17 December 2019

Sukarnya Mengawal Emosi

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

2 JAM YANG PANJANG

Hariz remaja ASD + ADHD 18 tahun. Masalah Hariz ni dia tidak boleh mendengar kanak kanak kecil menangis. Dia sentiasa mengelak dari bertembung dengan kanak kanak kecil.

Pagi tadi terjadilah satu insiden yang sangat mendebarkan dan juga meruntun perasaan Bibu.

Biasanya bila menaiki kapalterbang, tempat duduk kami berjauhan dari kanak kanak. Keadaan dapat lah di kawal. Dapat lah Bibu makan dan tidur dengan tenang.

Hari ini memang betul betul menguji emosi Hariz. Ramai keluarga yang beranak kecil menaiki kapalterbang yang sama. Lebih mendebarkan bila satu keluarga duduk di belakang kami. Dari mula masuk hingga lah kapalterbang berlepas kanak kanak kecil itu menangis. Hariz dah mula gelisah. Hati Bibu berdebar. Keadaan Hariz semakin tidak keruan. Kejap kejap Hariz mengetap bibirnya. Dada dah mula berombak. Tangan dah mula menggigil. Sekejap sebentar Hariz menoleh ke belakang. Tangannya Bibu pegang erat sambil menggosok gosok tangannya.

Bibu berusaha mengawal emosinya. Akhirnya.... NO!!!!!! Hariz menjerit. Mujur bunyi enjin kuat. Yang memandang hanyalah penumpang yang duduk berhampiran saja. Pada ketika itu peramugari sedang membantu si ibu menenangkan anaknya. Bila peramugari nampak situasi Hariz, peramugari bertanya Bibu samada Hariz nak makan dulu atau tidak, tapi Hariz tak nak makan. Untuk meredakan keadaan Hariz, Bibu beri dia minum air. Kemudian Bibu suruh Hariz istighfar, baca fatihah, baca ayat kursi dan ayat ayat yang Hariz tahu.

Debaran masih terasa sebab Hariz tidak mahu pakai head set. Puas Bibu pujuk tapi Hariz tetap tak nak pakai. Airmata Hariz mula tumpah. Bibu tak tahu apa perasaan Hariz ketika itu. Hanya ALLAH saja yang tahu kesukaran Hariz berdepan dengan situasi sebegini.

Hampir satu jam keadaan yang mendebarkan ini. Nampak Hariz agak tenang bila dia mula memakai head set. Kanak kanak tu pun dah mula senyap dan tidak menangis. Hati Bibu sedikit lega tapi masih tetap berjaga jaga. Bila Hariz mula senyum, hati Bibu sangat lega.

Tiba tiba Hariz berkata. Pertanyaan Hariz dalam BI. Alih bahasa dalam BM, Hariz berkata sambil menekap dadanya dia berkata "Bibu, apa yang terjadi pada saya?". Nampak rasa bersalah di wajahnya. Bibu beritahu yang dia tidak dapat mengawal emosi dan menjerit. Hariz diam. Sayu hati bila dia bertanya begitu.

Alhamdulillah sewaktu mendarat tiada insiden menangis. Kami membiarkan keluarga itu keluar dulu bagi memberi keselesaan kepada Hariz. Sewaktu jalan keluar menuju ke pintu sempat Hariz meminta maaf kepada peramugari. Senyuman manis diberikan. Mungkin mereka tak tahu keadaan sebenar Hariz, cukuplah mereka menyantuni Hariz sebagai penumpang.

Video di bawah adalah reward untuknya kerana dia berjaya mengawal emosinya walaupun tidak seratus peratus.

Begitulah kisah 2 JAM YANG PANJANG.
Dari Bintulu ke Kuala Lumpur.
Terasa seperti 20 jam 😔

Sekian 💙
.......
Ini adalah nukilan asal Bibu Nora Yusof.

10 November 2019

Kisah Tempered Glass & Jeritan

Ahad, 27 Oktober 2019.


Kisah kali ini mengenai tingkahlaku anak saya apabila aras kebimbangan ('anxiety') mencecah hadnya. Sebenarnya, kejadian ini telah berlaku beberapa kali di tempat awam (pusat beli belah) dan kami tahu puncanya. Dah tau puncanya kenapa masih boleh terjadi? Itulah indahnya dunia bersama anak autisme.

Puncanya ialah kebimbangan anak autisme saya meningkat kehadnya dengan cepat apabila dia berada di dalam persekitaran di tempat awam yang ramai orang dan ada ramai anak-anak kecil (sekitar umur 3 tahun ke bawah). Lebih-lebih lagi bila anak kecil itu merengek atau menangis. Apa yang berlaku bila aras kebimbangan anak autisme saya mencapai hadnya dalam persekitaran yang disebutkan? Dia menjerit sekuat hati. Ya, menjerit sekuat hati.

