27 December 2023

Makan Ubat Mengikut Waktunya

28 Disember 2023.

Dalam bab makan ubat, Hariz masih belum menguasai kefahaman arahan lazim seperti '1 biji, 3 kali sehari'. Pada kebiasaanya saya akan arahkan dia untuk makan ubat bila tiba waktunya. Keadaan ini jadi kurang berkesan & praktikal bagi saya kerana perlu sentiasa mengingati anak untuk makan ubat.

Suatu hari, Allah mengilhamkan untuk menulis waktu atau jam pada paket ubat memandangkan anak sudah faham tentang waktu. Alhamdulillah ianya berkesan dan praktikal bagi saya. Mengurangkan kebergantungan pada saya & isteri dalam bab makan ubat mengikut waktunya.

14 July 2022

Betapa Sukar Anak Belajar Mengawal Emosi

Sabtu, 09 Jul 2022.

Kisah ini berlaku pada tarikh ini semasa perjalanan balik ke kampung sempena Hari Raya Aidil Adha. Pada ketika itu aku menyaksikan kenyataan betapa sukarnya anak autisme aku 'berjuang' mengawal diri dalam suasana yang tidak sehala dengan frekuensi fikiran dan emosi. 

Seperti lazimnya kami akan berhenti di perhentian R&R Pagoh arah selatan di lebuhraya utara selatan untuk berehat dan makan. Sebab utama kenapa berhenti di R&R Pagoh adalah kerana di situ ada makanan kegemaran anak autisme aku dan aku juga, iaitu nasi lemak dan nasi ambeng. 😁

Sesampai saja di tempat makan, segera mencari tempat duduk yang strategik. Waktu itu orang agak ramai tapi masih ada tempat. Tempat strategik telah dikenalpasti di mana ianya tidak dekat dengan keluarga yang ada anak-anak kecil yang berpotensi merengek atau menangis. Selang 2-3 meja ada satu keluarga dengan anak mereka masih kecil. Mulanya baik-baik saja. Kami beli nasi lemak dan air. Hidangkan untuk anak autisme saya makan. Baru saja mula makan, anak kecil dari keluarga tu menangis sebab berkelahi adik-beradik. Anak autisme saya terus makan sambil menoleh anak kecil tu. Dah 5 minit masih menangis, maknya tak pulak nak memujuk. Aduh. Anak autisme saya dah tak keruan tapi masih terus makan. Sambil tu saya cuba memujuk dan alih perhatian anak autisme saya. Saya perhatikan tangan anak autisme saya menggeletar menahan emosi marah tak tahan asbab anak kecil menangis. Tiba-tiba bam! Anak autisme saya hentak meja. Kami masih mampu untuk cool 😎. Saya pujuk anak autisme saya beredar bila dia selesai makan. Dia tak mahu. Jadi, 'make a deal' kalau tak nak beredar dia kena sabar. Alhamdulillah, dia dapat bersabar namun mata tetap ke arah anak kecil yang masih menangis tu. Maknya tak memujuk langsung. Hampeh betul. 

Selesai makan, kami segera beredar dan beli ais krim untuk sejukkan hati. Hahaha. Alhamdulillah, tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Itulah kisahnya. Saya dan isteri tidak dapat fahami perasaan sebenar anak autisme kami hingga menggeletar menahan atau mengawal emosi marah.

Namun, saya ambil ini sebagai satu perkara yang baik. Sebab beri peluang kepada anak autisme saya berhadapan dengan realiti dunia - kena juga hadap perkara yang kita tidak suka. Baik juga untuk kami untuk tahu tahap kesediaan anak autisme saya menghadapi suasana begitu. Harapan saya, anak autisme saya mampu untuk beradaptasi dan mengawal diri dalam menghadapi kehidupan dunia realiti yang penuh cabaran.


31 August 2021

Gunting Rambut #COVID Lagi

Setelah menunggu agak lama, dapatlah dia bergunting rambut di kedai yang digemari. Bapak gunting tak best agaknya. 

Sangat bersyukur yang dia sekarang boleh bersabar & menunggu tanpa tarikh/masa tamat menunggu yang spesifik.

