06 January 2013

Hariz Khatan... lagi..!?

Ahad, 16 Dec 2012.

Hari ini Hariz mengalami pendarahan lagi kali kedua setelah berlaku pendarahan 2 hari selepas khatan sebelumnya. Di mana Hariz disyaki mengupis kuping-kuping darah mungkin akibat gatal. Setelah dibawa ke hospital, pendarahan berhenti tatkala tiba giliran doktor memeriksanya, maka doktor tidak melakukan apa-apa serta menasihatkan supaya mengawasi pergerakan Hariz.

Tapi kali ini mungkin akibat dari kain yang melekat pada lukanya lalu ditarik atau tertarik oleh Hariz. Cubaan hentikan pendarahan dari jam 9 pagi hingga ke jam 12.00 tengahari tidak berjaya. Kami membuat keputusan bawa ke klinik berdekatan, dan doktor menasihatkan supaya di bawa ke hospital untuk dijahit luka tersebut untuk menghentikan pendarahan.

Makanya, sekali lagi Hariz masuk ke bilik penbedahan. Berulangkali dia ucap "tak nak oksigen" sebab dia tahu bila kena gas oksigen dia pengsan/tidur. Lebih kurang 10 minit untuk pujuk dia masuk ke bilik pembedahan dengan menyakinkan dia tak kan dioksigenkan. Aku dan isteri masuk sekali ke bilik pembedahan bila Hariz meminta dan doktor berkompromi. Oleh kerana dia tak mahu dioksigenkan, doktor lakukan pemeriksaan dan cuba 'pateri' luka tersebut TANPA BIUS, sambil dipegang empat penjuru bagi mengelakkan meronta. Doktor dan nurse terperanjat bila Hariz boleh menahan, namun cubaan pateri gagal menghentikan pendarahan. Akhirnya, Hariz mesti dipengsankan supaya boleh dijahit lukanya tu. Alhamdulillah, dia mahu untuk dicucuk jarum untuk memasang alat untuk memasukan ubat ditangannya. Itu pun setelah aku kata kena pasang untuk masukkan ubat supaya darah berhenti. Sekali lagi dia memberi kejutan pada doktor dan nurse sebab 3 kali masuk ubat tidur masih boleh celik. Doktor meneruskan tugasnya pada Hariz yang dalam keadaan lalok (khayal). Kesian Hariz.

Syukur segalanya dapat diselesaikan dalam masa kurang sejam. Hariz tidur semalaman di wad tanpa masalah. Pendarahan nampaknya tidak berlaku lagi dan Hariz sudah boleh mandi tanpa ragu-ragu. Hariz telah pulih sepenuhnya selepas seminggu. Alhamdulillah.

Saya ingin berpesan-pesan kepada ibubapa yang punya anak istimewa autisme lelaki, seelok-eloknya mereka dikhatankan seawal usia yang boleh. Kerana lebih mudah untuk diuruskan semasa mereka kecil lagi.

07 December 2012

Hariz Khatan!

Khamis, 06 Dec 2012.

Hari ini hari bersejarah bagi Hariz dan aku, ayahnya. Hari ini tiba giliran Hariz berkhatan pada umur 11 tahun. Dia berkhatan di Al-Islam Specialist Hospital di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ianya fasa yang mendebarkan dari saat membangkitkan dia dari tidur sehinggalah dia sedar dari tidur selepas berkhatan. Tiada pilihan lain selain dari melakukan bius penuh memandangkan dia memang kurang 'tolerate' dengan suasana dan peralatan perubatan.

Memang mendebarkan saat sampai di hospital, bimbang dia akan buat hal. Berjalan lancar dari daftar masuk hingga ke bilik. Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki yang membolehkan aku bayar bilik untuk seorang supaya dapat mengawal keadaan dan tidak mengganggu orang lain.

Menunggu di ruang pendaftaran

Periksa tekanan darah

Tanda nama

Saat untuk menukarkan baju, terpaksa aku memberi alasan atau 'bohong sunat' (walaupun mana ada bohong sunat). 

Menuggu giliran


Saat tiba panggilan menandakan tiba giliran, dia mula tunjukkan muka 'sangsi' dan tak mahu beri kerjasama. Bergerak juga setelah dipujuk kakak-kakak misi. Tiba diruang bilik bedah, lebih mendebarkan. Budak sedang meraung setelah sedar dari tidur, dan Hariz berdiri pejam-pejam mata di balik pintu. Namun dia tidak tunjuk untuk beredar dari ruang bilik bedah. Dia ada sedikit keyakinan bila aku juga sarung jubah macam dia. Melangkah masuk ke bilik bedah, terus dia rasakan ada sesuatu yang akan berlaku. Dia tak mahu berganjak dan mula nak protes. Setelah lima minit memujuk, doktor dan pasukannya sepakat untuk pegang beramai-ramai untuk dibius. Walaupun, kurang bersetuju namun aku percaya itu adalah langkah yang terbaik.

