23 October 2016

Kemahiran Menyikat Rambut

Ahad, 23 Okt 2016.



Ini sikat rambut. Alat untuk menyisir rambut. Setiap orang mahir menggunakannya sejak kanak-kanak lagi. Namun tidak bagi anak autisme saya.

Anak autisme saya hanya menguasai kemahiran ini pada umur 15 tahun. Itu pun setelah dia menunjukkan minat untuk menggunakan sikat walaupun pada ketika itu rambut dia tidak boleh di sikat sebab potongan yang pendek tegak.
Jadi saya membuat keputusan untuk memanjangkan rambut anak autisme saya supaya boleh di sikat.
Pada peringkat awal saya atau isteri yang akan menyapu krim rambut dan menyikatkannya.
Setelah beberapa minggu kami lakukannya dihadapan cermin.
Beberapa minggu selepas itu saya minta anak untuk memegang sikat dan saya pegang tangan dia kemudian lakukan langkah menyikat di hadapan cermin.
Alhamdulillah, dia mampu lakukannya sendiri setelah beberapa minggu mempraktikkannya.

14 October 2016

Entri ini luahan isi hati ibu Hariz

Jumaat, 14 Oct 2016.

Entri ini luahan isi hati ibu Hariz.


Sekadar memenuhi undangan esok.
Hariz bukan penerima anugerah cemerlang PPKI. 
Apa yang hendak kami kongsikan di sini ialah tentang RPI yang kami lakukan untuk Hariz sepanjang tahun 2016 telah mencapai matlamat yang kami harapkan. Antaranya ialah:
- Suka ke sekolah
- Menyiapkan kerja sekolah tanpa di suruh
- Tidak minta ponteng sekolah
- Tidak lagi mengira roti mengikut hari ke sekolah ( 1 roti 1 hari sekolah )
- Sudah boleh menerima makanan yang lain sewaktu keluar bersama keluarga. Apapun masakan bibu ( ayam kicap pedas ) tetap di hati
- Bual bicara bertambah baik dan lancar
Banyak lagi pencapaian yang sudah Hariz capai. Itu juga satu kecemerlangan buat kami.
Terima kasih kepada cikgu2 yang banyak membantu dan begitu tabah serta sabar dengan kerenah Hariz yang ada ketikanya 'gempa'.
Terima kasih kepada teman2 yang banyak memberi sokongan dan kata2 semangat buat kami.
Untuk sahabat yang sentiasa di sisi di saat saya memerlukan, terima kasih dan Al-fatihah untukmu.
Andai kita rasa dugaan kita sebesar kapal
Ingatlah nikmat ALLAH itu seluas lautan
Pelan pelan kayuh



09 October 2016

Kehilangan Seorang Sahabat Dunia Autisme

Sabtu, 08 Oct 2016.

Kisah kali ini adalah tentang seorang sahabat seangkatan dalam dunia autisme. Pertama kali berjumpa dan kenal beliau (bersama suami) pada tahun 2011 di dalam kelas pendidikan ibu bapa anjuran Dr. Hasnah Toran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika itu kumpulan Autisme Malaysia masih lagi tidak ramai pengikut namun bertambah dari hari ke hari. Beliau merupakan salah seorang dari pasukan penggerak Autisme Malaysia sehingga pembentukkan Persatuan Autisme Muslim Malaysia (PAMM) secara rasmi. Pada tahun 2015 beliau telah di pilih menyandang jawatan Bendahari di dalam PAMM. Beliau menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah. Menggunakan pengalaman dan kemahiran yang ada, beliau mengusahakan tatacara dan memperbaiki pengurusan kewangan PAMM. Beliau tidak teragak-agak atau kedekut untuk meluangkan masa, tenaga dan wang untuk kebaikkan komuniti autisme di Malaysia. Terlibat secara langsung dengan semua aktiviti yang dianjurkan dan sangat pro-aktif. Program perkongsian "Sembang Milo-O" adalah antara inisiatif beliau.

Dikalangan rakan-rakan di dalam Autisme Malaysia beliau sangat disenangi dengan kelembutan dalam tutur bicara dan tidak lekang dengan senyuman serta baik hati. Beliau juga tidak kedekut dan jemu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mendidik dan membesarkan anak autisme. Berdasarkan pencapaian yang telah dicapai oleh anak autisme mereka, beliau dan suami telah memberi contoh bahawa ibu/isteri dan bapa/suami haruslah menjadi sebuah pasukan yang ahli pasukannya haruslah saling bekerjasama dan membantu demi kebaikkan anak autisme.

Sahabat yang saya maksudkan ialah Allahyarhamah Haryanti Hj. Tasmiran, isteri kepada En. Rohaizan Abd Wahab. Beliau telah kembali ke rahmahtullah pada hari Sabtu 8 Oktober 2016 kerana sakit. Ketiadaan beliau amat dirasai dan akan dirinduin oleh semua. Kehadirannya di dalam Autisme Malaysia sesungguhnya memberi makna dan impak yang besar. Walaupun mengenali beliau kurang dari lima tahun namun dirasakan seperti berpuluh tahun. Ingatan dan kenangan akan kekal dalam minda.

Semoga segala kebaikan yang beliau lakukan diterima sebagai pahala amalan baik. Dan, semoga Allahyarhamah tenang bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah buat beliau.