Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Berita perletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan melintas di 'timeline' social media saya sekitar jam 2 petang (02 Jan 2020. Saya tunjuk pada isteri, dia kata "Betul ke?" dengan reaksi terperanjat. Saya kata tunggu ajelah sidang media nanti. Keluar dari bangunan menuju ke tempat seterusnya. Dalam perjalanan berita sidang media akan diadakan jam 4 petang. Dalam perjalanan jam sudah pun menunjukkan 4 petang. Isteri tanya, macam mana nak tengok siaran langsung. Aku jawab cubalah tengok page Awani mesti ada, betul memang ada siaran langsung. Sambil memandu sambil tu dengar sidang media Menteri Pendidikan. Mulanya biasa aje, tapi saya perasan isteri mula mengesat mata... menangis! Saya? Berair mata juga sebab memahami kenapa isteri menangis sedih. Tapi saya kawal la walaupun dalam hati ni ada rasa ralat, sedih & kecewa.
Sebenarnya, anak autisme saya sudah 19 tahun dan sudah tidak bersekolah. Kalau ikutkan tak perlu sedih pun sebabnya walauapa pun perubahan yang bakal berlaku dalam pendidikan, anak saya tak kan nikmatinya. Namun, mengenangkan ramai lagi anak-anak seperti anak saya yang bakal atau sedang melalui sistem pendidikan yang ditambahbaik dibawah pimpinan Dr Maszlee Malik, itu yang menyentuh hati saya dan isteri sebenarnya. Apa yang dilakukan oleh Dr Maszlee Malik adalah sesuatu yang ditunggu setelah sekian lama. Mungkin bagi golongan manusia 'normal' anggap golongan OKU ini hanyalah golongan kecil yang tidak penting, tidak berguna, tidak boleh menyumbang kepada masyarakat/negara dan bermacam alasan lagi. Namun, dengan hadirnya beliau sebagai Menteri Pendidikan telah membawa pendidikan bagi OKU sebagai salah satu agenda utama dalam pembaharuan pendidikan.
Saya tidak tahu apa yang Dr Maszlee Malik hadapi di dalam kabinet, kementerian dan parti. Kurang arif juga tentang isu sebenar disebaliknya sebab terlalu banyak. Namun, saya dapat rasakan beliau menghadapi tekanan yang sangat besar. Dan, saya juga merasakan tindakan perletakan jawatan itu bukanlah kehendak beliau dan sesuatu yang sangat sukar buat beliau.
Kami rakyat dibawah ini mendambakan Menteri seperti beliau, kena terima dalam terpaksa. Sebagai seorang yang beragama, percaya pasti ada hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku. Hanya perlu terus berdoa dan terus maju kehadapan. Tinggi harapan kami segala pembaharuan yang sudah dilaksanakan dan sedang dalam perancangan atau tindakan akan diteruskan.
Saya menyeru semua rakan sealiran, kita berterusan berdoa agar Tuhan memberikan yang terbaik buat kita, anak-anak kita dan negara kita. Ajarkan juga anak-anak syurga kita berdoa sama kerana doa mereka terus sampai kepada Allah SWT. Owh ya... sama-sama kita pastikan apa yang baik tetap diteruskan oleh pihak kerajaan.
Kepada Dr Maszlee Malik (juga team KPM), saya dan rakan-rakan sealiran di Autisme Malaysia mengucapkan terima kasih atas usaha yang telah dilakukan. Hanya Allah dapat membalasnya.
Sumber foto: Malay Mail
#autismemalaysia
#kpm
#maszleemalik
No comments:
Post a Comment