Lazimnya, anak saya akan menaikkan aras bunyi 'headset' bila berada di dalam pusat beli belah bagi mengelakkan mendengar bunyi anak-anak kecil. Di pusat beli belah yang sudah biasa dilawati dia sudah boleh menjangka dan menyesuaikan diri sedikit. Kejadian kali ini di pusat beli belah yang pertama kali dilawati. Bergandalah dengan cepatnya aras kebimbangannya naik. Seperti kebiasaanya saya akan melakukan perkara-perkara yang di luar rutin dan tanpa 'social story' dalam usaha mengajar anak untuk mengawal diri apabila dalam perkara luar jangkaannya. Tambahan, anak saya perlu melalui sesuatu suasana atau keadaan baru dia mudah faham.

Walaupun dalam suasana dan keadaan yang sangat besar kemungkinan akan meledaknya jeritan, saya membuat keputusan untuk menukar 'tempered glass' telefon bimbit anak saya yang sudah retak di mana memerlukan dia untuk 'off' sebentar dari mendengar muzik. Inilah titik meletusnya ledakan jeritan. Kejadian disaksikan oleh juruteknik kedai dan orang yang berhampiran dengan kedai tersebut. Reaksi mereka? Juruteknik itu terperanjat dan berkata 'Saya takut, saya takut', dan memang saya nampak dia takut dan terperanjat. Orang disekeliling ada yang senyum dan ada yang pelik sambil beredar. Saya dan isteri? Senyum dan tenang, cuba hadapinya dengan rasional. Anak saya? Dia seolah tersedar dari rasukan setelah menjerit, berkali-kali minta maaf kerana menjerit, kemudian dengan tenang menyerahkan telefon bimbit untuk di tukar 'tempered glass' yang rosak. Inilah peluang saya untuk mengajar mengawal diri. Dengan harapan dia mampu mengawal dirinya sendiri dalam apa jua keadaan terutamanya jika kami telah tiada.

./

Pengalaman Makan Sate Pertama Kali

Khamis, 30 Oktober 2019.

Hari ini pengalaman pertama Hariz makan sate. Sate daging tapi tak habis pun sebatang. Jadilah, asalkan dia mahu mencuba.



30 June 2019

Persepsi Istilah Severe, Moderate & Mild

PERSEPSI.

Severe - sukar, susah atau tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Ajar pun tiada guna.

Moderate - sukar, susah tapi masih boleh lakukan sesuatu untuk berkembang baik.

Mild - tidak sukar, tidak susah, boleh belajar mcm budak tipikal & tiada banyak masalah.

Dalam diagnosis yang terkini mengunakan istilah Tahap 3, Tahap 2 & Tahap 1. Kerana apa pun tahap anak ASD, mereka masih memerlukan bantuan dan boleh diajar dengan kaedah2 yang disesuaikan dengan tahap mereka.

09 June 2019

Raya Yang Dulu & Raya Yang Sekarang

Dia sekarang 18 tahun. Berhari raya yang sekarang memang berbeza dengan berhari raya yang dulu.

Dulu tak leh dok diam, sekarang banyak duduk dari berjalan.

Dulu tak boleh menunggu lama, sekarang bolehlah tunggu lebih dari 5 jam. Kalau dia selesa, lagi lama.

Dulu sangat rigid dengan rutin, sekarang sudah kurang rigid.

Dulu makan nasik menu dia saja, sekarang ketupat ayam kicap serunding pun dia belasah.

Dulu tak puasa, sekarang puasa penuh.

Dulu tak pandai solat tarawikh, sekarang dah boleh follow walaupun kat rumah saja.

Dulu tak pandai solat 5 waktu, sekarang sudah boleh walaupun kekadang kena prompt.

Dulu tak tahu apa itu hari raya, sekarang dia faham apa itu hari raya.

Dulu stimming sangat ketara, sekarang masih ada tapi dah kurang namun dia struggle utk mengawal diri.

Dulu ada masa tak nak masuk rumah atuk atau sesetengah rumah sedara, sekarang dah boleh masuk dan duduk lama sikit.

Dulu geledah beg orang cari gadget, sekarang sudah ok sebab ada gadget sendiri.

Dulu umpama 'Sullivan' nampak budak kecik macam dalam cerita Monster Inc, sekarang masih lagi.

Dulu cakap berulang-ulang topik yang sama, sekarang masih lagi.

Dulu kuat tantrum pantang silap sikit atau rutinnya diganggu, sekarang masih ada namun boleh dikawal.

Pesan saya buat ibubapa yang ada anak ASD ni... selain doa kepada yang Esa, yang terpenting adalah
- usaha yang berterusan tanpa membandingkan pencapaian anak dengan anak orang lain;
- fokus dan mula dengan perkara yang dia mampu buat kemudian diperkembangkan;
- diri sendiri mesti sentiasa positif sebab aura positif akan beri kesan yang positif pada anak dan orang keliling;
- hati kena kering kalau nak perbetul anak yang buat perkara yang tidak elok, atau mahu anak berubah, atau nak menghadap orang2 yang tak cakna ASD;

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.