23 September 2013

Majlis Aidil Fitri Autisme Malaysia 2013

Sabtu, 14 Sept 2013.

Syukur kepada Allah swt kerana pada tahun ini saya berpeluang lagi bertemu dengan keluarga Autisme Malaysia dalam Majlis Aidil Fitri AM 2013 di tempat yang sama pada tahun lepas iaitu di Masjid Putra, Putrajaya.

Dapat saya bertemu dengan keluarga baru dalam Autisme Malaysia dan beramah mesra dengan mereka. Pada tahun ini tiada persembahan diaturkan kerana penganjur ingin setiap keluarga berpeluang bersembang, berkenalan, bertukar pandangan dan konsgi pengalaman dalam masa yang berkualiti.

Hariz pada tahun ini boleh membawa diri, berkeliaran bersama anak-anak yang lain di dalam dewan tanpa gangguan dan menerima pandangan pelik. Majlis ini sememangnya mahu memberi peluang kepada anak-anak dan ibu bapa bersama-sama merasai suasana berhari-raya tanpa rasa segan atau malu.

Ini adalah antara suasana yang di rakam semasa majlis:-











08 September 2013

Saya Sudah Dapat Kad Pengenalan!

Khamis, 05 Sept 2013.

Hari ini Hariz Zamri sah mendapat kad pengenalan setelah menunggu selama dua minggu. Masa mendaftar buat kad pengenalan dua minggu lepas, aku agak 'suspen' bila nak photoshoot. Dia gemar buat pipi kembung bila bergambar. Cubaan pertama memang dia kembungkan pipi. Cubaan kedua baru dia ok sebab kena warning dengan ibu dia.

Itu cerita masa mendaftar. Cerita masa ambil kad pengenalan, tak ada apa masalah.  Cuma dia terus amik kad pengenalan tu dan masukkan ke dalam wallet.





28 August 2013

Perlindungan Insurans Dan Autisme

Tahukah anda bahawa individu autisme tidak layak untuk membeli atau menerima insurans hayat atau kesihatan?

Bagi saya insurans hayat tidak penting sebab kematian tidak perlukan insurans, yang diperlukan adalah bekalan untuk akhirat. Insurans kesihatan, ya memang diperlukan dan berguna untuk setiap individu tidak kira samada mereka normal atau kurang upaya. Namun, malang buat golongan autisme mereka tidak layak untuk mendapat manfaat insurans kesihatan atas alasan kondisi mereka.

Cuba anda analisa situasi berikut:

Situasi 1:
Anda mempunyai anak yang mengalami autisme, anda sekeluarga terlibat dalam kemalangan dan terpaksa menerima rawatan di hospital. Kos perubatan anda diringankan kerana anda membeli insurans untuk seluruh keluarga, kecuali anak autisme anda kerana dia tidak layak. Anda terpaksa menanggung kos perubatan anak tersebut.

Situasi 2:
Individu autisme mengalami kemalangan yang bukan disebabkan oleh perbuatan sendiri. Dimasukkan ke hospital dan kos ditanggung oleh keluarga mereka.

Situasi 3:
Individu autisme yang mempunyai kerjaya dan berpendapatan tidak layak untuk membeli insurans kesihatan.

Bagi ketiga-tiga situasi, persoalan utama adalah HAK mereka. Apakah wajar mereka dinafikan untuk mendapat manfaat insurans kesihatan hanya disebabkan mereka didiagnosis autisme?

Baru-baru ini akhbar melaporkan salah satu syarikat insurans di negara jiran Singapura telah memulakan perancangan menawarkan insurans kesihatan buat golongan autisme. Saya amat berharap perkara sama akan berlaku di Malaysia.



06 July 2013

Hariz Di Pameran Pusat Sains Negara, 8-9 Jun 2013

08-09 Jun 2013

Autisme Malaysia telah di jemput untuk menyertai pameran di Pusat Sains Negara. Kami telah membawa Hariz bersama dari hari sebelum pameran sehingga hari pameran selesai. Seperti biasa kelengkapan gajet harus cukup sebagai langkah awal bagi mengelakkan tantrum.

Sepanjang hari pameran ramai ibubapa yang hadir bertanya "saya tengok dia diam aje, macam mana you all buat...?". Jadi, terimbaulah kenangan dan pengalaman lalu dikongsikan bersama mereka. Diharapakan apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan untuk anak-anak mereka yang masih kecil lagi.

Salah seorang ahli AM telah sukarela menunjukkan cara melakukan terapi carakerja (occupational therapy) di rumah. Sila lihat video ini.



Ramai yang datang di waktu akhir pameran... sangat meriah booth AM di sana... terima kasih kepada yang hadir.

Berikut gambar-gambar sekitar pameran.


















20 June 2013

Botol Susu

Rabu, 19 Jun 2013.

Botol susu dan bayi atau anak-anak kecil adalah lumrah. Tapi botol dan anak-anak yang sudah berumur dua belas tahun pula sesuatu yang bukan lumrah. Hariz baru saja bercerai botol sepenuhnya lebih kurang tiga minggu yang lalu dari tarikh di atas. Untuk beberapa tahun sebelum itu dia hanya minum susu menggunakan botol pada waktu malam saja ketika hendak tidur. Kami ambil masa yang agak lama untuk buatnya berhenti menyusu botol, seperti tingkahlaku yang lain sebelumnya. Memang lama.


Dalam kenangan botol....