Jumaat, 06 Jan 2012.
Salam sejahtera kepada para pembaca. Kali bercerita mengenai permulaan persekolahan Hariz bagi tahun 2012. Tahun ini Hariz bersekolah di sekolah baru. Perubahan adalah sesuatu yang sukar untuk di terima oleh ramai individu autisme kerana bermakna rutin mereka berubah. Aku sangat khuatir akan reaksi Hariz bila di sekolah nanti.
Sebelum cerita mengenai pengalaman barun bersamanya, aku nak cerita pengalaman lepasnya supaya anda semua faham kronologi pengalaman bersama Hariz di sekolah :). Dari mula persekolahan pada umur enam tahun, lazimnya tugas aku mengejutkan dia dari tidur, memandikan, memakaikan baju sekolah dan menghantarnya ke sekolah. Setiap pagi. Waktu tiba di sekolah adalah sekitar jam 7.45-8.00 pagi bergantung kepada 'mood'. Menjadi kewajipan aku dan isteri menghantar dia hingga ke kelas. Dia tak akan mahu ke sekolah kalau salah seorang dari kami tidak ada. Maka dia tidak akan ke sekolah bila aku tidak dapat hantar dia ke sekolah kerana kerja di luar kawasan. Tambahan, kalau abangnya cuti, dia pun ikut cuti juga. Boleh dikatakan setiap hari harus di pujuk untuk ke sekolah. Kecuali ketika awal persekolahan (6 tahun), dia amat teruja untuk ke sekolah kerana suka berada di kelas dan suka akan cikgunya. Sesuatu berlaku ketika dia menjejaki kelas pendidikan khas pada umur tujuh tahun, dan membuatnya tidak suka ke sekolah. Itulah kisah persekolahan Hariz sebelum ini.
Pada tahun 2012 ini sememangnya Hariz menghadapi perubahan yang sangat besar, dan aku sememangnya gementar menunggu reaksinya setiap ketika. Berpindah ke tempat baru, akan bersekolah di sekolah baru, akan berjumpa dengan rakan-rakan baru, cikgu-cikgu baru...serba serbi baru! Hari pertama persekolahan aku masih memainkan peranan mengejutkannya dari tidur dan memandikannya. Sedikit menarik sebab dia bagun seawal jam 6.15 pagi berbanding sebelum ini jam 7.00 pagi. Mandi dan pakai baju sekolah tanpa bantahan. Melihat abangnya tidak memakai uniform sekolah tiada juga bantahan untuk tidak bersekolah (abangnya sekolah sesi petang). Hantar ke sekolah hingga ke kelas tapi terpaksa menunggu untuk beberapa ketika sebelum dapat berjumpa dengan GPK Pkhas. Pun tidak ada bantahan. Setelah berjumpa dengan GPK tersebut, tibalah saatnya untuk meninggalkan Hariz bersama cikgu. Haa... ada bantahan, namun pujukan oleh kami dan ditambah pujukan oleh cikgu, kami dapat tinggalkan dia dalam masa kurang 10 minit. Semasa pulang sekolah dia nampak gembira dan mendapat maklumbalas yang positif.
Hari kedua persekolahan, aktiviti pagi seperti hari semalam tiada bantahan. Tiba di sekolah kami hantar dia hingga ke kelas sebab pembantu belum lagi sampai. Kami tinggalkan dia di kelas bersama cikgu dan tiada bantahan!! Muka tampak ceria semasa pulang sekolah.
Hari ketiga persekolahan, aktiviti pagi seperti hari semalam tiada bantahan. Hari ini kami hantarnya hingga ke pintu pagar sekolah dan di sambut oleh pembantu. Pembantu menghantarnya ke barisan dalam perhimpunan. Amat mengagumkan sebab tiada bantahan. Kami memerhati dari jauh hingga dia beratur keluar dari perhimpunan. Syukur dia dapat mengikut arahan dan kekal dalam posisinya. Hanya Allah yang tahu akan perasaan aku ketika itu.
Kagum dengan pengurusan sekolah khususnya pendidikan khas yang sentiasa ceria dan mesra. Terima kasih cikgu!
No comments:
Post a Comment