Berita dan info terkini dari KKM dan sumber berita - social story yang sangat membantu. 😂

20 June 2021

Tahap-Tahap Ibubapa Kepada Anak Autisme

[ Amaran: Ini hanyalah penulisan peribadi berdasarkan pengalaman sendiri ] 

Bukan anak ASD saja ada  tahap-tahap ni. Ibubapa pun ada tahap-tahap juga sebenarnya. 

Tahap 1: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak tapi menafikan atau sukar untuk menerima. Mencari punca. Emosi sangat sensitif dan kurang stabil. 

Tahap 2: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak tapi tak tahu nak buat apa. Masih mencari punca. Emosi sangat sensitif dan masih kurang stabil. 

Tahap 3: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak dan boleh terima kondisi anak seadanya. Mula fokus & usaha untuk bantu anak. Emosi sensitif berkurangan dan lebih stabil. 

Tahap 4: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak dan boleh terima kondisi anak tanpa ragu (redha). Terus fokus & usaha untuk bantu anak dan mula tingkatkan pengetahuan/kemahiran diri. Emosi lebih stabil. 

Tahap 5: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak dan boleh terima kondisi anak tanpa ragu (redha). Terus fokus & usaha untuk bantu anak, terus tingkatkan pengetahuan/kemahiran diri dan mula membantu orang lain. Emosi sangat stabil. 

Tahap 6: Sedar ada kelainan dalam perkembangan anak dan boleh terima kondisi anak tanpa ragu (redha). Terus fokus & usaha untuk bantu anak, tingkatkan pengetahuan/kemahiran diri dan membantu orang lain. Mula melibatkan diri dengan organisasi untuk membantu komuniti. Emosi sangat stabil. 

Tahap 7: Semua di Tahap 6. Menjadi sebahagian kumpulan penggerak untuk perbaiki perkhidmatan kepada komuniti dengan mengusahakan perubahan dasar dan pelaksanaan di pelbagai peringkat.

10 January 2021

Di Bom Dengan Soalan Demi Soalan

Anak: Kenapa bola loceng hilang ya?
Ayah: TOT (kucing) main, ayah tak nampak.
Anak: Kenapa TOT main hilang?
Ayah: TOT kan suka main bola tu. Ayah tak nampak kat mana.
Anak: Macam mana boleh hilang?
Ayah: Ayah tak tahu macam mana boleh hilang. Ada tersembunyi somewhere, kita tak jumpa.
Anak: Sembunyi kat mana?
Ayah: {dalam hati}... mcm mana nak stop soalan dia ni...? 

Panadol mana Panadol. 

06 January 2021

Hariz, Sensori Dan Kucing

Hariz pada tarikh ini sudah menjangkau umur 20 tahun. Walaupun begitu masih ada masalah sensori (kegelian) terutama dengan haiwan berbulu kucing. Bukan masalah serius tapi boleh menimbulkan masalah bila makan di restoran dan ada kucing yang berkeliaran di bawah meja.

Pada September 2020 yang lalu, isteri buat keputusan untuk bela kucing jenis munchkin. Pada peringkat awal Hariz memang tidak selesa dan jadi 'modal' dia untuk marah-marah. Namun dengan pendedahan berterusan, social story dan galakan, Hariz kini boleh pegang dan tidak lagi mengelak kerana geli atau menjadikan modal untuk marah. Gambar ini di ambil oleh Hariz sendiri baru-baru ini. 


Ketelitian Hariz Dalam Kerja

Seorang yang sangat teliti bila membuat kerja.
Tugas hari ini membantu ayah tampal sticker.

01 January 2021

Hariz Berjumpa Doktor Gigi Baru


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Selamat Tahun Baru 2021 

Hariz berjumpa Doktor Gigi baru 💙

Kenapa doktor baru? Dulu kami duduk di KL, rawatan gigi Hariz dibuat di klinik gigi Taman Melawati. Sekarang kami sudah berpindah di Semenyih, maka kami memilih klinik yang hampir dengan kediaman kami.

