17 December 2019

Sukarnya Mengawal Emosi

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

2 JAM YANG PANJANG

Hariz remaja ASD + ADHD 18 tahun. Masalah Hariz ni dia tidak boleh mendengar kanak kanak kecil menangis. Dia sentiasa mengelak dari bertembung dengan kanak kanak kecil.

Pagi tadi terjadilah satu insiden yang sangat mendebarkan dan juga meruntun perasaan Bibu.

Biasanya bila menaiki kapalterbang, tempat duduk kami berjauhan dari kanak kanak. Keadaan dapat lah di kawal. Dapat lah Bibu makan dan tidur dengan tenang.

Hari ini memang betul betul menguji emosi Hariz. Ramai keluarga yang beranak kecil menaiki kapalterbang yang sama. Lebih mendebarkan bila satu keluarga duduk di belakang kami. Dari mula masuk hingga lah kapalterbang berlepas kanak kanak kecil itu menangis. Hariz dah mula gelisah. Hati Bibu berdebar. Keadaan Hariz semakin tidak keruan. Kejap kejap Hariz mengetap bibirnya. Dada dah mula berombak. Tangan dah mula menggigil. Sekejap sebentar Hariz menoleh ke belakang. Tangannya Bibu pegang erat sambil menggosok gosok tangannya.

Bibu berusaha mengawal emosinya. Akhirnya.... NO!!!!!! Hariz menjerit. Mujur bunyi enjin kuat. Yang memandang hanyalah penumpang yang duduk berhampiran saja. Pada ketika itu peramugari sedang membantu si ibu menenangkan anaknya. Bila peramugari nampak situasi Hariz, peramugari bertanya Bibu samada Hariz nak makan dulu atau tidak, tapi Hariz tak nak makan. Untuk meredakan keadaan Hariz, Bibu beri dia minum air. Kemudian Bibu suruh Hariz istighfar, baca fatihah, baca ayat kursi dan ayat ayat yang Hariz tahu.

Debaran masih terasa sebab Hariz tidak mahu pakai head set. Puas Bibu pujuk tapi Hariz tetap tak nak pakai. Airmata Hariz mula tumpah. Bibu tak tahu apa perasaan Hariz ketika itu. Hanya ALLAH saja yang tahu kesukaran Hariz berdepan dengan situasi sebegini.

Hampir satu jam keadaan yang mendebarkan ini. Nampak Hariz agak tenang bila dia mula memakai head set. Kanak kanak tu pun dah mula senyap dan tidak menangis. Hati Bibu sedikit lega tapi masih tetap berjaga jaga. Bila Hariz mula senyum, hati Bibu sangat lega.

Tiba tiba Hariz berkata. Pertanyaan Hariz dalam BI. Alih bahasa dalam BM, Hariz berkata sambil menekap dadanya dia berkata "Bibu, apa yang terjadi pada saya?". Nampak rasa bersalah di wajahnya. Bibu beritahu yang dia tidak dapat mengawal emosi dan menjerit. Hariz diam. Sayu hati bila dia bertanya begitu.

Alhamdulillah sewaktu mendarat tiada insiden menangis. Kami membiarkan keluarga itu keluar dulu bagi memberi keselesaan kepada Hariz. Sewaktu jalan keluar menuju ke pintu sempat Hariz meminta maaf kepada peramugari. Senyuman manis diberikan. Mungkin mereka tak tahu keadaan sebenar Hariz, cukuplah mereka menyantuni Hariz sebagai penumpang.

Video di bawah adalah reward untuknya kerana dia berjaya mengawal emosinya walaupun tidak seratus peratus.

Begitulah kisah 2 JAM YANG PANJANG.
Dari Bintulu ke Kuala Lumpur.
Terasa seperti 20 jam 😔

Sekian 💙
.......
Ini adalah nukilan asal Bibu Nora Yusof.

No comments:

Post a Comment