02 November 2014

Cabaran Memenuhi Hajat Anak Syurga Saya

01 Nov 2014.

Ini kisah Hariz mendapat gajet terbaru yang memang diidamkan sejak ia dilancarkan iaitu Samsung Galaxy S5 dan Samsung Gear 2. Samsung S5 merupakan sebuah telefon bimbit pintar yang mempunyai kuasa pemprosesan yang laju disamping ciri-ciri lain seperti paparan skrin resolusi tinggi, boleh mengambil gambar terus tanpa 'unlock' dan mempunyai aplikasi kesihatan (ukur denyut nadi, kiraan kalori dan senaman dan lain lain). Dan yang utama adalah ianya boleh digunakan bersama Samsung Gear 2 iaitu sebuah jam tangan yang mempunyai pelbagai fungsi apabila bersambung dengan Samsung Galaxy S5.

Jika orang tidak mengenali aku dan keluarga terutama Hariz, mungkin mereka akan mengganggap aku mudah untuk menurut kata anak atau terlalu manjakan anak atau sayangkan anak tapi tidak kena dengan caranya. Apa pun tanggapan orang, aku anggap ianya sebagai input.

Untuk pengetahuan pembaca, Hariz adalah seorang yang obses dengan gajet elektronik. Dia sering mengikuti perkembangan gajet yang digemari melalui internet. Dia akan cari, baca (mengikut aras kemahiran membaca dia) di laman-laman web, akan muat turun gambar atau video berkaitan yang menunjukkan pelbagai model dan gaya. Dia akan bercakap perkara ini kepada semua orang (tapi aku kawal supaya tidak bercakap kepada orang yang tidak mengenali dia) berulang-ulang tanpa berhari-hari tanpa jemu. Dan akhirnya dia minta aku untuk membeli gajet tersebut.

Permintaan ini dizahirkan kira-kira tiga bulan lalu. Namun, dapat melengahkan permintaan tersebut kira-kira sebulan sahaja. Melengahkan dengan harapan dia akan melupakan permintaan tersebut. Namun ianya tidak berlaku. Jadi, aku perlu tunaikan permintaan ini, jika tidak dia akan terus berkelakuan begitu atau mungkin menjadi sukar dikawal tingkahlakunya.

Seperti lazimnya, sebelum menunaikan permintaan dia, dia mesti memenuhi perkara yang aku mahu dia capai dan laksanakan. Ambil kesempatan ini untuk mengubah beberapa rutin dan memperbaiki tingkahlaku.
Antara rutin yang aku nak dia capai dan buat adalah
1. Solat 5 waktu dimana-mana sahaja, kerana dia hanya mahu solat di rumah sahaja.
2. Solat 5 waktu berjemaah, kerana mahu ajar dia bahawa solat boleh bersendirian atau berjemaah.
3. Solat bersama abang, kerana dia hanya mahu solat bersama aku atau isteri sahaja.

Dan, antara tingkahlaku yang mahu diperbaiki ialah
1. Tidak mengambil telefon orang lain atau tidak mengganggu orang lain yang sedang memegang telefon.
2. Menerapkan adab-adab dalam interaksi sosial.

Untuk solat, aku buatkan senarai semak untuk 2 bulan - September dan Oktober. Dia harus tandakan bila dia sudahkan solat. Seperti dalam gambar. Untuk solat berjemaah, aku gunakan gajet yang dimahukan sebagai enforcer.




Untuk tingkahlaku, juga gunakan gajet ini sebagai enforcer untuk dia maintain tingkahlaku baik. Hanya gunakan peringatan secara percakapan sahaja. Tiada penggunaan alatan.

Jadi apakah yang telah dicapai dan terlaksana?

Syukur alhamdulillah, untuk bab solat apa yang disasarkan telah tercapai namun perlu di pantau untuk sebulan atau dua bulan lagi bagi memastikan dia terus dalam rutin itu.

Untuk bab adab,
1. Dia sudah boleh mengawal diri untuk tidak mengambil telefon milik orang lain tanpa kebenaran.
2. Sikap suka mendekati dan bercakap dengan orang yang tidak dikenali berkurangan. Namun masih lagi perlu diperbaiki. Begitu juga dengan adab-adab, ada perubahan positif dan usaha perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

Pendekatan "buat apa saya mahu, saya akan beri apa yang kamu mahu" telah aku praktikan sejak dia berada di pusat terapi lagi. Memang berkesan untuk mengubah tingkahlaku.

1 comment:

  1. bukan mudah mendidik anak-anak autisme. Moga terus diberi kesabaran buat en.zamri dan isteri sekeluarga

    ReplyDelete