07 February 2012

Bersiar ke i-City

Sabtu, 28 Jan 2012.

Cuti hujung minggu, aku bawa Hariz dan abangnya Haziq ke i-City di Shah Alam. Untuk pengetahuan pembaca ini adalah kali pertama bersiar bersama Hariz di taman tema. Sebelum ini ada niat untuk bawa dia ke sebuah taman tema tapi dibatalkan kerana keadaan tidak mengizinkan disaat akhir. Di i-City selain dari lampu yang berwarna-warni ada rumah salji, gondola, the pirate ship, sky walker, mary-go-round dan tren untuk kanak-kanak.

Secara keseluruhannya Hariz menyukai i-City tetapi tidak nampak keterujaan terhadap lampu-lampu dan cahaya. Dapat juga libatkan dia bermain dengan beberapa permainan, antaranya rumah salji, skywalker, gondola, the pirate ship, mary-go-round dan tren. Dia sangat suka naik tren. Sampai dua kali naik. Agak mendebarkan ialah semasa bermain the pirate ship dan skywalker sebab kedua-dua permainan ini berkedudukan agak tinggi dari aras tanah. Namun, Hariz telah lulus! Dikongsikan beberapa gambar semasa di i-City:












29 January 2012

Hariz Pergi Kuliah Lagi

Ahad, 29 Jan 2012.

Hari ini sekali lagi hadir di UKM ikut aku mendengar kuliah "Behavior Modification" disampaikan oleh Dr. Hasnah Toran. Seperti sebelumnya Hariz dapat 'mengawal diri' dan bermain dengan gajet hingga kuliah tamat, dan sempat juga hasilkan satu karya. Lihat gambar.




Kuliah sesi kali ini ramai yang datang (aku po baru dua kali je join kuliah cam gini). Harap-harap bertambah pesertanya dan mudahlah UKM untuk melakukan sesuatu yang dapat membantu individu autisme, penjaga, ibubapa, guru-guru dan sesiapa saja yang ada kaitan dengan autisme pada masa akan datang. Sekaligus dapat mengubah sistem pendidikan negara yang mesra masyarakat kelainan upaya.

23 January 2012

Situasi Sepontan Dengan Hariz

Isnin, 23 Jan 2012.

Aku nak cerita pasal perbualan aku dengan Hariz pada hari ni, yang aku rasa amat positif. Perbualan dalam jangka masa lima minit begitu. Begini kisahnya, Hariz telah menyusun barang terdiri daripada komputer riba, bantal, permainan kereta, beg CD dan PSP. Di bawah adalah hasil susunan barang-barang tersebut.



Agak-agak anda, apa yang Hariz bayangkan dengan struktur di atas? Jawapan saya akan berikan kepada para pembaca yang menghantar jawapan anda sendiri ke zamri.tembol@gmail.com. Ini sekadar ingin mengetahui siapa di antara kita yang normal boleh mentafsir karya Hariz ini. Dialog di bawah ada klu untuk jawapan :)

Ok berbalik kepada perbualan aku dan Hariz. Berikut dialognya,

Hariz: "Ayah, ni ni Acer Internet Shop Sdn Bhd." {aku pun tak tahu ada ke tidak company ni, mana dia dapat??}

Ayah: "Oo.. ada jual apa?"

Hariz: "PC desktop"

Ayah: "Lagi?"

Hariz: "Acer ipad..."

Alat permainan tu ada tiga buah kereta (jumlah sebenar ada empat, satu dah rosak).

Ayah: "Ada berapa kereta?"

Hariz: "Tiga!"

Ayah: "Mana lagi satu?"

Hariz: "Dah rosak"

Ayah: "Siapa rosakkan?"

Hariz: "Kawan-kawan"

Ayah: "Oo... siapa kawan tu?"

Hariz: "Kawan.." {tak tahu macam mana nak jawap la ni}

Ayah: "Pakai baju apa?" {saja tanyakan soalan ini sebab nak tahu kawan mana satu yang Hariz maksudkan, sebab pada hari sebelumnya memang ada kawan-kawannya bermain dengan permainan tu}

Hariz: "Hijau"

Aku dan isteri tersenyum dan dapat mengagak siapa yang Hariz maksudkan. Permainan yang rosak dan siapa yang rosakkan aku tak kisah, yang penting ialah dia bertambah peka dengan persekitarannya dan mampu untuk berkomunikasi. Adakalanya dia cuba untuk berkata-kata hendak menyampaikan apa yang ada difikirannya, tapi kerap tidak kesampaian sebab tak tahu bagaimana nak menzahirkan kata-kata dengan sempurna. Aku cuba juga membinakan ayat untuk dia jika aku boleh memahami apa yang dia ingin katakan. Kadang berjaya kadang tidak berjaya.

Terus mencuba tidak kira berapa kali percubaan tidak berjaya. Gagal hanya bila kita berhenti untuk mencuba.

22 January 2012

Sesi Minum Petang & Kenal-Mengenal

Ahad, 22 Jan 2011.

Hari ini parents seperjuangan datang bertamu, berbual, bertukar idea sambil minum petang. Sambil dapat melihat anak masing-masing secara dekat, pertemuan sebegini dapat meniup semangat kepada rakan-rakan yang baru mengenal autisme. Pertemuan yang buat parents merasa tiada had sempadan dan tiada perasaan kecil hati atau bimbang akan pandangan sinis dari sesetengah masyarakat (yang masih belum faham).

Cuaca cerah di tengahari dan hujan lebat di sebelah petang. Bagaimana pun tidak mengganggu sesi pertemuan ini. Terima kasih kepada parents yang hadir dengan membawa buah tangan. Harapan aku supaya tradisi ini berterusan sampai bila-bila.

Sebahagian peristiwa dirakamkan sebagai kenangan untuk masa hadapan.

Tiada had sempadan

Empat dunia bersatu :)


Mengatur strategi?
Hujan lebat di sebelah petang, serancak perbualan antara parents :)

18 January 2012

Betapa Pentingnya Persekitaran Yang Kondusif Untuk Pembelajaran

Rabu, 18 Jan 2012.

Salam sejahtera kepada para pembaca. Kali ini aku nak ketengahkan mengenai persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran. Apa yang aku tulis ni berdasarkan pemerhatian ke atas Hariz sejak dia masuk ke sekolah baru.

Banyak perkara positif yang ditunjukkan oleh Hariz sejak masuk ke sekolah baru. Antaranya,
  • Beri jawapan YA atau OK bila aku beritahu dia esok sekolah. Sebelum ini jawapannya ialah 'Alaaa...', 'Esok cuti...', 'Tak sekolah', 'Esok last eh..' dan macam-macam lagi. Paling tidak suka bila sebut perkataan sekolah.
  • Tidak sukar untuk bangunkan dia dari tidur, mandi dan ke sekolah setiap pagi. Sebelum ini, bangun lewat dan kadangkala dia provoke untuk tidak ke sekolah.
  • Pergi awal ke sekolah. Sebelum ini dia adalah murid paling akhir masuk sekolah setiap pagi.
  • Ceria dan bernyanyi-nyanyi bila balik dari sekolah. Sebelum ini tak mahu sebut apa-apa yang di ajar di sekolah.
  • Hantar hingga ke pintu pagar sekolah sahaja dan boleh masuk ke barisan dalam perhimpunan dengan sendiri. Sebelum ini aku dan isteri wajib hantar sampai ke pintu kelas, setiap hari.
  • Habis duit yang dibekalkan untuk beli air milo di sekolah. Sebelum ini jarang-jarang kali dia berpeluang untuk beli di kantin sekolah.
Semua itu adalah dari hasil dari persekitaran yang sangat kondusif untuk Hariz berkembang secara positif. Dari guru, bilik, alat bantu mengajar dan segala disekelilingnya membantu dia untuk berubah positif. Tahniah kepada barisan guru dan pengurusan di bawah selian pengetua yang sangat perihatin.