Hariz tiada masalah untuk bertukar doktor dan klinik. 

Pertemuan pertama dengan doktor baru pun ok. Doktor yang peramah dan Hariz memberikan kerjasama yang baik sekali. Dari mula hingga selesai doktor tak berhenti bercakap 🙂. Terima kasih Doktor 💙🧩

Kepada yang tinggal berhampiran Semenyih bolehlah bawak anak untuk rawatan gigi di klinik ini.

Sebelum ke klinik:

- talipon dulu untuk tarikh temujanji
- beritahu kondisi anak supaya mudah pihak klinik menyerahkan kes anak kepada doktor tertentu sahaja.

#klinikgigidrsmilesemenyih
#harizasdadhd 
#dudukrumahdiamdiam
#KitaJagaKitaSemua

29 December 2020

Seni Pertahanan Diri Mak/Pak Anak ASD


Ada anak ASD ibubapa perlu ada ilmu seni mempertahankan diri. Silat, judo, karate, silambam, kung-fu ke?? Bukan.... Bukan seni pertahanan diri jenis ini yang saya maksudkan. Yang saya maksudkan ialah seni pertahanan diri bila menghadapi tantrum/tingkahlaku anak yang mencabar di rumah, di tempat awam, di sekolah, di hospital dan lain-lain lagi.

Jurus tahan marah.
Jurus tahan tangan dari memukul anak.
Jurus senyum dengan jelingan sinis & tingkahlaku anak. 
Jurus membaca gerak geri luar jangka anak.

Ada ke tempat nak belajar seni pertahanan diri ni? Tiada. Harus belajar dari pengalaman orang lain dan pengalaman diri sendiri. 

.. /

18 July 2020

Tantrum

Ahad, 19 Jul 2020.

Anak saya tantrum (dulu) berpanjangan, kadang hingga 3 jam lebih baru reda. Ketuk kepala, tampar muka, cakar muka, tumbuk dada, baling barang, rosakkan barang, kencing dalam seluar dengan sengaja, jerit sekuatnya, main air liur, tumbuk pintu/tingkap kaca, sengaja muntah dan pernah pegang pisau.

Kebanyakkan masa tantrum, beberapa 'aksi' yang disebutkan dilakukan anak saya sepanjang tempoh tantrum. Jadi, kalau banyak 'aksi' sekaligus macam mana nak kendalikan?


17 July 2020

AUTISME: PENYAKIT ATAU BUKAN PENYAKIT

Jumaat, 17 Jul 2020.

Sebahagian dari kita tidak bersetuju autisme disebut sebagai penyakit sebab autisme bukan seperti demam, batuk, kanser, diabetes dan sebagainya. Adakah perkataan 'kondisi' atau 'mengalami' lebih lunak bagi menggantikan perkataan penyakit?  Atau ada perkataan lain?

Selain itu apakah tidak patut untuk kita sebut 'rawatan' untuk autisme? Sebab rawatan perlu untuk merawat penyakit tapi autisme bukan penyakit. Atau ada perkataan lain yang sesuai, 'intervensi' contohnya.

Perlukah kita berbahas tentang autisme itu penyakit atau bukan penyakit? Pada pandangan peribadi saya tidak perlu dibahaskan sebab ianya bergantung kepada pemahaman individu. Bagi saya cukup dengan menegur pihak yang mengatakan 'penyakit autisme' dengan maklumat tepat, dan tidak perlu mengecam. Dan kita dipihak yang lebih memahami harus meneruskan pendidikan dan kesedaran tentang autisme kepada komuniti, dan jangan terlalu beremosi dan sensitif bila ada yang sebut 'penyakit autisme'. Mereka tidak tahu atau belum faham.

13 July 2020

Bagaimana Saya Mengendali Tantrum Anak ASD

Isnin, 13 Jul 2020.

Tantrum dan anak ASD tidak dapat dipisahkan. Tahap tantrum anak ASD saya ketika berumur 3 tahun berbeza dengan ketika berumur 17 tahun. Kenapa berbeza? Kerana dia jadi lebih matang, punya komunikasi yang lebih baik, menyedari diri dia mendewasa dan disamping intervensi/didikan yang diberikan seiring dengan meningkatnya umur. Namun, tak kiralah tantrum anak ASD saya ditahap mana pun ianya disebabkan oleh punca atau 'trigger'. Bukan secara tiba-tiba.

