib ikut. Keluar dari rumah sedikit awal hanya kerana takut tidak dapat ruang tempat letak kereta. Setelah melapor diri, keluar ke kafe untuk bersarapan sementara menunggu giliran. Hariz sempatlah habiskan dua bungkus nasi lemak (memang favorite dia ni).

Balik ke pusat pemulihan, disana aku nampak seorang lelaki, seorang wanita berkerusi roda dan seorang wanita lagi sentiasa memegang seorang kanak-kanak. Aku agak diorang ni tak ada hubungan sebab duduk lain-lain. Duduk untuk beberapa ketika tanpa apa-apa aktiviti memang membosankan. Hariz dengan gadgetnya. Aku mula menegur si lelaki tu (penyibuk aku ni), bertanyakan macam-macam. Rupanya, anak dia menghidap disleksia dan ada ADHD. Sambil aku berbual tu sengaja kuatkan sedikit suara supaya dapat di dengar oleh wanita yang berkerusi roda tu. Sebabnya dia macam nak dengar bila aku sebut autisme, hyper, non-verbal dan lain-lain. Betul tekaan aku bila dia mula sertai perbualan.

Kanak-kanak yang sentiasa di pegang dan di kawal pergerakkannya, rupa-rupanya anak kepada wanita berkerusi roda tu. Dia beritahu, anaknya itu dah empat tahun dan belum bercakap, sangat aktif. Bercakap dalam nada risau. Untuk tidak menambah kerisauan yang ada, aku kongsi la sikit pengalaman dengan Hariz dan dia mendengar. Beri sedikit tips yang mungkin dia boleh lakukan. Perbualan terhenti bila doktor panggil Hariz (giliran dah tiba). Dalam hati aku, alahai... cam mana la wanita ni nak menguruskan anak autisnya itu. Namun, kagum dengan apa yang dia dapat lakukan dengan keadaannya yang berkerusi roda. Semoga Allah permudahkan segala urusannya.

Sewaktu balik, Hariz pau aku kek coklat kat Secret Recipe. Beli dan balik dengan hati gembira...

19 February 2012

Hariz di Mesyuarat PIBG

Sabtu, 18 Feb 2012.

Hari ini mesyuarat agong sekolah Hariz berlangsung. Mesyuarat berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga ke 1.00 petang. Lama tu, tapi Hariz berjaya bersama-sama hingga tamat mesyuarat. Masa mengundi calon AJK PIBG, Hariz pun ikut angkat tangan sama hehehe...

16 February 2012

6 Kawan!

Khamis, 16 Feb 2012.

Hari ini Hariz boleh beritahu berapa orang kawan sekelas, apa nama mereka, apa nama kelas dan siapa nama cikgu. Isteri beritahu cerita berikut:

Ibu: "Hariz, apa nama kelas adik?"

Hariz: "Azam"

Ibu: "Siapa cikgu adik?"

Hariz: "Cikgu Nurhuda"

Ibu: "Siapa nama kawan?"

Hariz: "Enam kawan!"

Ibu: "Siapa nama kawan?"

Hariz: "Adib"

Ibu: "Lagi..."

Hariz: "Asila"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Wasim"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Fatuhrahman"

Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Amirul"


Ibu: "Lagi..."


Hariz: "Hanif"


Itulah perkembangan terbaru Hariz sejak di sekolah baru. Sangat membanggakan. Terima kasih cikgu. Syukur kepada Allah.

07 February 2012

Bersiar ke i-City

Sabtu, 28 Jan 2012.

Cuti hujung minggu, aku bawa Hariz dan abangnya Haziq ke i-City di Shah Alam. Untuk pengetahuan pembaca ini adalah kali pertama bersiar bersama Hariz di taman tema. Sebelum ini ada niat untuk bawa dia ke sebuah taman tema tapi dibatalkan kerana keadaan tidak mengizinkan disaat akhir. Di i-City selain dari lampu yang berwarna-warni ada rumah salji, gondola, the pirate ship, sky walker, mary-go-round dan tren untuk kanak-kanak.

Secara keseluruhannya Hariz menyukai i-City tetapi tidak nampak keterujaan terhadap lampu-lampu dan cahaya. Dapat juga libatkan dia bermain dengan beberapa permainan, antaranya rumah salji, skywalker, gondola, the pirate ship, mary-go-round dan tren. Dia sangat suka naik tren. Sampai dua kali naik. Agak mendebarkan ialah semasa bermain the pirate ship dan skywalker sebab kedua-dua permainan ini berkedudukan agak tinggi dari aras tanah. Namun, Hariz telah lulus! Dikongsikan beberapa gambar semasa di i-City: