29 March 2011

Hariz Pilih Game Untuk PSP

Isnin, 28 Mac 2011.

Lebih kurang jam 8.00 malam kami bergegas ke Pasaraya Smart untuk berbelanja keperluan dapur. Hariz lazimnya akan tinggalkan permainan PSPnya bila di minta berbuat demikian. Tapi hari ini dia berkeras untuk bawa juga. Untuk tidak merosakkan suasana dan rancangan, kami beralah.

Setibanya di sana, sekali lagi kami minta dia tinggalkan permainan PSPnya di kereta. Bukan apa, takut-takut tertinggal. Bukannya murah. Sekali lagi berkeras nak bawa juga dan kami beralah. Bila tiba di persimpangan lorong yang arah ke kedai game, dia menunjukkan arah tersebut seraya berkata, "Ni... copy game eh. Midnight club...". Waduh... siap tahu game apa yang dia nak masukkan dalam PSPnya. Tapi kami tak terus ke kedai tu, sebaliknya nego dengan dia, akan pergi ke kedai tu selepas habis berbelanja. Alhamdulillah, persetujuan dua hala di terima :).

Selesai berbelanja terus ke kedai game tu dan cari game dia mahu. Nasib baiklah ada, kalau tak jenuh nak menjawab. Sambil menuggu game habis dimasukkan ke PSP, dia membelek-belek katalog game....macam dah biasa gayanya. Sayang, tak dapat nak snap gambar.

Jadi, terfikir dari mana dia belajar. Rupanya, dia nampak abangnya memasukkan game semasa di Giant Hypermarket beberapa hari sebelumnya. Yang menarik bagi aku ialah
  • dia tahu ada kedai game di Pasaraya Smart dan bawa set PSPnya untuk masukkan game yang diinginkan.
  • tahu secara tepat judul game yang diinginkan
  • sabar menunggu sementara game dimasukkan dalam suasana yang agak sibuk dan kelam kabut di kedai tu
 Ermm... lepas ni nak game apa pulaklah agaknya.

25 March 2011

Karya Seni Dengan MS-PowerPoint

Jumaat, 25 Mac 2011.

Hari ini aku baru balik setelah berada lima malam di Petaling Jaya. Tapi bukan itu yang aku nak cerita. Biasanya, aku akan perhatikan perubahan yang berlaku sepanjang ketiadaan aku. Kekadang tak perasan ada perubahan bila dah hari-hari di depan mata.

Jadi, bila aku sampai di rumah, Hariz dengan tidak sabar menunjukkan hasil kerja komputernya. Hasil kerjanya seperti di gambar:














Sebelum ini Hariz akan memasukkan imej atau gambar yang di ambil dari laman web. Tapi kali ini hanya logo TV3 yang di ambil dari laman web dan yang lain-lain tu dia lukis menggunakan tools yang ada dalam PowerPoint. Setiap objek itu adalah berasingan di susun satu persatu. Seni ini berinspirasikan montaj TV3 yang terkini. Menurut isteri aku, seni ini disiapkan dalam masa sehari.

20 March 2011

GPS Dan Hariz

Ahad, 20 Mac 2011.

Semalam Hariz nampak GPS navigator yang aku pinjam dari kawan. Dia memang pernah nampak aku guna alat tu sebelum ini, jadi memang dia tahu kegunaan alat tu. Jadi, semalam dan pagi tadi kita orang dari rumah menuju ke Ulu Tiram - Tesco Desa Tebrau - Sungai Tiram dan balik rumah dengan GPS terpasang kat cermin depan kereta. Orang mesti pelik sebab nombor plat kereta J tapi gantung GPS. Errmm layankan aje la.

18 March 2011

Perubahan Sekitaran Dan Hariz ("Waahhh! Cantiknya rumah...")

Ahad, 06 Mac 2011.

Pada hari ini kami mengemas rumah bahagian ruang tamu dengan menyusun-atur semula kedudukan perabot yang tak seberapa tu. Tujuannya, untuk memberi lebih ruang untuk aktiviti khas untuk Hariz, yang lebih ceria dan kondusif.

Pada awalnya Hariz tak sedar yang kami hendak mengubah kedudukan perabot, dan kami tak beritahunya pun. Bila sudah hampir siap mengemas, barulah dia sedar yang kedudukan dah berubah. Apakah reaksinya? Ehmm... menangis, meraung dan merayu mintak diubah semula seperti asal, tapi tak mengamuk. Jadi, apa kami buat? Kami hanya menerangkannya kenapa ubah dengan ekspresi setenang yang boleh, dan berwaspada jika dia hendak melakukan sesuatu yang luarbiasa. Hariz terus menangis dan merayu sehinggalah kami bawa dia keluar pergi ke rumah nenek-atuk. Di rumah nenek-atuknya pun masih lagi ada sisa-sisa sedih, walaupun dah sudah main air seperti selalunya. Apabila pulang, buka pintu dan dia kata "Waahhh! Cantiknya rumah...", "Cantik...ibu kan". Pada ketika itu tamatlah ketidakselesaan dia dengan perubahan yang telah di buat.