Jadi, penting bagi saya mengetahui punca atau trigger supaya mudah untuk diuruskan tantrumnya. Atau boleh dielakkan agar tantrum tidak terjadi.

Bagi mengenalpasti punca
- banyak melakukan pemerhatian ke atas aktiviti, tinglahlaku dan tindakbalas anak;
- lakukan penyiasatan atau post-mortem selepas tantrum terjadi;
- cuba mencipta semula punca bagi mengesahkan dapatan dari pemerhatian dan penyiasatan;

Setelah punca dikenalpasti, saya menyusun strategi jangka pendek dan strategi jangka panjang. 

Strategi jangka pendek - mengendali dan mengawal tantrum apabila ianya berlaku seperti mengalih perhatian, beralih keluar dari lokasi, menyediakan alatan kesukaan anak dan elak perkara atau tingkahlaku berbahaya. Ini bertujuan mengawal tantrum yang terjangka dan tidak terjangka agar tidak menjadi lebih teruk ke atas diri anak atau orang lain disekeliling atau diri saya sendiri. 

Strategi jangka panjang - mencegah tantrum dan kawalan kendiri. Mencegah tantrum termasuklah mengelakkan/menghapuskan punca, social story, senaman, jaga pemakanan, bacaan doa/zikir, solat, ajarkan dosa/pahala dan pendedahan kepada punca tantrum dalam suasana terancang. Ini bertujuan membina kawalan kendiri atau pemerkasaan diri anak ASD terhadap perkara yang menjadi punca tantrum.

Dalam kedua-dua strategi, saya selalunya memulakan dengan kaedah yang praktikal untuk saya laksanakan dan bersesuaian dengan anak. Kemudian barulah dipertingkatkan dengan kaedah tambahan lain yang bersesuaian. Laksanakan kaedah-kaedah tersebut sekerap dan setekal yang boleh. Namun, tidak berlebih-lebihan hingga diluar kemampuan diri. 

Saya ada slogan saya sendiri agar saya kekal fokus, bersemangat dan bersesuaian dengan saya, iaitu 3P - Practical, Persistent & Patience



08 July 2020

Bagaimana saya mengajar anak ASD saya memahami maksud TIDAK / NO.

Rabu, 08 Julai 2020.

Strategi yang saya gunapakai adalah mengikut tahap kemampuan anak saya untuk memahami tentang sesuatu, di mana anak saya memerlukan tempoh masa yang agak panjang, kombinasi kaedah (tone suara, visual (gambar & ekspresi muka)), ketekalan (consistency) dalam kaedah/kekerapan dan sistem denda/ganjaran. Tambahan dia punya masalah daya tumpuan.

Tone Suara
Saya mencari tone suara yang bersesuaian untuk mengatakan NO supaya dia boleh menerima.

Visual Gambar
Saya menggunakan gambar dan simbol. Tandakan apa yang boleh (YES) dan apa yang tidak boleh (NO). Apa yang boleh dan tidak boleh itu berkait dengan apa yang dia pernah lakukan pada keadaan semasa. Bukan sesuatu yang belum pernah dia buat. Ini juga saya jadikan social story untuk melakukan aktiviti diluar rumah (melawat saudara, padang permainan, mall, dalam kereta).

Visual Ekspresi Wajah
Saya menggunakan ekspresi muka sendiri bagi menunjukkan amaran, tegas, marah, sedih, sayang dan sebagainya. Sebab anak tidak pandai untuk membezakan ekspresi dalam gambar dan ekspresi wajah sebenar.

Ketekalan (Consistency)
Saya akan cuba kekalkan kaedah apabila menjumpai tone suara, visual gambar, visual wajah yang sesuai. Bukan saya saja, ahli keluarga lain pun perlu diajarkan perkara sama. Kekerapan bergantung kepada keadaan semasa kerana tidak semua keadaan memerlukan kita berkata NO.

