21 June 2010

Pertemuan 1: Perjumpaan di De Palma Hotel

Ahad, 13 Jun 2010.

Hari ini kita orang sekeluarga berjumpa dengan sebuah keluarga yang mempunyai anak autisme juga - Keluarga En. Nizam. Perjumpaan singkat tapi amat berkesan. Anak perempuannya, Farah 11 tahun, comel dan petah bercakap. Ciri-cirinya ada banyak persamaan dengan Hariz. Jadi, kami berkongsi pengalaman menghadapi karenah anak-anak ini.

Harap dapat bertemu lagi di lain kali. Berharap juga untuk dapat bertemu dengan keluarga-keluarga yang lain.

02 June 2010

Sesi Peperiksaan Pendidikan Khas 2010

Khamis, 03 Jun 2010.

Minggu ini adalah minggu di mana murid-murid pendidikan khas termasuk Hariz, mengambil ujian peperiksaan. Buat pertama kalinya diadakan sejak pendidikan khas ditubuhkan. Alhamdulillah, perubahan dan penambahbaikkan dapat di lihat walaupun bergerak perlahan.

Hariz memang sepertinya tidak dapat duduk buat sesuatu benda dalam masa yang lama. Dapatlah menjawab beberapa soalan sebelum meminta buat perkara lain. Pendedahan adalah penting sebab kita tidak akan tahu impak atau kesannya selagi tidak dilakukan. PERUBAHAN adalah antara perkara yang tidak disukai kanak-kanak autisme. Maka,

Rancang --> Laksana/Tindakan --> Pantau --> Pembaikan.

Dalam apa perkara pun, semua itu perlu ada. Bertulis atau tidak bertulis. Sedar atau tanpa sedar kita buat semua itu dalam hidup seharian.

27 May 2010

Hariz Tanpa OT Untuk Beberapa Bulan

Khamis, 27 Mei 2010.

Sudah kira-kira 12 minggu tidak menjalani sesi terapi 'sensory integration' sebab dicutikan sementara waktu. Terpaksa, sebab aku kena menjalani kursus pada hampir setiap hujung minggu. Walaupun begitu, aku buat pemerhatian tingkahlakunya setelah sekian lama tidak ke sesi terapi tu. Setakat minggu ke 12 ni, tingkahlaku Hariz masih kekal seperti biasa - aktif tapi terkawal. Cuba bawa shopping dengan tidak masukkan dia dalam troli (sebagai langkah kawalselia semasa shopping) - hasilnya positif!

27 April 2010

Peristiwa Semasa Temujanji Dengan Doktor

Selasa, 27 Apr 2010.

Hari ini Hariz cuti sebab ada temujanji dengan doktor (aku pun cuti sama hehehe). Tiba di klinik pada jam 9.05 pagi, ramainya orang. Hari ini aku lihat ada 3 kanak-kanak autistik selain dari Hariz, yang selebihnya mungkin slow learner (aku agak je). Semua lelaki dan dua daripadanya adalah adik-beradik. Tak dapat aku bayangkan bagaimana menjaga 2 insan autistik pada masa yang sama, sedangkan aku jaga seorang pun dah menggelabah.

Ya Allah, kurniakan ibubapa anak-anak autistik ini dengan rahmat dan kasih Mu, berikan mereka hati yang cekal dan ringankanlah bebanan mereka. Amin.

05 April 2010

Hariz Sakit

Isnin, 05 Apr 2010.

Hari ini Hariz mendapat demam dan berak-berak. Tapi bukan tentang sakitnya yang aku nak cerita. Yang aku nak cerita ialah dia sudah tahu mengadu/memberitahu sakitnya. Hariz berkata "Aduh.. sakitnya kepala" kepada ibu dan gurunya. Sememangnya orang demam akan mengalami sakit kepala dan berak-berak. Bila aku periksa memang sah dia demam.

Tatkala pada sebelah malam, dia minta 'sweater' untuk dipakai dan minta ubat Vicks untuk disapu pada perutnya. Juga, ambil sendiri periuk kecil dan plastik untuk digunakan sekiranya muntah. Tingkahlaku ini adalah peniruan dari apa yang kami lakukan kepada abangnya semasa demam yang lepas-lepas. Alhamdulillah, keadaan bertambah baik menjelang pagi.