Itulah salah satu reaksi anak autisme terhadap perubahan persekitaran. Perubahan adalah seperti 'penderaan' bagi mereka, tapi perubahan itu perlu dan mereka harus belajar menerima perubahan. Persediaan awal dan perancangan bila hendak melakukan perubahan amat membantu dan amat penting. Seperti kata orang-orang yang berjaya - Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal.

15 March 2011

Hariz Gunting Rambut Di Kedai!!

Selasa, 15 Mac 2011.

Hari gembira lagi bagi aku. Hariz buat pertama kali gunting rambut di kedai setelah lebih empat tahun tidak mahu menjengah ke kedai gunting rambut. Masa mula-mula dulu terpaksa pegang dia kuat-kuat supaya tukang gunting dapat jalankan tugasnya. Perlu kuat dan pantas! Masa itu Hariz belum lagi jalani terapi SI. Amat tidak suka di pegang terutama di bahagin tengkuk/kepala. Berikutan dari cara paksaan, dia menjadi fobia dengan kedai gunting. Jadi selepas itu aku beli mesin sendiri, gunting kat rumah aje. Mula nak buat pun kena paksa juga, lama-lama dia OK.

So, lepas gunting rambut selesai dia mintak Chocotop McD. Reward! Nantikan sesi gunting rambut yang akan datang, apakah perkara sama akan berlaku.

14 March 2011

Bukan Tentang Kemenangan, Ianya Tentang Matlamat Yang Di Capai

Isnin, 14 Mac 2011.

Hari ini merupkan hari yang menggembirakan dan kami bersyukur kepada Allah atas keizinanNya kerana terungkainya masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu di kelas Hariz. Allah telah mendatangkan insan-insan yang dapat membantu dalam menangani kemelut yang dihadapi. Kami berdoa agar kesefahaman yang telah di capai akan berkekalan sampai bila-bila dan hari ini menjadi permulaan episod baru yang lebih bermakna demi kebaikkan semua pihak terutamanya anak-anak istimewa. Bagi kami, ia bukanlah kemenangan untuk kami tetapi ianya adalah tentang matlamat yang telah di capai.

Yang menariknya ialah Hariz turut serta di dalam pertemuan kali ini dan beliau amat berdisiplin serta menurut kata bila kita menegur tatkala beliau mula membuat bising (mainkan lagu/video di telefon bimbit). Boleh kekal duduk setempat sepanjang sesi selama lebih kurang satu setengah jam.

08 March 2011

Pengalaman Dengan Speech Therapist Swasta

Selasa, 08 Mar 2011.

Hari ini jam 11.00 pagi, Hariz bersama aku dan isteri pergi ke sebuah pusat 'speech therapy' swasta untuk sesi penilaian (assessment). Hariz menunjukkan tingkahlaku yang baik dan suka berada di tempat itu. Mungkin susun atur dan warna di situ memberikan impak positif terhadap emosi. Masuk saja Hariz terus hendak masuk ke bilik, nasib baik boleh pujuk dan dia terus menuju ke 'meja menunggu' yang ada sebakul lego, satu replika kecil Mc Flurry dan dua ekor patung kuda. Dia bermain dengan semua itu sementara aku mengisi borang, nampak riang bila therapist menyampuk dalam permainan itu.

Bila masuk di dalam bilik, ayat pertama yang dia kata "Wahhhh cantiknyaaa..!". Ada beberapa mainan tersusun di dalam rak terbuka dan Hariz terus mencapai sebuah bas dengan beberapa barang lain lalu menyusun atas lantai. Dia nak ambil sebuah replika rumah tapi letak semula bila therapist arahkan letakkannya semula. So far so good.

Dalam sesi penilaian, Hariz ditunjukkan dengan gambar-gambar dan soalan-soalan diajukan dalam bahasa inggeris (aku jadi translator bila ada soalan yang Hariz tidak faham). Agak mengkagumkan bila dia boleh menunjuk dengan jari pada gambar bila soalan diajukan. Kadangkala dia berkelakuan seperti menjawab soalan kuiz, siap dengan bunyi buzzer. Bagaimana pun, dia tidak dapat menjawab bila ada soalan-soalan yang memerlukan penyelesaian atau logik, seperti "Ice cream is cold, fire is ....?".

Alhamdulillah, dari sesi itu aku dapat kenal pasti di mana harus ditekankan dalam sesi seterusnya nanti. Dan, sedikit sebanyak dapat belajar teknik untuk mengajar Hariz di rumah nanti.