Sistem Denda/Ganjaran
Saya gunakan denda seperti menarik priviledge, barang/makanan kegemaran, isolated area. Gunakan ganjaran seperti makanan/barang kegemaran, bintang (sgt suka bintang), jalan-jalan. Namun, sedayanya cuba untuk beri ganjaran (positif) berbanding denda (negatif).

Selain itu, diri saya sendiri perlu dalam keadaan sedar, bersedia dan tenang termasuk tidak terpengaruh dengan tingkahlaku tantrum anak ASD saya bila perkataan NO/TIDAK disebut. Kadang-kadang terbabas, kawal diri sebaik mungkin.

Kesimpulannya, saya menggunakan gabungan semua di atas bagi mencapai objektif memahamkan anak ASD saya tentang TIDAK / NO. Strategi yg sama untuk objektif yang lain juga. Ubahsuai mengikut keadaan, kesesuaian & peredaran masa.

02 January 2020

Perletakan Jawatan Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik

Khamis, 02 Jan 2020.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Berita perletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan melintas di 'timeline' social media saya sekitar jam 2 petang (02 Jan 2020. Saya tunjuk pada isteri, dia kata "Betul ke?" dengan reaksi terperanjat. Saya kata tunggu ajelah sidang media nanti. Keluar dari bangunan menuju ke tempat seterusnya. Dalam perjalanan berita sidang media akan diadakan jam 4 petang. Dalam perjalanan jam sudah pun menunjukkan 4 petang. Isteri tanya, macam mana nak tengok siaran langsung. Aku jawab cubalah tengok page Awani mesti ada, betul memang ada siaran langsung. Sambil memandu sambil tu dengar sidang media Menteri Pendidikan. Mulanya biasa aje, tapi saya perasan isteri mula mengesat mata... menangis! Saya? Berair mata juga sebab memahami kenapa isteri menangis sedih. Tapi saya kawal la walaupun dalam hati ni ada rasa ralat, sedih & kecewa.

Sebenarnya, anak autisme saya sudah 19 tahun dan sudah tidak bersekolah. Kalau ikutkan tak perlu sedih pun sebabnya walauapa pun perubahan yang bakal berlaku dalam pendidikan, anak saya tak kan nikmatinya. Namun, mengenangkan ramai lagi anak-anak seperti anak saya yang bakal atau sedang melalui sistem pendidikan yang ditambahbaik dibawah pimpinan Dr Maszlee Malik, itu yang menyentuh hati saya dan isteri sebenarnya. Apa yang dilakukan oleh Dr Maszlee Malik adalah sesuatu yang ditunggu setelah sekian lama. Mungkin bagi golongan manusia 'normal' anggap golongan OKU ini hanyalah golongan kecil yang tidak penting, tidak berguna, tidak boleh menyumbang kepada masyarakat/negara dan bermacam alasan lagi. Namun, dengan hadirnya beliau sebagai Menteri Pendidikan telah membawa pendidikan bagi OKU sebagai salah satu agenda utama dalam pembaharuan pendidikan.

Saya tidak tahu apa yang Dr Maszlee Malik hadapi di dalam kabinet, kementerian dan parti. Kurang arif juga tentang isu sebenar disebaliknya sebab terlalu banyak. Namun, saya dapat rasakan beliau menghadapi tekanan yang sangat besar. Dan, saya juga merasakan tindakan perletakan jawatan itu bukanlah kehendak beliau dan sesuatu yang sangat sukar buat beliau.

Kami rakyat dibawah ini mendambakan Menteri seperti beliau, kena terima dalam terpaksa. Sebagai seorang yang beragama, percaya pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku. Hanya perlu terus berdoa dan terus maju kehadapan. Tinggi harapan kami segala pembaharuan yang sudah dilaksanakan dan sedang dalam perancangan atau tindakan akan diteruskan.

Saya menyeru semua rakan sealiran, kita berterusan berdoa agar Tuhan memberikan yang terbaik buat kita, anak-anak kita dan negara kita. Ajarkan juga anak-anak syurga kita berdoa sama kerana doa mereka terus sampai kepada Allah SWT. Owh ya... sama-sama kita pastikan apa yang baik tetap diteruskan oleh pihak kerajaan.

