Pada hari ini telah berlangsung hari sukan bagi tahap satu di SK Melawati 2. Merupakan kali pertama Hariz bersama-sama menjayakan dengan menyertai acara yang telah diaturkan oleh guru-guru pendidikan khas. Hariz jalani latihan selama dua minggu sebelum acara berlangsung. Jika dilihat acaranya tidaklah sukar, namun bagi mereka yang berkeperluan khas adalah satu cabaran yang besar. Aku tabik kepada semua guru dan pembantu yang sangat berdedikasi dan bersungguh-sungguh melayani kerenah pelajar-pelajar khas. Saksikanlah murid-murid pendidikan khas beraksi.
Hariz bangun seawal jam 5.30 pagi untuk menyertai acara Walk for Autism 2012 untuk pertama kali. Alhamdulillah, tiada masalah bangun pagi. Cumanya ada sedikit protes ala-ala nak merajuk manja hanya kerana tak mahu pakai baju biru berkolar yang memang dibeli khas sempena bulan kesedaran autisme. Siap buka baju dan tunjuk muka sedih sambil meleleh-lelehkan air mata. Seperti biasa aku hanya respon bila dia tanya atau panggil, tak hiraukan 'drama' dia. Masalah selesai bila ibu dia datang dan terus pakaikan baju biru tu. Itulah 'power' nya ibu dia.
Tiba di Citta Mall (tempat acara diadakan) sekitar jam 7.10 pagi. Ramai juga yang sudah sampai. Hariz sedikit terlebih rangsangan sebab ramai orang disekeliling. Namun, terkawal. Acara dimulakan dengan persembahan oleh anak-anak autisme dari NASOM dan artis kesayangan ramai Umar Hasfizal. Kemudian dituruti dengan ucapan sekaligus perasmian dan perlepasan.
Perjalanan sejauh lebihkurang 3.5KM dan Hariz berjaya melakukannya! Berjalan terus tanpa henti dan sangat ceria. Bersama-sama ikut berjalan, abang Haziq, Mikail dan adiknya serta abah/ibu mereka - En. Izan/Pn. Zra.
Pada sebelah petang, Hariz hadir di Angkasapuri untuk bersama-sama bersiaran dalam rancangan "Apa Kata Wanita?". Ramai ahli Autisme Malaysia memenuhi ruang penonton termasuk abang-abang senior iaitu Iddin, Hazim, Hafiz, Umar & Afif. Dan alhamdulillah Hariz sangat berdisiplin pada hari itu. Paling menggembirakan, guru sekolah Hariz turut sama hadir sebagai tanda sokongan.
Tidak pasti berapa ramai yang tahu tentang tarikh 02 April adalah hari Kesedaran Autisme Sedunia. Namun yang nyata ramai masih tidak tahu mengenai tarikh itu dan tentang autisme itu sendiri. Banyak program diaturkan dalam bulan April ini. Antaranya
02 April 2012 - Pelancaran Album Mini Umar Hasfizal (seorang remaja autisme) di Bentley Music.
02 April 2012 - Liputan secara langsung di Makmal Autisma UKM dalam rancangan Malaysia Hari Ini di TV3
04 April 2012 - Liputan secara langsung di NTV7 bersama Pn. Hayati Jaafar dan anak remaja beliau Iddin.
06 April 2012 - Liputan secara rakaman di Makmal Autisma UKM dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3
08 April 2012 - Golf Amal Autisma UKM 2012
15 April 2012 - Walk for Autisme anjuran NASOM.
15 April 2012 - Liputan secara langsung di rancangan Apa Kata Wanita di TV1
21 April 2012 - Bersiaran dirancangan Assalammualaikum di TV Al-Hijrah
{malangnya, tiada video untuk di kongsi}
29 April 2012 - Slot Kesedaran Autisma di Buletin Awani
Namun ada sesuatu yang sangat aku teruja iaitu dikalangan ahli Autisme Malaysia mengambil inisiatif sendiri dengan memakai baju biru atau berlogo Autisme Malaysia sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Itulah antara aktiviti bagi meningkatkan kesedaran mengenai autisme di Malaysia. Semoga berterusan di masa akan datang.
Hari ini kali ke tiga pulang ke rumah di Johor untuk meninjau rumah di sana sambil menjenguk nenek Hariz. Nak balik 1-2 hari pun menjadi cabaran untuk kami sekeluarga. Jadi, seperti mana aktiviti lain biasanya kami akan bagitau Hariz mengenai perjalanan atau tempat yang nak tuju 1 atau 2 hari sebelum. Kami mengharapakan dia dapat terima bila kita sebut nak balik Johor. Ternyata dia masih belum dapat menerima, maka dia menampilkan jurus tantrum tahap pertama dan boleh ke tahap kedua ketiga dan seterusnya jika tak di kawal dengan segera.
Sebagai langkah kawalan, kami mengunakan perkataan 'singgah' bagi menggantikan perkataan 'balik'. Kami terangkan kepada dia maksud 'singgah' dengan menerangkan bahawa kita singgah Johor sebab abang nak ambil hadiah lepas tu balik KL. Nampak dia boleh terima perkataan singgah, namun masih belum terima sepenuhnya. Dia kerap bertanya 'Pergi mana ni?' dengan nada khuatir, sebab dia tak mahu balik Johor. Kami kekalkan jawapan dengan perkataan 'singgah' di tambah dengan enforcement dengan ayat 'Kita balik terus Johor kalau nak mengamuk-ngamuk!' bila nampak dia sengaja tak mahu terima apa yang kita cakap. Alhamdulillah, dia beri kerjasama dan kami balik ke Johor dengan aman dan ceria. Harapnya, perjalanan balik yang seterusnya tiada lagi isu ini.
Hari ini dalam sejarah, buat pertama kali keluarga Autisme Malaysia berkumpul dengan melakukan pelbagai aktiviti yang diaturkan bertempat di resort. Dilaksanakan setelah perancangan selama lebih kurang 2 bulan. Sesuatu yang boleh membanggakan semua orang dimana terciptanya logo baru, t-shirt yang sedondon dengan logo baru, ada acara yang tersusun dan makanan yang sedap cukup untuk semua orang yang hadir.
Acara bermula lewat setengah jam disebabkan menunggu beberapa keluarga kerana ada yang tersesat. Mula dengan bacaan doa oleh adik Umar Hasfizal. Diikuti dengan penyampaian oleh Dr. Hasnah Toran selepas taklimat oleh pengerusi majlis (saya la tu). Sesi pagi diakhiri dengan sesi penyampaian oleh Ustazah Nor 'Aziah sebelum berehat untuk makan tengah hari dan solat zohor.
Setelah kembali dari berehat acara diteruskan dengan indoor games. Meriah tak ingat punya walaupun tak selancar seperti acara-acara biasa :).
Kemudian peluang diberi kepada ibubapa untuk memeriahkan acara dengan 'dipaksa 'ambil bahagian dalam :).
Secara keseluruhan, acara didalam dewan sangat meriah denga telatah anak yang bebas bergerak dengan aksi masing tanpa halangan semasa acara berlangsung.
Kemudian acara disambung dipadang iaitu acara menunggang 'pony'. Sungguh bertuah mereka dapat menunggang 'pony'.
Akhir sekali, acara barbeque sambil anak-anak main air di anak sungai. Air keruh tapi tak ada seorang pun yang geli nak masuk.
Dan... yang paling menarik kali ini ialah mendapat liputan dari kru MHI TV3. Lawat group Autisme Malaysia di Facebook untuk lihat gambar sekitar acara. Enjoy!