Setelah selesai.
Setelah dia sedar dari tidur dan sedar apa yang berlaku, dia luahkan rasa marah sebab anu nya dah di potong. Menangis dan menjerit. Menangis dan menjerit semakin menjadi-jadi bila dipujuk. Jadi, kami guna pendekatan tolak-tarik. Sehingga jam lebih kurang 1.30 petang dia sudah reda dan boleh terima apa yang dah berlaku pada dia.

Maafkan ayah Hariz. Segalanya demi menjalankan tanggungjawab ayah demi memenuhi hak kamu sebagai seorang Muslim.

23 November 2012

Pewarisan Harta / Wasiat

Sabtu, 24 Nov 2012.

Persoalan.... Apa akan terjadi kepada anak istimewa bila ibubapa tiada lagi? Bolehkah waris menjaganya? Apakah harta yang ditinggalkan akan sampai dan bermanfaat kepada anak istimewa? Bagaimana mahu pastikan harta boleh diuruskan dengan baik oleh waris? Bermacam lagi persoalan...

Kita hanya boleh merancang, Tuhan menentukan... namun bukan alasan untuk tidak merancang... tiada perancangan adalah perancangan untuk gagal...

Perlu ada perancangan untuk anak semasa kita hidup dan selepas kita meninggal dunia. Saya percaya ramai yang ada perancangan untuk anak semasa hidup kita. Tapi sudahkah kita ada perancangan untuk anak selepas kematian kita? Sekurang-kurangnya cukup untuk anak-anak berdikari setelah ketiadaan ibubapa.

Baru-baru ini telah hadir ke sebuah seminar kecil berkenaan dengan pewarisan harta atau wasiat. Sungguh bernilai ilmu yang diperolehi. Antara yang diterangkan:

- Apakah itu wasiat?
- Apakah perbezaan/kaitan wasiat dan faraid?
- Apakah yang dimaksudkan waris?
- Apakah implikasi jika wasiat tidak di tulis.
- Bagaimana wasiat dilaksanakan? Dan apakah peranan pentadbir harta, penjaga diri anak, penjaga harta dan perlukah ada pelindung (protector)?

Laporan akhbar mengatakan RM40bilion harta dibekukan kerana masalah wasiat. Itu tidak termasuk lagi masalah pentadbiran dan pengagihan harta pusaka, yang kadangkala mencetuskan perbalahan. Jadi sangat digalakkan untuk merujuk kepada organisasi yang menguruskan wasiat seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin; dan merujuk kepada para ilmuwan agama tentang hukum-hukum berkaitan harta pusaka dan wasiat.

Slide presentation boleh diperolehi di sini.


03 November 2012

Hariz Outing Ke Kuala Gandah Bersama Kawan-Kawan

Selasa, 30 Oct 2012.

Hari ini pertama kali Hariz sertai aktiviti lawatan bersama kawan-kawan. Saya mengikuti rombongan ini tanpa pengetahuan Hariz. Sekadar nak tahu macam mana tingkahlaku dia di luar bersama kawan-kawan. Alhamdulillah, rasanya dia sudah boleh mengikuti program luar tanpa banyak masalah.






Hariz Guna Vending Machine

Jumaat, 02 Nov 2012.

Dah lebih sebulan tak update blog ni. Banyak cerita yang hendak diceritakan tapi punya ruang masa yang terhad. Jadi, hari ni cuba kongsi salah satu cerita mengenai Hariz.

Hari ini kami bawa Hariz ke sebuah pasaraya di Setapak Kuala Lumpur untuk cari baju untuk dia buat persembahan pada hari esoknya, Sabtu. Tapi malangnya apa yang dicari tak ditemui... tapi singgah kedai kasut dan beli kasut untuk Hariz dan abangnya Haziq.

Pusing-pusing, Hariz nampak mesin vending air tin. Dia kata nak air soya. Dia keluarkan duit RM1 (yang baru) dari wallet dia dan masukkan ke slot duit. Malang, duit baru tak diterima. Jadi ibu dia keluarkan duit RM1 yang lama. Hariz masukkan duit ke slot duit dan tekan nombor air yang dia nak beli. Malang lagi, duit mesin tu amik tapi air tin yang dibeli tak keluar... hampeh betul mesin nih...