Kepada Dr Maszlee Malik (juga team KPM), saya dan rakan-rakan sealiran di Autisme Malaysia mengucapkan terima kasih atas usaha yang telah dilakukan. Hanya Allah dapat membalasnya.



Sumber foto: Malay Mail

#autismemalaysia
#kpm
#maszleemalik

17 December 2019

Sukarnya Mengawal Emosi

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

2 JAM YANG PANJANG

Hariz remaja ASD + ADHD 18 tahun. Masalah Hariz ni dia tidak boleh mendengar kanak kanak kecil menangis. Dia sentiasa mengelak dari bertembung dengan kanak kanak kecil.

Pagi tadi terjadilah satu insiden yang sangat mendebarkan dan juga meruntun perasaan Bibu.

Biasanya bila menaiki kapalterbang, tempat duduk kami berjauhan dari kanak kanak. Keadaan dapat lah di kawal. Dapat lah Bibu makan dan tidur dengan tenang.

Hari ini memang betul betul menguji emosi Hariz. Ramai keluarga yang beranak kecil menaiki kapalterbang yang sama. Lebih mendebarkan bila satu keluarga duduk di belakang kami. Dari mula masuk hingga lah kapalterbang berlepas kanak kanak kecil itu menangis. Hariz dah mula gelisah. Hati Bibu berdebar. Keadaan Hariz semakin tidak keruan. Kejap kejap Hariz mengetap bibirnya. Dada dah mula berombak. Tangan dah mula menggigil. Sekejap sebentar Hariz menoleh ke belakang. Tangannya Bibu pegang erat sambil menggosok gosok tangannya.

Bibu berusaha mengawal emosinya. Akhirnya.... NO!!!!!! Hariz menjerit. Mujur bunyi enjin kuat. Yang memandang hanyalah penumpang yang duduk berhampiran saja. Pada ketika itu peramugari sedang membantu si ibu menenangkan anaknya. Bila peramugari nampak situasi Hariz, peramugari bertanya Bibu samada Hariz nak makan dulu atau tidak, tapi Hariz tak nak makan. Untuk meredakan keadaan Hariz, Bibu beri dia minum air. Kemudian Bibu suruh Hariz istighfar, baca fatihah, baca ayat kursi dan ayat ayat yang Hariz tahu.

Debaran masih terasa sebab Hariz tidak mahu pakai head set. Puas Bibu pujuk tapi Hariz tetap tak nak pakai. Airmata Hariz mula tumpah. Bibu tak tahu apa perasaan Hariz ketika itu. Hanya ALLAH saja yang tahu kesukaran Hariz berdepan dengan situasi sebegini.

Hampir satu jam keadaan yang mendebarkan ini. Nampak Hariz agak tenang bila dia mula memakai head set. Kanak kanak tu pun dah mula senyap dan tidak menangis. Hati Bibu sedikit lega tapi masih tetap berjaga jaga. Bila Hariz mula senyum, hati Bibu sangat lega.

Tiba tiba Hariz berkata. Pertanyaan Hariz dalam BI. Alih bahasa dalam BM, Hariz berkata sambil menekap dadanya dia berkata "Bibu, apa yang terjadi pada saya?". Nampak rasa bersalah di wajahnya. Bibu beritahu yang dia tidak dapat mengawal emosi dan menjerit. Hariz diam. Sayu hati bila dia bertanya begitu.

Alhamdulillah sewaktu mendarat tiada insiden menangis. Kami membiarkan keluarga itu keluar dulu bagi memberi keselesaan kepada Hariz. Sewaktu jalan keluar menuju ke pintu sempat Hariz meminta maaf kepada peramugari. Senyuman manis diberikan. Mungkin mereka tak tahu keadaan sebenar Hariz, cukuplah mereka menyantuni Hariz sebagai penumpang.

Video di bawah adalah reward untuknya kerana dia berjaya mengawal emosinya walaupun tidak seratus peratus.

Begitulah kisah 2 JAM YANG PANJANG.
Dari Bintulu ke Kuala Lumpur.
Terasa seperti 20 jam 😔

Sekian 💙
.......
Ini adalah nukilan asal Bibu Nora Yusof.

10 November 2019

Kisah Tempered Glass & Jeritan

Ahad, 27 Oktober 2019.


Kisah kali ini mengenai tingkahlaku anak saya apabila aras kebimbangan ('anxiety') mencecah hadnya. Sebenarnya, kejadian ini telah berlaku beberapa kali di tempat awam (pusat beli belah) dan kami tahu puncanya. Dah tau puncanya kenapa masih boleh terjadi? Itulah indahnya dunia bersama anak autisme.

Puncanya ialah kebimbangan anak autisme saya meningkat kehadnya dengan cepat apabila dia berada di dalam persekitaran di tempat awam yang ramai orang dan ada ramai anak-anak kecil (sekitar umur 3 tahun ke bawah). Lebih-lebih lagi bila anak kecil itu merengek atau menangis. Apa yang berlaku bila aras kebimbangan anak autisme saya mencapai hadnya dalam persekitaran yang disebutkan? Dia menjerit sekuat hati. Ya, menjerit sekuat hati.

Lazimnya, anak saya akan menaikkan aras bunyi 'headset' bila berada di dalam pusat beli belah bagi mengelakkan mendengar bunyi anak-anak kecil. Di pusat beli belah yang sudah biasa dilawati dia sudah boleh menjangka dan menyesuaikan diri sedikit. Kejadian kali ini di pusat beli belah yang pertama kali dilawati. Bergandalah dengan cepatnya aras kebimbangannya naik. Seperti kebiasaanya saya akan melakukan perkara-perkara yang di luar rutin dan tanpa 'social story' dalam usaha mengajar anak untuk mengawal diri apabila dalam perkara luar jangkaannya. Tambahan, anak saya perlu melalui sesuatu suasana atau keadaan baru dia mudah faham.

Walaupun dalam suasana dan keadaan yang sangat besar kemungkinan akan meledaknya jeritan, saya membuat keputusan untuk menukar 'tempered glass' telefon bimbit anak saya yang sudah retak di mana memerlukan dia untuk 'off' sebentar dari mendengar muzik. Inilah titik meletusnya ledakan jeritan. Kejadian disaksikan oleh juruteknik kedai dan orang yang berhampiran dengan kedai tersebut. Reaksi mereka? Juruteknik itu terperanjat dan berkata 'Saya takut, saya takut', dan memang saya nampak dia takut dan terperanjat. Orang disekeliling ada yang senyum dan ada yang pelik sambil beredar. Saya dan isteri? Senyum dan tenang, cuba hadapinya dengan rasional. Anak saya? Dia seolah tersedar dari rasukan setelah menjerit, berkali-kali minta maaf kerana menjerit, kemudian dengan tenang menyerahkan telefon bimbit untuk di tukar 'tempered glass' yang rosak. Inilah peluang saya untuk mengajar mengawal diri. Dengan harapan dia mampu mengawal dirinya sendiri dalam apa jua keadaan terutamanya jika kami telah tiada.

./

Pengalaman Makan Sate Pertama Kali

Khamis, 30 Oktober 2019.

Hari ini pengalaman pertama Hariz makan sate. Sate daging tapi tak habis pun sebatang. Jadilah, asalkan dia mahu mencuba.



30 June 2019

Persepsi Istilah Severe, Moderate & Mild

PERSEPSI.

Severe - sukar, susah atau tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Ajar pun tiada guna.

Moderate - sukar, susah tapi masih boleh lakukan sesuatu untuk berkembang baik.

Mild - tidak sukar, tidak susah, boleh belajar mcm budak tipikal & tiada banyak masalah.

Dalam diagnosis yang terkini mengunakan istilah Tahap 3, Tahap 2 & Tahap 1. Kerana apa pun tahap anak ASD, mereka masih memerlukan bantuan dan boleh diajar dengan kaedah2 yang disesuaikan dengan tahap mereka.

09 June 2019

Raya Yang Dulu & Raya Yang Sekarang

Dia sekarang 18 tahun. Berhari raya yang sekarang memang berbeza dengan berhari raya yang dulu.

Dulu tak leh dok diam, sekarang banyak duduk dari berjalan.

Dulu tak boleh menunggu lama, sekarang bolehlah tunggu lebih dari 5 jam. Kalau dia selesa, lagi lama.

Dulu sangat rigid dengan rutin, sekarang sudah kurang rigid.

Dulu makan nasik menu dia saja, sekarang ketupat ayam kicap serunding pun dia belasah.

Dulu tak puasa, sekarang puasa penuh.

Dulu tak pandai solat tarawikh, sekarang dah boleh follow walaupun kat rumah saja.

Dulu tak pandai solat 5 waktu, sekarang sudah boleh walaupun kekadang kena prompt.

Dulu tak tahu apa itu hari raya, sekarang dia faham apa itu hari raya.

Dulu stimming sangat ketara, sekarang masih ada tapi dah kurang namun dia struggle utk mengawal diri.

Dulu ada masa tak nak masuk rumah atuk atau sesetengah rumah sedara, sekarang dah boleh masuk dan duduk lama sikit.

Dulu geledah beg orang cari gadget, sekarang sudah ok sebab ada gadget sendiri.

Dulu umpama 'Sullivan' nampak budak kecik macam dalam cerita Monster Inc, sekarang masih lagi.

Dulu cakap berulang-ulang topik yang sama, sekarang masih lagi.

Dulu kuat tantrum pantang silap sikit atau rutinnya diganggu, sekarang masih ada namun boleh dikawal.

Pesan saya buat ibubapa yang ada anak ASD ni... selain doa kepada yang Esa, yang terpenting adalah
- usaha yang berterusan tanpa membandingkan pencapaian anak dengan anak orang lain;
- fokus dan mula dengan perkara yang dia mampu buat kemudian diperkembangkan;
- diri sendiri mesti sentiasa positif sebab aura positif akan beri kesan yang positif pada anak dan orang keliling;
- hati kena kering kalau nak perbetul anak yang buat perkara yang tidak elok, atau mahu anak berubah, atau nak menghadap orang2 yang tak cakna ASD;

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

Tips Berhari Raya Bersama Anak ASD+ADHD

Anak saya ASD+ADHD. Duduk diam tidak lebih dari 5 saat. Namun, tak menghalang saya untuk ziarah raya jiran dan saudara mara. Bagaimana?

1. Mulakan ziarah jiran dan saudara mara yang mengenali anak ASD saya dan punya hiasan rumah yang ringkas.

2. Anak saya kebanyakkan masa akan merayau meneroka dalaman dan luaran rumah tetamu. Namun, bilik2 tidur memang saya larang dia masuk. Dan saya atau isteri (bergilir) akan pantau 1 to 1 supaya dia tak merosakkan barangan atau boleh mendatangkan kecederaan pada diri dia.

3. Pakaikan pakaian yang bersesuaian dengan anak dan bawa makanan kegemaran supaya dia selesa dan dapat stay lama.

4. Sekiranya anak ASD sudah bagi isyarat sudah tidak selesa dan mahu beredar. Tanpa lengah terus minta izin beredar walapun mungkin tak sampai 10 minit.

5. Social story - terangkan pada anak ASD mengenai perjalanan ziarah. Kaedah ini bila anak saya sudah boleh faham apa yang kami cakap.

6. Reward - beri reward/ganjaran dengan perkara/benda kegemaran bila dia patuh dan behave.

7. Owh... kadang2 anak tak nak turun dari kereta jadi park kereta dekat dengan tuan rumah supaya mudah nak pantau sambil makan2.

8. Hati mesti kering dengan tanggapan orang lain yang hadir di tempat yang sama. Pendedahan begini sangat penting untuk proses pendidikan/pembelajaran sosial anak ASD saya. Penting juga untuk anak tipikal saya.

Ini cara saya. Mungkin sesuai atau tidak sesuai dengan keluarga lain.